 |
| sekadar gambar hiasan |
Secebis kisahku bersama arwah ibu, peristiwa ini
berlaku di era 70han, aku masih di sekolah rendah saat itu. Kerja ibu selain bertani, Ibu juga
merupakan bidan
kampung yang selalu dijemput orang bila ada dikalangan ibu-ibu
yang melahirkan anak. Kadang-kadang ada dikalangan para ibu ini
melahirkan
anak ketika waktu tengah malam atau menjelang subuh, tak menentu waktu.
Setiap kali ibu dijemput akulah meneman ibu kerumah orang yang
melahirkan anak itu. Satu malam saat aku sedang tidur, ibu kejutkan aku, seperti selalu ibu minta temankan aku ke rumah jiran
kerana isteri jiran itu sedang sakit perut hendak melahirkan anak. Aku bangun tanpa membantah dan terus mengikuti ibu kerumah jiran yang hendak melahirkan anak itu, jarak rumah jiran dan
rumah kami lebih kurang 1 km. Aku dan ibu keluar rumah meredah malam
sunyi di kawasan kebun getah sambil ibu memegang lampu minyak tanah.
Zaman itu belum ada letrik di kampung.
Sesampainya aku dan ibu dirumah jiran itu kami disambut oleh tuan rumah,
suami kepada wanita yang sedang sakit perut. Kedengaran suara wanita itu
mengerang-ngerang menahan sakit. Tuan
rumah mempelawa ibu terus masuk ke bilik, aku juga turut ikut..nampak samar dalam bilik hanya diterangi lampu minyak tanah.
Tanpa berlengah Ibu memulakan operasinya, aku nampak mulut ibu berkumat-kamit sedang
membaca sesuatu yang aku sendiri tidak tahu apakah ayat-ayat yang ibu
baca sambil memegang perut wanita itu, . Sementara itu aku duduk menyandar
dinding tidak berapa jauh dari ibu dan wanita itu. Aku hanya jadi pemerhati.
Sudah hampir setengah
jam belum juga anak itu di lahirkan, aku lihat wajah ibu nampak
risau. Ibu memanggil suami wanita itu masuk kebilik dan minta suami
wanita itu melangkah perut isterinya sebanyak 7 kali. Selesai melangkah perut isterinya, suami
wanita itu keluar dari bilik. Agaknya itu antara petua bagi membantu mempercepatkan kelahiran cara orang dulu-dulu.
Hanya
beberapa minit selepas dilangkah, tiba-tiba wanita itu melahirkan
anaknya dengan selamat, bayi yang dilahirkan itu seorang bayi lelaki.
Ibu
memanggil suami wanita itu masuk kebilik sekali lagi dan memintanya
menyediakan cebisan bambu sebesar ibu jari dan perlu ditajamkan tepinya.
suami wanita itu akur dengan arahan ibu, beberapa minit kemudian
suami wanita itu menyerahkan bambu yang telah ditajamkan kepada ibu.
Mulut ibu
sekali lagi aku lihat berkumat-kamit entah apa lagi ayat-ayat yang ibu
baca. Selesai membaca Ibu
memotong tali pusat anak itu dengan menggunakan bambu tersebut. Segala
urusan memandikan bayi dan membarut (dalam bahasa tempatan) semuanya ibu lakukan. Selesai tugasan ibu pada lewat
malam itu. Hebatnya ibu..
Alhamdulillah anak itu kini
dah dewasa membesar dengan keadaan sehat
walafiat dan telah pun berkeluarga. Itulah antara kenangan yang tidak
dapat aku lupakan bersama
arwah ibu. Satu waktu aku pernah bertanya pada ibu, apakah ayat-ayat yang
ibu baca saat membidankan wanita yang melahirkan anak?, ibu
kata belum tiba waktunya untuk aku tahu, kerana aku masih budak-budak.
Zaman itu ramai wanita takut untuk
melahirkan anak di hospital, lagi pula kemudahan penganggkutan tiada.
Terpaksalah melahirkan anak dirumah tanpa rasa takut. Kebanyakan mereka hanya
menggunakan ubat-ubatan tradisional selepas melahirkan anak..
Sampai
ke akhir hayat ibu, aku tidak berkesempatan berkongsi ilmu kebidanan
cara tradisi dari ibu, lantaran keadaan yang tidak mengizinkan, kerana
aku sudah tiada waktu untuk itu semua. Andai waktu yang lalu bisa
berulang kembali alangkah indahnya..namun itu adalah sesuatu yang
mustahil dalam realiti kehidupan, kita hanya mampu mengenang sedang waktu terus berlalu..
Al-Fatihah buat arwah IBU.
" SELAMAT HARI IBU "