Sayup-sayup kedengaran azan Subuh alunan suara serak dan lemah Imam
Tua dari surau usang di hujung kampung mengejutkan aku yang terlelap di
beranda. Angin dingin yang belum disentuh matahari bagai menyucuk
tulang. Kampung terpencil ini masih berselimut kabus pagi yang nyaman
dan bersih. Aroma bunga inai, melor dan kemboja bersatu melemparku ke
daerah kenangan. Ya, aku kembali untuk menziarah kenangan di daerah
kecil ini, terutama rumah usang atas tanah pusaka arwah ibu dan ayah.
Kabus yang memutih semakin jelas kelihatan dan kicau burung makin
galak di pohon keriang di tepi rumah. Selepas menunaikan Subuh di
beranda, mataku meliar ke sekeliling kampung. Hati meronta untuk melihat
alam yang telah lama aku tinggalkan. Tidak seperti biasa, tahun ini aku
mengambil cuti panjang. Cuti seminggu sebelum Aidilfitri adalah jangka
masa yang panjang bagi bidang pekerjaan sepertiku.
Selepas sekian lama
terpisah pandangan dengan kampung halaman, tahun ini aku ingin berpuasa
dan beraya di kampung. Sudah beberapa tahun aku menawarkan diri bekerja
pada hari raya kerana wartawan tidak ada istilah beraya yang sebenarnya.
Rakan terdekat terkejut melihat borang cutiku yang bertulis 'Bercuti di
kampung bersama kenangan.'
Sehingga kini Kuala Lumpur tidak mampu mengikis jati diri anak
kampung sepertiku. Nilai dan adat asuhan kampung membuatkan aku dilihat
unik, berlainan dengan sebilangan besar rakan yang cuba memadamkan imej
kampung untuk menghadirkan diri sebagai warga kota ini.
Tengah malam tadi sepatutnya aku bermalam sahaja di stesen kereta api
sementara menunggu hari siang. Namun hati yang tepu rindu pada kampung
halaman ini sudah tidak mampu bertahan untuk menghirup kenangan di rumah
ayah memaksaku menumpang kereta sapu. Pemandu tersebut agak cuak,
bimbang keretanya terbenam dalam lumpur sepanjang mengharung jalan
kampung. Nasib baik kembalinya aku kali ini pada musim panas kesan
El-Nino. Lumpur di depan rumah sudah mengering dan sedikit merekah.
Tidak banyak yang berubah dengan rumah ini, sebagaimana kenangan yang
tersimpan sekian dekad lamanya. Dari beranda ini aku melihat gelagat
ayah sering melepas lelah selepas pulang dari sawah. Di kampung kami,
angin kering dari Barat Daya pada musim menuai membawa hawa yang sangat
dingin. Kami menyebutnya sebagai musim Timur. Ayah selalu berehat di
beranda ini dan aku pula sering diayun buai kayu di bawah pokok keriang,
berlatar belakang sawah saujana mata memandang.
Di beranda itu juga aku sering memapah ibu untuk mengambil angin
petang. Aku masih ingat pada palang pintu yang sering menjadi pautan
ibu. Palang yang menjadi ganti pautan tangan ayah suatu waktu dulu.
Palang yang tidak pernah berubah. Kenangan terakhir bersama ibu, bersama
ayah membuatkan rumah usang ini sangat berharga bagiku. Nun di telaga
dekat pokok inai itu pula aku sering memandikan ibu.
Ayah dan ibu bukanlah orang senang, namun belum boleh dikira melarat
kerana sawah yang sepuluh relung itu digunakan untuk menyara hidup kami
tiga beranak. Ayah adalah lelaki yang penuh ikhtiar. Sepuluh tiang rumah
yang menjadi asas rumah kami digergaji sendirian di hutan sewaktu
membuka kampung itu. Semuanya cengal batu yang kerasnya macam batu."La hang ka, aku ingat sapa tadi. Bila hang balik?" Bang Chot
melompat naik ke beranda, bersalam dan memelukku yang masih terkejut.
Dia memegang bahu dan tanganku, seolah-olah tidak pernah ketemu
ratusan tahun. Mungkin tidak menyangka akan sebuah pertemuan. Aku
menatap rambut dan jambang Bang Chot yang sudah putih. Ah, betapa lama
aku meninggalkan Bang Chot yang kuanggap abang sendiri. Hati makin rasa
bersalah tatkala dia melaporkan kematian Mak Ngah Chah, Mat Lebai dan
Pak Jab. "Nasib baik Kak Son hang rajin jaga rumah ni. Dia selalu mai sapu
atas rumah sejak hang pi Kolumpoq dua puluh tahun lepaih. Ni aku saja
mai nak tengok kot ada apa-apa. Tut Tut jumpa hang." Aku yakin Bang Chot
dan Kak Son memang menganggap aku adiknya.
"Kami buat bendang tu, elok sangat hang balik boleh kami bayaq sewa,
dah sepuluh tahun tu. Tiap-tiap tahun kami masuk duit sewa dalam bank,
takut terpakai ka, apa ka. Nanti aku bagi kat hang. Aku tengok hang,
teringat mak ngan ayah hang Chu Kiah ngan Chu Sin." Aku sebak mendengar sebutan dua nama itu yang sudah lama tidak
menyentuh indera dengarku. Mentari pagi 27 Ramadan terus membakar mukaku
yang merah menahan tangis. Antara dengar dan tidak bibirku menyebut
"mak", "ayah."
II
Selepas puas mengekor ayah menjerat burung wak-wak, aku membontoti
ibu mengail puyu di bendang. Kata ibu, sebelum mengail kena cari
belalang untuk dijadikan umpan. Mengejar belalang di tengah bendang
sangat menyeronokkan. Aku terguling-guling sewaktu menangkap belalang.
Ibu mendukungku menyeberang tanah selut dan meletakkanku di bawah
teduhan pohon keriang yang di tepinya ada tali air kecil yang mengalir
perlahan. Aku sangat suka merenung anak-anak ikan yang bermain-main di
dasar tali air yang jernih. Bau selut dan bunga padi sudah sebati
denganku sejak belum masuk ke sekolah lagi. Ibu selalu bertanya apakah
cita-citaku apabila dewasa.
Dan seperti selalu, kujawab "nak jaga ibu
dan tolong tangkap belalang untuk mengail ikan puyu". Ibu ketawa
terkikik-kikik.
Akulah orang terawal yang akan mengutip melor mekar di halaman
apabila hujan pada malamnya. Aku girang dapat menyelitkan melor di
sanggul ibu. Dan ibu menciumku berkali-kali sebagai balasannya. Ayah
tersenyum melihat gelagat kami. Ayah yang hanya berkata-kata dengan
senyum dan mimik muka.
Tingkah laku ayah adalah cerminan seorang seniman.
Memang sesuai dia
menjadi tukang penglipurlara, peniup serunai. Aku selalu terlena di
ribaan ayah ketika dia beraksi di depan orang kampung. Banyak kisah yang
menjadi pilihan ayah untuk diceritakan tetapi yang paling terkesan
kepadaku ialah cerita Hikayat Panji Semerang dan Hikayat Yatim Mustafa.
Kisah perjuangan dan pengorbanan menyusup ke pemikiran sejak alam
kanak-kanakku. Sosok Yatim Mustafa sering hadir dengan lakaran kegagahan
seperti yang kerap diceritakan ayah kepadaku, sebelum aku tewas
tertidur di hadapan orang kampung yang sering berkumpul di rumah kami.
Ayah juga sering mengasah minatku yang suka melastik burung dengan
mengajarku berburu. Pesannya, jangan kejam kepada binatang. Selain itu,
aku diajar ayah memanah. Ayah mempunyai pelbagai kepandaian, dan
membuatkan aku menganggapnya lelaki hebat. Aku tidak malu diketawakan
rakan sekelas kerana menjawab "ayah" apabila ditanya Cikgu Normiyah
tentang pemimpin pujaanku.
III
Sejak beberapa bulan terlantar tanpa suara kerana terjatuh di
bendang, suara ibu tidak berhenti mengalunkan bacaan surah Yaasin setiap
senja di sisi kepala ayah. Ayah lumpuh kali kedua, lebih teruk selepas
kali pertama mengalami kelumpuhan ketika aku di darjah satu dahulu.
Suasana rumah kami menjadi sepi semenjak kejadian malang itu. Ibu
jarang ke bendang atau mengail ikan puyu seperti selalu. Ibu berkurung
menjaga ayah. Aku merasakan sebahagian kebahagiaan kami selama ini telah
pergi. Keadaan ibu yang tidak terurus makan-minum mengubah wajah itu
daripada bercahaya kepada suram, mata ibu sudah kelihatan garis-garis
laluan air mata.
Suatu hari, orang kampung datang silih berganti dan membaca Yaasin
hingga dinihari. Menjelang subuh pagi itu masing-masing ke surau dan
tinggallah aku dan ibu. Sesekali ibu menitiskan air ke mulut ayah tetapi
ayah tidak sedikit pun menunjukkan tindak balas. Ayah terkujur, kakinya
sejuk. Dadanya terasa sedikit suam. Matanya tertutup. Dan aku sudah
dapat meneka sesuatu dalam Subuh ini. Ayah sedang nazak.
Subuh itu tatkala ayah kembali kepada Penciptanya dan meninggalkan
ibu dan aku buat selama-lamanya, ibu sudah tidak menangis lagi. Mungkin
air matanya sudah kering. Ada sedu dalam esakan ibu, melepaskan insan
yang berpuluh tahun di sisi, senang dan susah. Suami yang melindunginya
dalam saat luka dan duka.
Selepas pemergian ayah, aku mengambil tugasnya mengerjakan sawah
walaupun pada waktu ramai kawan berhijrah ke bandar mencari kerja yang
lebih baik. Aku memilih untuk tetap menjadi petani dan menjaga ibu yang
uzur lumpuh sebelah badan. Lagi pun fikirku dengan keputusan SPM pangkat
tiga, kerja apalah yang aku boleh buat di bandar. Maka jadilah aku
budak kampung yang hidupnya di sawah, menjerat burung wak-wak dan
mengail ikan haruan di sungai berdekatan.
Dunia aku kecil, sekecil tempurung. Begitulah kata kawan-kawanku yang
berkerja di bandar ketika mereka pulang berhari raya. Memang benar
duniaku kecil, antara rumah dengan pekan tempat kami menjual padi.
Itulah tempat yang paling hebat bagiku, sebuah pekan kecil dengan
deretan rumah kedai berdinding papan yang usang. Kehidupan yang kujalani
saban hari sehinggalah ibu pergi selama-lamanya lima tahun selepas itu.
IV
Malam ini bersama juadah seperti yang pernah dimasak ibu, aku berbuka
puasa di ruang tengah rumah kami. Cahaya lilin agak malap, namun
kenangan bersama ayah dan ibu sangat terang di ingatan. Aku ingin
tenggelam dalam suasana dulu. Aku mahu kembali ke alam nostalgia bersama
dua insan tersayang. Cuma, kali ini aku hanya bersila di atas lantai
kayu yang sedikit berhabuk, tidak seperti berpuluh tahun lalu, di mana
rumah yang sama ini dihampari berbidang-bidang tikar mengkuang, yang
pelbagai warna dan pelbagai corak hasil anyaman ibu.
Aku menoleh ke ruang kiri, bilik tidur ibu dan ayah. Di hujung rumah
pula ruang dapur. Masih ada dapur kayu berkaki empat di ruang itu. Di
situ kulihat ibu sering menangis, mungkin mengenangkan ayah, atau
memikirkan derita tak tertanggung kudrat. Aku yang masih mentah gagal
membaca derita ibu, cuma aneh melihat gelagat ibu yang cuba
menyembunyikan airmatanya di sebalik lengan baju kurung kedahnya yang
lusuh, setiap kali aku menoleh ke arahnya.
Aku menjamah kuih tepung talam dan kasidah. Itu kesukaan ayah. Tetapi
malam ini di kerongkong bagai ada benda tersangkut. Aku terlalu rindu
pada masa silam menyambut Ramadan yang aku tinggalkan berpuluh tahun
lamanya. Semua perca-perca ini aku cantum selepas usia menjengah dewasa
dan terasa tidak cukup nafas untuk berada di tempat ibu. Sesak dan
sebak.
Masih segar dalam benak, aku berat melangkah ke bandar, meninggalkan
rumah pusaka ini dengan beberapa helai pakaian lusuh dan beberapa sifat
dan sikap terpuji ayah dan ibu yang sentiasa kuasah. Kekuatan ini
menjadi pujukan dan semangat untukku sewaktu ditimpa musibah, menjadi
pimpinan untuk kuredah gelora di kota. Sifat dan sikap yang membuatkan
aku "jatuh ke laut menjadi pulau". Sehingga aku berada di tempat
sekarang. Tanpa akademik yang tinggi aku berusaha memperkayakan diri
dengan pelbagai kebolehan untuk menjadi yang terbaik.
Surat dari syarikat surat khabar di Kuala Lumpur memisahkan aku
dengan alam yang membesarkan aku di kampung terpencil ini. Tanah bendang
sepuluh relung itu aku sewakan kepada Bang Chot. Dapat juga duit buat
bekalan menapak di Kuala Lumpur. Di kampung ini pun bukannya ada sesiapa
lagi, selain pusaka ayah.
Sejak tahun 1994, inilah kali pertama aku "balik kampung" dan mahu
beraya di kampung. Aku terlupa 20 tahun telah banyak mengubah wajah alam
dan manusia di kampungku, banyak yang sudah tiada kerana pulang kepada
Pencipta. Yang baru lahir sudah jadi remaja dan aku menjadi orang baharu
di tanah kelahiran ini.
Dari jendela terbuka di halaman kelihatan api meliuk-lintuk daripada
barisan pelita buluh yang kunyalakan senja tadi. Cahayanya membias
masuk, asap bergelombang kemudian terus hilang di udara. Tidak seperti
ingatan aku pada masa silam yang terus terapung dan terus bersama aku
walau ke mana saja.
Kelmarin ketika aku ke surau di hujung kampung, wajahnya juga
berubah. Penduduk kampung sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa kerana
meraikan ustaz popular dari luar yang akan datang berceramah.
Kawan-kawan ayah sudah tidak kelihatan di situ, kecuali Tok Imam Dak
seorang. Kawan ayah semasa kanak-kanak dan sama-sama pula meneroka
kampung ini. Dia pun sudah bersara daripada menjadi imam, tetapi orang
kampung terus memanggilnya Tok Imam.
Esok Hari Raya Aidilfitri. Selama 20 tahun aku kehilangan rasa
menikmati malam raya dalam suasana kampung. Malam ini aku kembali pada
zaman lampau beraya di rumah, di kampungku. Meraikan kenangan bersama
ayah yang tidak meninggalkan harta tetapi mewariskan sebuah pengertian
daripada layar hidupnya yang menjadi tontonanku sejak kecil, dan
mengenang ibu yang mengajarkanku sifat perikemanusiaan yang tinggi di
kota batu. Aku pulang, beraya bersama kenangan
Sumber: astera Utusan Malaysia