Tuesday, 25 September 2018

MARY KAY TIMEWISE 3-IN CLEANSER


Sumber blog 
Ternyata produk ini telah berjaya mengembalikan keremajaan kulit wajah ku yang telah lama surat angkara pancaran matahari dalam tempoh waktu tak lama, sungguh amat menakjubkan tak pun sampai dalam masa 14 hari huuu, mantap gila kesannya, terima kasihku tak terhingga kepada cikgu Jannifer yang telah mengajak ku untuk bersama warga Mary Kay. Muah... 😍😍😍

MARY KAY CANTIK JELITA 1

Sumber Blog

Thursday, 20 September 2018

7 TAHUN MENCINTAI MU


Bakal terbit, rasa bertuah kali ini kerana dapat bersama penulis hebat yang tidak asing lagi antaranya Datuk Jasni Matlani penerima SEA Write 2015, selaku penyelenggara antalogi ini, selainnya Karim Gulam dan Siti Rahmah G. Ibrahim. "7 TAHUN MENCINTAIMU" tajuk yang dipilih. Tajuk ini agak mengusik emosiku, kerana tajuk itu berlaku dalam kehidupanku masa lalu. Wah! aku sebenarnya agak terkejut bila demikian tajuknya yang di pilih oleh Datuk Jasni Matlani, aku rasa tertembak dengan tajuknya, masa laluku dalam episod 7 tahun mencintaimu. Hi Hi Hi..Kebetulan saja. Semuanya tinggal kenangan.

Ini merupakan antalogi cerpenku yang ke empat bersama rakan penulis. Aku masih belajar dan masih banyak kekurangan. Apa pun Impian untuk menerbitkan antalogi cerpen solo insyahAllah moga tercapai tahun depan 2019.
Inilah senarai nama para penulis 7 Tahun mencintaimu

Wednesday, 19 September 2018

MISTERI DERAP KAKI BERLARI-LARI DIRUMAH PERSEKUTUAN TERLERAI

Satu peristiwa tidak terjangka telah berlaku disuatu petang saat aku ke pejabat untuk mengambil laptopku yang tak sempat kuambil pada hari kelmarinnya sebaik selesai urusan diluar pejabat kerana sudah lewat petang.

Keesokan harinya hari sabtu, waktu menunjukkan jam 3.35 minit petang, aku tiba dipejabat dan sebelum berlalu, aku duduk sebentar membuka laptop untuk menaip ada sedikit kerja yang hendakku siapkan. beberapa minit, aku mendengar bunyi tapak kaki kanak-kanak berlarilari berkejaran diruang karidor diluar bilik pejabat menghala kearah pejabat pendaftaran yang telah beberapa tahun dikosongkan tak jauh dari pejabat kami hanya bersebelahan saja.

Aku tak kisah dengan hal itu, kerana sangkaanku mungkin kanak2 itu mengikuti ibu atau bapa mereka kebetulan juga hari cuti umum. Kadang ada juga kakitangan jabatan yang datang ke Pejabat tersebut pada hari cuti terutama kakitangan Rtm, bunyi tapak kaki kanak2 berlari-lari itu sebentar berhenti sebentar kedengaran dan asyik ditempat yang sama. Suara bercakap atau gelak ketawa tiada pula kedengaran. Namun lamakelamaan aku rasa terganggu dengan suasana itu kerana bunyi kaki berlari-lari itu tak berhenti-henti. Buat aku hilang fokus dengan apa yang aku taip. Akhirnya aku menutup laptopku dan terus memasukkannya kedlm bag, dalam hati berkata lebih baik pulang saja.

Namun sebelum aku meninggal kan bangunan, Entah kenapa ada rasa keinginanku mencari kanak-kanak tadi, aku pun turun ke tingkat bawah melalui tangga berhampiran dengan pejabat rtm. Bangunan persekutuan ini ada dua tangga, tangga yang satu lagi kedudukannya bersebelahan dengan pejabat sprm terletak di hujung menghadap ke Jalan raya besar. Mataku melihat-lihat di sekitar bangunan mencari kanak-kanak tadi namun tiada kelihatan. Saat aku termangu berfikir tentang kanak2 itu, seorang Wanita muncul dipintu utama bangunan, dia kaki tangan jabatan akauntan, aku bertanya  jika dia ada melihat kanak-kanak di sekitar bangunan.

Katanya dia baru tiba, dia bertanya padaku kenapa? Aku menceritakan apa yg berlaku sebentar tadi. Dia hanya tersenyum dan selemba berkata itu biasa berlaku dalam bangunan ini. Dia pun terus naik ke Tingkat atas menuju ke Pejabatnya. Aku masih terus berdiri disitu dalam keadaan masih tak berpuas hati. Tak lama keluar seorang sikuriti dari pjbt rtm dan tak sabar2 aku terus bertanya seperti apa yg kutanyakan pada wanita itu sebentar tadi. Dia juga berkata tiada kanak2 dalam bangunan itu sejak pagi tadi. dia menceritakan pula bahawa bunyi seperti itu sering saja kedengaran dlm bangunan itu, terutama bila waktu2 cuti dan tidak kira siang atau malam.

Sedang kami rancak berbual, dari arah pintu berdekatan dengan pejabat sprm kelihatan seorang lelaki muncul bersama dua orang anak perempuannya yang masih kecil antara 4tahun dan 3 tahun, itu budak2 kataku sambil menunjukkan jariku kearah lelaki itu, dia menoleh kearah lelaki itu dan berkata, mereka baru saja tiba.

Sikuriti itu meneruskan ceritanya tentang hal tadi, dia berkongsi cerita bos baru mereka pernah melihat kelibat seorang kanak2 lelaki dlm bangunan itu sambil menunjukkan lokasinya.
Sedang aku khyusuk mendengar cerita sikuriti rtm itu, tiba2 seorang sikuriti  bertugas menjaga kawasan bangunan  masuk dipintu depan bangunan dan menghampiri kami dan turut mendengar perbualan kami. dia tersenyum dan turut mencerita kan bahawa bukan setakat bunyi kanak-kanak berlari yang mereka dengar, bunyi menarik meja kerusi pun ada ditengah-tengah malam buta dan itu bukan perkara baru katanya dan terus berlalu. Peliknya rasa ingin tahu ku tidak hanya tamat disitu.

Beberapa hari kemudian aku berjumpa pula penyelia bangunan yang sudah lama bertugas dibangunan tersebut. Dia menceritakan kepadaku satu kisah duka menyayat hati telah menimpa kepada seorang kaki tangan #### pernah bertugas dibangunan tersebut. Sebelum agensi rtm itu wujud disitulah pejabat #### dahulu. Namun telah berpindah ke bangunan hospital lama yang lokasi lebih kurang 100 meter jaraknya dari bangunan Persekutuan.

Menurut Penyelia bangunan, sewaktu pejabat ### belum berpindah, pegawai itu selalu membawa dua orang anaknya ke pejabatnya setiap kali tamat sesi persekolahan sidang pagi, seorang lelaki dan seorang perempuan masing-masing berusia antara 5tahun Dan 7tahun. Dan kabarnya suatu hari Ketika pegawai itu bersama keluarganya balik kekampung halaman. keluarga ini telah ditimpa kemalangan dan kedua orang anaknya ini telah meninggal dunia ditempat kejadian. Katanya lagi mungkin apa yang berlaku dibangunan ini ada kaitan dengan semua itu. Mendengar kisah itu, barulah terlerai segala persoalan dibenakku. Ya mungkin ada benarnya juga atau entahlah semuanya Allah swt yang lebih mengetahui. Semoga roh mereka damai dialam sana.

HARI INI HARI GEMBIRA

Sambil menghirup secangkir Teh Halia, bertemankan A.Samad Said Sastrawan Negara, "Hari Ini Hari Gembira"  antara Jodol cerpen santapan mata disuatu petang disebuah cafe di Bandar. Aku suka berkunjung ke cafe ini, bukan saja menunya sedap2 tetapi penampilan restorannya pun agak menarik ceria mata memandang. Kadang ada waktu-waktu aku suka duduk sorang2, sebabnya bila aku sorang2 aku fokus membaca tiada gangguan sambil melihat-lihat persekitaran mencari ilham untuk dicoret.

Tahu kah anda fungsi Halia antaranya membantu merawat masalah buah pinggang. Jadi rajin-rajinlah mengamalkannya semoga bermanfaat.


Tuesday, 18 September 2018

PELAMIN MENGUNDANG KENANGAN



Majlis menyambut menantu dan majlis raya di lakukan serentak pada kali ini tahun 2018. Menantu yang disambut adalah isteri kepada anak buah yang akad nikah dan majlis kahwinnya telah berlangsung di pihak perempuan beberapa bulan lalu, dan majlis yang di adakan ini adalah di pihak lelaki pula. Kebetulan berada di bulan syawal jadi keluarga sebulat dan sepakat baik juga di adakan serentak untuk menambahkan lagi kemeriahan majlis.

Majlis ini di adakan di kampung halaman tanah pusaka, rumah agam peninggalan orang tua kami. Lalu dalam kesempatan ini aku pun berfoto di atas pelamin yang indah ini, sambil mengenang suatu waktu yang telah lewat di musim-musim manis dahulu, namun segalanya hanya tinggal kenangan. Kenangan manis dan pahit yang tak mungkin terlupa dalam episod kehidupan seorang hamba.

Orang selalu berkata cinta pertama adalah yang paling awesom, apa lagi bila cinta itu hingga ke gerbang mahligai. Benarlah itu apa yang dikata, namun siapa terjangka dan siapa mampu menduga segala impian dan harapan hingga ke jannah ternokta ditengah jalan. Tsunami begitu kuat membadai sehingga tak mampu berpaut lagi. Demikianlah fasa demi fasa tentang cerita kehidupan setiap insan didunia fana ini. Segalanya suratan tadkdir dan hanya setakat di situlah hayat jodoh yang telah Tuhan tentukan. Siapa kita yang mampu menolak takdirnya.

Wednesday, 12 September 2018

Kenangan bertandang

kenangan itu datang lagi
ke pintu hati bertandang
Menyelongkar yang tersimpul
Terselak takdir diri
Bukan kemahuan sendiri
Mendera rasa kenangan itu
trajedi kemusnahan sebuah tamadun
Terbina atas kasih sayang dan percaya
Namun di sia-siakan
Tanpa mengalirkan air mata
Dalam hati yang kosong
Dia berjalan sendirian
Tidak menoleh masa lalu
Bangkit mencabar lemah
Dan percaya diri
Meneroka lembaran baru
Melakar cerita baru
Memurnikan sebuah kehidupan

Saturday, 8 September 2018

SETELAH 2 TAHUN DISINI

Setelah dua tahun berpindah ke sini, usaha mencantikkan halaman dengan menanam pelbagai spesies bunga-bungaan sedikit demi sedikit telah merubah suasana, inilah persekitaran yang di kecapi kini. Walaupun dalam tempoh masih agak baru tetapi sudah beratus jenis pohonan bunga telah ditanam.

Ini hanya sebahagian saja, ada berpuluh-puluh jenis lagi yang belum sempat di kongsikan. Agak rasa letih juga mengusai pohon-pohon bunga ini, apa lagi dengan kawasannya yang agak luas, hampir tak tercapai tangan menggapai, namun bila melihat pohon-pohon ini tumbuh subur dan segar rasa letih pun hilang.

Untuk buat landskap yang canggih saya tak mahir yang penting ada ciri-ciri yang diidamkan. Hanya sekadar taman kampung-kampung saja. Yang penting ada tempat mata berteduh disaat mata lelah Dan ada kegiatan di hujung minggu hihihi.

Bird of paradise 

Rose yellow 
Jasmin mengharum diwaktu malam
Hibiscus 
Alamanda 

Mawar Putih 

Mawar Pink harumannya mempesona
Periwinkle
Daisy Putih
 Daisy merah 
Rose Merah
Bunga kertas berusia 2 tahun , ia ditanam sebaik berpindah kesini 
Pokok Pakis
Morning Glory 
Bunga kemboja
Lili berbunga Putih
Pohon mempelam dan Pohon-pohon getah di belakang rumah menyejukkan suasana
Pohon Durian sedang berbunga ranum ditunggu buahnya gugur dihujung tahun
Lantana Kamara













ruang untuk tanaman seterusnya




Sakura Taiwan


Thursday, 21 June 2018

KATA GURUKU

KATA GURUKU

MASA YANG TIDAK TERURUS
ADALAH BELENGGU YANG MENGIKAT
MENUTUPI JENDELA DAN PINTU
SEHINGGA TIADA BEZA MALAM ATAU SIANG


KADANG KADANG ADA CAHAYA
MENGINTAI KEGELAPAN HATI
TAPI KAKI TIDAK PANTAS MELANGKAH
TAKUT TERPIJAK RANJAU

TAPI KATA GURUKU
SETIAP INSAN ADA PELITA
PELITA HARUS DINYALA SENDIRI

KATA GURUKU
IA AKAN MENYALA PASTI
DENGAN SUMBUH KEYAKINAN DAN ILTIZAM
DAN TAWAKAL SERTA DOA

KATA GURUKU
SETIAP DOA PASTI TERJAWAB
CAHAYA AKAN GEMERLAP SEMURNI DOA
MEMBAHANG SEKUAT ILTIZAM

KATA GURUKU
ADA SEKUMPULAN MALAIKAT MENEMANI
HINGGA KEPUNCAK JAYAMU
SELAGI NIATMU SUCI

AKU TAHU KINI
WAKTU ITU SATU KURNIA
KENDERA AJAIB DARI ILAHI

Haini Karno
KENINGAU
Siaran news sabah times


Monday, 25 December 2017

Ya Allah Dahsyatnya fitnah

Ya Allah fitnah lebih dahsyat dari membunuh begitu penjelasan tentang perkara fitnah. Manusia yang suka menabur fitnah ini adalah lebih keji dari haiwan. Ya Tuhan semoga insan yang suka menabur fitnah ini Allah beri hidayah. Apa motif pun saya tidak tahu.

Sunday, 10 December 2017

AKU PENGHUNI LORONG GELAP

Dilorong gelap ini
Setiap langkah bagai beban
Setiap cahaya menyeksa
Menyinari jalan buntu
Bunga hidup telah kuhancurkan
Tinggal durinya semakin tajam menyusuk
Nyeri pedih bernanah
Semua harapan terkubur
Dibalut nafsu serakah
Sebab suatu ketika dulu
Kupilih jalan durjana

Haini Karno
Siaran news Sabah times 

Monday, 20 November 2017

CERPEN SEMANGAT TAJAU


Oleh: HAINI KARNO

PAYAH AKU mempercayai bahawa tajau itu  menyimpan semangat manusia yang telah mati,  apa lagi
ia telah tersimpan begitu lama, tidak pernah diusik oleh sesiapa termasuk seluruh keluargaku. Aku
pernah mendengar banyak kisah tentang tajau itu dari nenek saat dia masih hidup namun tidak
pernah aku ambil peduli. Maklumlah saat itu aku masih kanak-kanak berusia sekitar tujuh tahun.

Nenek  berpesan kepada anak-anak dan cucu-cucunya setelah ketiadaannya jangan sekali-
kali diganggu tajau itu apa lagi menjualnya, kerana tajau itu merupakan peninggalan mendiang
ayahnya,  iaitu datok kami.  Kata nenek tajau itu dibeli oleh datok daripada seorang rakan sebaik
nenek dilahirkan. Maknanya tajau itu sudah seusia nenek seratus tahun. Nenek sayang sangat pada
tajau itu, seperti nenek sayangkan nyawanya. Kata-kata nenek itu masih terngiang-ngiang
ditelingaku.

Menurut nenek lagi jika diganggu,  semangat dalam tajau akan marah boleh berlaku
perkara yang tak diingini.  Aku tidak pasti apakah cerita nenek itu sekadar dongeng atau saja
menakut-nakutkan aku dari mengusik barang-barang kepunyaan nenek dipondok itu.
Kerana nenek selalu melarangku memasukinya. Tajau yang nenek maksudkan itu pun tidak pernah
aku berkesempatan melihatnya.

Aku selalu melihat nenek  masuk ke pondok itu setiap kali bulan mengembang. Aku tak kisah
langsung apa yang nenek buat. Terdetik juga keinginan ingin tahu dibenakku, namun
terhalang  bila mengingati pesanan nenek.

“Ayah betulkah cerita nenek, dalam pondok itu ada tajau besar? Ada semangat?” pertanyaanku
disatu petang agak mengejutkan ayah. “ nenek beritahu Ikin?” soal ayah sambil memandang
tepat ke wajahku tanpa seukir senyuman. “Kenapa nenek melarang Ikin masuk ke pondok
nenek?” aku menyambung pertanyaanku.  “Ikin masih budak-budak lagi, tunggulah Ikin dewasa,
pasti ikin akan tahu”  jawaban ayah semakin mengundang  jiwa nakalku  ingin tahu. Jiwa anak-anak
sekecil aku, mana mungkin didiamkan, satu masa pasti aku akan tahu, hati kecilku memasang angan-
angan.

 Satu malam ketika nenek masuk ke pondok sewaktu bulan mengembang , aku
dan salah seorang sepupuku,    telah berpakat mengintai apa yang nenek lakukan semasa berada
dipondok itu.  Sebaik nenek beredar meninggalkan rumah,  kami mengekori nenek dari belakang
tanpa disedarinya.

 Tentu nenek tidak melihat kerana sekitar pondok dibelakang rumah itu terdapat pokok pisang ,
pokok langsat serta pokok tebu yang rimbun melindungi kami dari penglihatannya fikirku.  Meski
pun usia nenek sudah menjangkau seratus tahun namun penglihatannya masih terang dan tubuh
badannya masih sehat.

Setelah nenek memasuki pondok dan menutup daun pintunya aku dan sepupuku perlahan-lahan
mendekati pondok mengintai dibalik lubang dinding. Kedengaran suara nenek sedang bercakap-
cakap namun tak begitu jelas, kelibat nenek tidak kelihatan  “ Ikin jangan kamu ganggu nenek” Suara
nenek tiba-tiba kedengaran memberi amaran, aku dan sepupuku terkejut, kami berpandangan
sesama sendiri lantas berlari sekuat tenaga meninggalkan pondok dan kembali ke rumah yang hanya
tiga ratus meter jaraknya.

“Ikin bagaimana nenek tahu kita ke pondok itu ya” sepupuku amin tiba-tiba bertanya padaku
yang masih tercunggap-cunggap kehabisan nafas akibat dari berlari sebentar tadi. “ Eee tak tahulah”
jawabku. “Ikin barangkali betullah nenek kita itu sakti”  amin menyambung kata-katanya.  Aku
tergelak kecil memandang wajah amin yang masih kelihatan pucat dan terkejut.

Perbuatan kami mengintai nenek sampai ke pengetahuan ayah setelah diberi tahu oleh nenek.
Mengundang kemarahan ayah. “Berulang kali ayah dah cakap, jangan sekali-kali kamu menganggu
nenek bila dia berada dipondok itu Faham!”  begitu serius ayah memberi amaran. Aku dan amin
terus diam membatu, tidak berani berkata-kata. Sejak itu aku tidak lagi mengulangi perbuatan
mengintai nenek.

Beberapa bulan berlalu, seperti biasa nenek ke pondok itu, sekitar pukul 7 malam. Namun menjadi
tanda tanya dihati kecilku kerana waktu nenek ke pondok  bukan waktu bulan mengembang. Aku
tidak berani bertanya kerana bimbang akan mengundang kemarahan nenek lagi. Aku hanya melihat
nenek pergi menuju kepondok.

Waktu telah menunjukkan pukul sembilan malam, kelibat nenek masih belum muncul lagi dalam
rumah. Begitulah selalu apa bila nenek ke pondok berjam-jam dia berada disitu. Semua keluarga
tidak kisah kerana sudah faham.   

Tiba-tiba aku jadi risau, perasaanku tak tenteram memikirkan nenek dipondok. Jam dinding sudah
menunjukkan pukul 11.00 malam belum juga nenek muncul. Bermacam-macam perkara yang
menganggu fikiranku, biasanya nenek tak pernah begitu lama di podok. Kadang-kadang hanya dua
jam nenek akan kembali ke rumah.

Aku sebenarnya sangat sayangkan nenek kerana dia terlalu baik pada semua cucu-cucunya, nenek
tidak pernah membanding-bandingkan cucu-cucunya diantara satu sama lain.  Semuanya nenek
sayang. Nenek pandai mengubati orang yang sakit menggunakan cara tradisional dan banyak lagi
kehebatan nenek. Nenek sangat dihormati dalam kampung kami kerana kebaikannya.

Seingat aku, nenek tinggal bersama kami sejak dulu, setelah datok meninggal dunia. Nenek memilih
tinggal bersama ayah kerana memandangkan ayah merupakan anak bungsunya.  Itu yang aku tahu.
Setelah kami adik-beradik mulai dewasa, nenek pernah suarakan, bercadang tinggal dipondok
belakang rumah itu sendirian. Tetapi ayah tak izinkan bimbang  terjadi apa-apa kepada nenek.

Kata ayah, akan menjaga nenek sehingga akhir hayatnya. Adik-beradik ayah semuanya tinggal
berjiran dengan kami. Mereka mahu menjaga nenek, tetapi atas kehendak nenek mahu tinggal
bersama ayah mereka pun tidak kisah.  Nenek sekali-sekala akan bermalam dirumah anak-anaknya.

“Ayah Ikin risaulah nenek belum balik dari pondok tu”  Kata-kataku mengejutkan Ayah yang
Kebetulan baru  balik dari rumah ketua kampung kerana menghadiri jamuan kenduri.
 “ sekarang sudah pukul 11 malam nenek belum balik” aku menyambung kata-kataku
menunjukkan keresahan. “ Jangan Ikin risau ya nanti ayah tengok nenek kejap lagi” Jawab ayah.  

Lantas ayah menggambil lampu picit yang terletak diatas para di ruang tamu kemudian ayah
beredar dari rumah menuju ke podok. Pondok itu tidak berlampu, biasanya nenek hanya
menggunakankan lilin apa bila nenek berada dipondok itu pada waktu malam.

Tiba-tiba diluar rumah kedengaran suara ayah memanggil-manggil pakcik Sukur, aku lantas keluar
dari rumah memastikan apa yang sedang berlaku. Aku lihat ayah dan pakcik sukur berlari menuju ke
pondok.  Aku hanya memandang mereka pergi.  Dalam beberapa minit ayah dan pakcik sukur masuk
ke rumah mengendong nenek yang sudah tidak bergerak. Ayah membawa nenek masuk ke rumah
dan  membaringkan nenek diatas kusyen di ruang tamu. “ Ibu! Ibu! Bangun bu” suara ayah
memanggil-manggil nenek sambil menggerak-nggerakkan tubuh nenek, namun tiada tindak balas
dari nenek. Silih berganti ayah dan pakcik sukur cuba mengejutkan nenek,  namun semuanya sia-sia.
Aku lihat wajah nenek seperti sedang tidur nenyak. Wajah tenang nenek seakan tersenyum. Nenek
telah pergi buat selamanya.


Sebaik pengkebumian nenek selesai. Aku dan sepupuku amin kembali menuju ke rumah. Begitu juga
seluruh keluarga. Kematian nenek meruntun jiwaku, aku dan amin menanggis sedih. “Mungkinkah
kematian nenek ada kaitan dengan apa yang kita lakukan malam itu min” aku berbisik kepada
sepupuku amin ketika aku dan amin duduk dibawah pohon mempelam dibelakang rumah. “ tak
adalah, umur nenek dah begitu lanjut mungkin sudah tiba ajal nenek dijemput Tuhan” jawab amin
menenangkan gundaku.

Disatu pagi ketika aku sedang bersiap-siap ke sekolah, aku lihat ayah dan pakcik sukur dihalaman
rumah sedang berbual, wajah ayah dan pakcik sukur kelihatan resah. Aku dengar butiran
perbualan mereka berkenaan tajau nenek dipondok itu tiba-tiba hilang. Tidak diketahui apakah tajau
itu dicuri orang atau hilang secara gaib.

Ayah telah menjengok tajau itu seminggu selepas kematian nenek masih ada dipondok itu tetapi
beberapa bulan kemudian tajau itu tiba-tiba hilang.  “ Kita akan tahu sekiranya tajau itu dicuri mala
petaka akan menimpa pada orang itu” kata-kata  ayah terluah dari bibirnya saat dia dan
pakcik sukur sedang bersembang diruang tamu disatu malam.

Kata-kata ayah mengingatkan aku pada cerita nenek, sesiapa yang menganggu tajau itu akan ditimpa
malapetaka. “ mungkinkah benar apa yang nenek katakan itu” hati kecilku berbisik. selepas
kehilangan tajau nenek. Pelbagai peristiwa berlaku dipondok itu, kadang-kadang kedengaran suara
orang menanggis. Kemunculan lembaga hitam kepulan asap keluar dari pondok.

Kehilangan tajau dipondok nenek telah tersebar, ributlah orang kampung berbual tentangnya, ada
juga aku dengar seorang tua seusia ayah bercakap pernah melihat tajau itu saat datok kami masih
hidup.  Bentuk tajau itu agak unik dan sangat besar berwarna hitam. Kata-kata pakcik itu semakin
menjelaskan kebenaran apa yang arwah nenek ceritakan.

“Pakcik Liawan yang tinggal dihujung kampung kita tiba-tiba menjadi gila, menggamuk tidak tentu
pasal, entah apa sakitnya” ayah memberitahu ibu, yang kebetulan sedang sibuk menyiapkan
sarapan pagi diruang dapur.  ayah pula baru tiba dari surau menunaikan solat subuh berjemaah
bersama orang kampung.  Menurut ayah dia diberitahu oleh ketua kampung.
“Jangan-jangan ini ada kaitan dengan kehilangan tajau nenek” hati kecilku mula berkata-kata. “ ah
tak kan pakcik Liawan tu tergamak melakukan perkara begitu? Bukannya dia tak tahu akibatnya? Hati
kecilku terus dihujani banyak persoalan.

Kedatangan ketua kampung ke rumah bertemu ayah pagi itu tambah mengejutkan aku. Ketua
kampung  memberitahu isteri kepada pakcik Liawan baru saja meninggal dunia. Ayah dan ketua
kampung bergegas menuju ke rumah pakcik Liawan yang terletak dihujung kampung kami. Lantas
aku mendapatkan ibu yang masih tercegat dimuka pintu dapur memerhati ayah pergi. “ Isteri
pakcik Liawan itu sakit apa bu?”,  aku bertanya pada ibu. “ tak tahu lagi Ikin tunggulah ayah kamu
balik, kita tahulah nanti.” Jawab ibu. “ Jangan-jangan dia yang curi tajau nenek” kata-kataku
 terluah tanpa ditapis-tapis. “ hiss kau ni Ikin, tidak elok menuduh begitu, berdosa” ibu
memandang tajam ke mukaku sambi menepuk lembut bahu kiriku.

Kembalinya ayah kerumah tengahari itu meleraikan segala persoalan yang terbuku dihatiku. Ayah
memberitahu ibu, pakcik Liawan telah menggambil tajau itu di pondok nenek. “ Tak sangka pakcik
Liawan tergamak melakukan perkara keji begitu” keluh ayah, “sekarang siapa yang menerima
natijanya, tanggunglah sendiri” kata-kata ayah itu tidak mengejutkan aku. Benarlah dugaanku.

Perbuatan pakcik Liawan mencuri tajau nenek itu telah di ketahui penduduk kampung. Pelbagai
cerita yang dibualkan oleh mereka. Kedengaran tiada seorang pun yang menunjukkan simpati pada
pakcik Liawan yang tiba-tiba menjadi gila dan kematian isterinya itu. Malah ada yang turut
menyumpah kerana sikap tamak pakcik Liawan. Pakcik Liawan kabarnya telah di masukkan ke bukit
padang sedang mendapat rawatan setelah dihantar oleh anaknya.

Sikap tamak pakck Liawan sudah lama menjadi perbualan penduduk kampung,  kata mereka
sudahlah kaya tetapi masih bersikap tamak. Harta pakcik Liawan bukannya sdikit, kebun kelapa sawit
dan kebun getah beratus ekar terbentang luas. Kedai runcitnya juga bukan calang-calang besarnya.

Satu malam sekitar pukul 8 malam, tiba-tiba sebuah lori besar dipandu oleh seorang lelaki
sebayah ayah,  berkunjung kerumah kami bersama ketua kampung.  Aku tidak kenal siapa lelaki itu.
Ayah menyambut mereka serta mempersilakan masuk ke rumah. 

Aku lihat lelaki itu tiba-tiba menanggis sambil memeluk ayah dan berulang kali memohon maaf, 
diatas perbuatan ayahnya mencuri tajau nenek. Rupanya lelaki itu anak kepada pakcik Liawan. Aku
tidak pernah melihat lelaki itu berada dikampung. Ceritanya dia tinggal di kota kinabalu, balik ke
kampung setelah mendapat perkabaran kedua ibubapanya mendapat musibah.

Antara butiran perbualan yang aku dengar pakcik Liawan telah memberi upah kepada seorang lelaki
Untuk mendapatkan tajau itu  sekitar jam 2.00pagi  tanpa kami sedari. Pakcik
Liawan telah menyembunyikan tajau itu dalam stor dibelakang rumahnya. Pakcik Liawan kononnya
hendak menjual tajau itu dengan harga retusan ribu kepada seorang taukeh cina. Namun
belum sempat tajau itu dijual, pakcik liawan tiba-tiba menjadi hilang ingatan,  bercakap seorang
diri dan mengilai diwaktu malam.

Kematian isterinya itu disebabkan telah dicekek oleh pakcik liawan ketika isterinya sedang tidur.
Pelbagai lagi perkara aneh telah berlaku dirumah pakcik liawan menurut anaknya.
Ayah mengucap panjang mendengar penjelasan dari anak pakcik liawan itu. Anak pakcik liawan telah
berjanji kepada ayah dia akan menyembelih seekor kerbau untuk upacara sogit dikampung,
bagi memohon kemaafan untuk keluarga kami dan keluarga pakcik Liawan.

Setelah selesai perbincangan antara ayah dan anak pakcik liawan, dia beredar dari rumah kami
menuju ke belakang lori diikuti oleh ayah dan ketua kampung . Rupanya tajau itu ada di belakang lori
tersebut  telah dibawa oleh anak pakcik liawan untuk di kembalikan. Aku terkejut itulah pertama kali
 aku melihat tajau itu, begitu besar berwarna hitam. Mereka yang berada diluar rumah itu
bersama-sama menurunkan tajau itu daripada belakang lori  dan meletakkannya diruang tamu 
rumah kami, atas arahan ayah. Setelah semuanya selesai urusan ayah dan anak pakcik liawan, dia
terus beredar meninggalkan rumah kami.  aku merenung tajau itu lantas terkenangkan nenek. Aku
jadi sebak, tiba-tiba aku rindu pada nenek.

Setelah upacara sogit dilakukan keesokan harinya,  ayah dan pakcik sukur telah meletakkan
semula tajau itu dalam pondok nenek. Sejak itu tiada lagi kedengaran bunyi-bunyi aneh berlaku.
 Kini  tajau itu agak terbiar. Sudah jarang dikunjungi kerana tiada seorang pun
diantara keluarga ayah yang mewarisi amalan nenek pada tajau itu.

Satu malam saat bulan mengembang tiba, sekitar jam 1 pagi aku dan seisi keluarga dikejutkan oleh
satu bunyi yang agak pelik datang dari arah pondok nenek. Silih berganti bunyi itu bertukar-tukar.
Suara perempuan menanggis, suara ayam berkokok dan pelbagai bunyi yang agak aneh. Seolah-olah
dipondok nenek itu didiami oleh ramai penghuni.

Begitulah setiap malam sepanjang bulan mengembang suara-suara aneh itu tidak berhenti-henti
meriuh semakin menganggu. Kekadang kedengaran dentuman kuat seperti letupan
tembakan senapang patah dan bunyian muzik irama kelasik mendayu-dayu.

Perkara ini mengundang kerisauan ayah dan pakcik sukur serta seisi keluarga, ayah cuba mencari
jalan apa yang harus dilakukan agar gangguan itu dapat dihentikan. “Aku tidak tahu apa yang harus di
lakukan sukur” ayah menyatakan kebimbangannya kepada pakcik sukur,
“Kau tidak mahu teruskan amalan ibu pada tajau itu?” tiba-tiba Pakcik sukur mengajukan pertanyaan
pada ayah. Aku terkejut, dan berkata dalam hati ini, apakah ayah juga tahu amalan nenek pada tajau
itu?. “Entah sukur aku pun bimbang, jika aku pula yang meneruskan banyak perkara menganggu
fikiranku nanti” jawab ayah penuh keresahan. “Kau cubalah, agar semuanya dalam keadaan tenang”
pakcik sukur penuh pengharapan memandang tepat kewajah ayah.

Satu petang sebaik aku  masuk ke rumah dari sekolah, tiba-tiba ibu pengsan ketika sedang memasak
di dapur. Aku pantas berlari mendapatkan ibu yang sudah terbaring. Aku memeluk 
ibu dan memanggil ayah yang masih dalam kamar. Tiba-tiba suara ibu melolong dan bercakap
meminta tolong. “Tolong! Tolong aku, lepaskan aku dari sini”  suara ibu berhiba-hiba meminta
tolong. Sambil ibu menanggis tersedu-sedu. “Ayah kenapa ibu jadi begini” tanyaku pada ayah yang
masih dalam kebinggungan. Sangkaku ayah bergaduh dengan ibu. “panggil pakcik sukur ikin cepat”
ayah mengarahkan aku.  Aku keluar berlari kerumah pakcik sukur,  minta segera datang
 kerumah.

Sebaik pakcik sukur tiba dirumah lantas keruang dapur. “ini amaran isteri kau dirasuk,
 kita kena teruskan”pakcik sukur berkata pada ayah. Sepata ayah tidak mengiyakan, wajah
ayah kelihatan semakin runsing.  Ibu masih terus bercakap. Pada ayah dia tidak bersetuju untuk
meneruskan amalan yang nenek buat memandangkan ayah telah berpegang kepada ajaran agama.  
Ayah lantas bangun menuju ke bilik air,  aku lihat ayah menggambil air sembahyang kemudian datang
semula menghampiri ibu yang masih tidak berhenti bercakap. Ayah membacakan ayat-ayat rukyah, selesai ayah membaca lalu dihembus perlahan keubun-ubun ibu, "Panas! Panas! Lepaskan akuuu". Ibu berteriak 

siaran news sabah times 16/11/2016


HAINI KARNO

Saturday, 4 November 2017

KENAPA WANITA PERLU TIDUR LEBIH LAMA

Kenapa dan apa sebab wanita perlu tidur lebih lama dan lebih banyak daripada kaum lelaki? Adakah anda tahu, mengikut satu kajian oleh pakar dari USA mendedahkan bahawa kalau wanita memerlukan masa yang lebih banyak daripada kaum lelaki untuk memulihkan semula otaknya yang bekerja keras di siang hari.

Perempuan yang tidak mendapat tidur yang cukup cenderung untuk mengalami kemurungan dan sering marah-marah. Keadaan ini bagaimanapun tidak menjejaskan kaum lelaki. Menurut kajian itu juga turut mendedahkan bahawa faktor kurang tidur akan meningkatkan risiko sakit jantung, sakit mental, strok dan radang dalam tubuh badan.
Perempuan yang kurang tidur cenderung untuk mendapat radang yang teruk sehingga menyebabkan badan terasa sakit ketika bangun dan seterusnya memjejaskan kesihatan dan fokus. 

Mengikut pandangan Dr. Michael Breus, kaum wanita bagaimanapun boleh mengelak masalah ini dengan power nap iaitu tidur sekejap pada waktu siang (tidak melebihi 90 minit).
Semasa tidur nyenyak, korteks, bahagian otak yang bertanggungjawab untuk berfikir, memori, bahasa dan seterusnya, memisahkan dirinya daripada deria dan masuk ke dalam bahagian pemulihan. Lebih banyak otak digunakan pada waktu siang hari, maka lebih banyak ia perlukan masa untuk pulih dan lebih banyak tidur di perlukan.

Oleh sebab itu, anda kenalah faham sebab wanita perlu tidur lebih lama dan banyak daripada kaum lelaki. Jangan pula anda terus menganggap mereka sebagai pemalas.

Tuesday, 31 October 2017

MENJEJAK PENGUNDI

Huhhh sudah beberapa hari menjejak status pengundi dikawasan dun bingkor ini.  17 ribu jumlahnya, belum lagi masuk Dun Liawan dan Dun Tambunan. Antara tugasan yang paling mencabar pemikiran dan jiwa nurani sejak dahulu kala sehingga kini.

Rasanya hanya jabatan Kami satu-satunya yang melakukan kerja sebegini detal bukan secara rawak atau semborono. Dan bukan hanya dibuat diatas meja tetapi siap masuk kampung dan bertemu dengan ketua kampung atau pengerusi JKKK yang tahu status setiap penduduk dalam lingkungan.

Mau buat macamana hendak tidak hendak kena buat juga. Teguhlah duhai jiwa. Pangkat, gred dan gaji pun sudah naik, status pun sudah tetap, tugas kena cemerlang kata bos. Tetaplah begitu jika tidak seksalah cuping telinga ditembak bertubi-tubi dengan ayat2 power.

Saya teringat kata2 seorang pensyarah, bertemu dalam satu acara bulan lepas disuatu kota, katanya yang sanggup buat kerja sebegitu adalah dikalangan mereka yang tidak berpendidikan tinggi, aduhai sombong sungguh dia berkata-kata. Setakat lulusan digree pun sudah mau menyombong lagak saja lebih.

Akhirnya tugasan berjaya disiapkan walau hampir jam 4 pagi, itu baru fasa 1. Banyak lagi tugasan menunggu perlu diselesaikan segera. Sabarlah duhai hati..jika langit itu bertangga akan didaki sampai kebumbung. Tetap Sabar duhai jiwa.  YANG PENTING BN TATAP MENANG.

Ok lah langkah terus dihayun hingga ke puncak jaya. Jangan mengalah selagi maut belum tiba.


Thursday, 26 October 2017

CARA NAIKKAN PERANAKAN JATUH DENGAN LEBIH BERKESAN

Cara Naikkan Peranakan Jatuh Dengan Lebih Berkesan, Para Wanita Perlu Jaga-jaga dan Tahu
Cara Naikkan Peranakan Jatuh Dengan Lebih Berkesan, Para Wanita Perlu Jaga-jaga dan Tahu. Rahim jatuh atau dikenali sebagai prolaps boleh berlaku dalam pelbagai peringkat. Pada peringkat awal, rahim hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa (yang ni memang ramai tak perasan), peringkat kedua apabila rahim jatuh sampai ke permukaan faraj (tahap ni akan ada rasa beberapa kesan sampingan dan tanda-tanda).
Dan apabila masuk peringkat ketiga, keadaan yang sangat teruk iaitu apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran vagina dan permukaan. Ini dipanggil tombong.
Itu sebab lah orang tua dulu berpesan perempuan tak elok angkat benda yang berat-berat. Percayalah kita orang perempuan, kudrat tak kuat mana. Mungkin tenaga tu ada tapi ada bahagian dalam tubuh kita yang memang tak berdaya. Jom semak punca dan tanda awal rahim jatuh…
Punca-punca rahim turun:
1. Jatuh terhentak yang kuat.
2. Angkat benda yang berat.
3. Tidak berpantang dengan baik selepas bersalin.
4. Tolak benda dengan kaki terutama sekali menggunakan ibu jari.
5. Obesiti.
6. Pergerakan yang lasak.
Kesan akibat peranakan jatuh:
1. Sakit perut yang luar biasa.
2. Keluar cecair dari rahim.
3. Keputihan/lendir putih yang banyak dari kebiasaan.
4. Sakit pada ari-ari.
5. Sakit pada dinding faraj.
6. Sakit ketika ‘bersama’ suami.
7. Rasa kejang pada bahagian bawah perut.
8. Terasa seperti mahu bersalin/macam ada benda nak keluar dari faraj.(Ini peringkat yang teruk).
Tanda awal rahim jatuh:
1. Selalunya waktu petang lepas asar badan rasa nak demam, kaki tangan rasa sejuk.
2. Terasa nak buang air kecil dengan kerap.
3. Sakit pinggang dan sengal-sengal di bahagian bawah perut.(ari-ari)
4. Kalau berdiri, terasa seperti rahim seakan jatuh dan rasa sengal.
5. Cepat rasa penat kalau buat kerja.
6. Peha dan betis rasa kebas-kebas.
Anda boleh check sendiri dengan cara ini:
1. Baring lurus, jangan guna bantal.
2. Sapu minyak pada perut dan atas ari-ari especially di bawah pusat.
3. Gosok minyak ke seluruh tempat perlahan-lahan.
4. Mulakan dengan urutan di sebelah kiri perut dan bawa ke tengah.
5. Urut sebelah kanan perut dan tarik ke tengah.
6. Bernafas seperti biasa.
7. Cuba tekan bahagian bawah pusat, betul-betul di atas ari-ari. Kalau rasa sengal dan ada rasa benjolan kecil, itu tanda peranakan anda dah jatuh.
Ini apa yang anda perlu buat!
Biasanya mak bidan akan urut dan naikkan balik rahim di kedudukan asal.
Cara untuk menaikkan kedudukan rahim yang jatuh…
Selain amalkan senaman kagel, cara ini pon boleh membantu tapi sebaiknya buat urutan sengkang rahim dulu dari mak bidan.
Bagi yang dah teruk tu, sila dapatkan nasihat dari yang pakar. Kalau tak boleh tegak lurus pun tak apa, ikut kesesuaian diri dan jika takut, minta bantuan sesiapa pegang kaki itu, buatlah dalam kiraan 10-20. (jangan kira laju) Bernafas macam biasa.
Langkah ini hanya bersifat sementara, sebaiknya dapatkan khidmat bidan untuk sengkak rahim.
1. Mulakan urutan sendiri pada perut kasi lembut urat perut.
2. Bila urat perut dah lembut, perlahan-lahan sila angkat kaki ke atas dinding dan pada masa yang sama tarik bahagian yang berbenjol di atas ari-ari ke sebelah atas ( ke arah pusat).
3. Urut pelan-pelan dari bawah naik ke atas. Kalau sengal, berhenti dulu dan ulang sehingga anda rasa lega.
4. Rehat seketika sebelum bangun.

Monday, 23 October 2017

TOMBIRUO: Gagal Menceritakan Sosiobudaya Pribumi Sabah

Prof Dr Rem Dambul

1
Saya menonton Tombiruo minggu lepas. Sebagai filem produk tempatan, saya rasa ada aspek tertentu yang boleh dibanggakan. Sinematografi memang ada kelas. Berjaya menampilkan karisma Sabah sebagai syurga alam semulajadi.

Adegan aksi juga amat memikat. Pertarungan fizikal diberi tata-gerak yang rapi, serta dirakam dari sudut lensa yang tepat. Sungguh dramatik, lagi menguja perasaan. Apatah lagi dengan ekspresi runut bunyi yang begitu berkesan.

Elemen teknikal filem ini memang wajar dipuji. Susah mau disangkal. Sayang sekali, inti pengisian karya ini – yang merupakan jiwa sebenar sesuatu produksi seni – tidak seimbang dengan keanggunan pesona teknikal.

2
Mungkin saya agak kritikal, kerana saya tidak hanya melihat kemenjadian karya ini dari kacamata seorang penggemar filem dan penggila pop semata-mata. Tetapi juga dari kacahati seorang pribumi Sabah, anak jati Momogun Dusun – yang menjadi latar sosiobudaya utama filem ini. 

Komuniti Momogun memang intim dengan alam. Tanah dan belantara adalah warisan asli yang mendasari tradisi dan survival mereka. Justeru, konflik pemilikan tanah adat memang kerap berlaku (misalnya, kes kontroversi Empangan Kaiduan suatu ketika dulu, yang akhirnya dibatalkan).

Ya, karya ini sebenarnya mengadun tema penting yang sangat relevan dan kontemporari. Ia menggarap isu pergelutan komuniti marginal, dalam arus modenisasi yang deras. Ini bukan satu isu enteng. Ini satu realiti yang pernah (dan masih) berkudis di Sabah.

Fokus naratif filem ini berkisar pada Tombiruo si penunggu rimba, yang menggalas kisah silam penuh misteri. Betul, ini watak fiksi. Namun plot dan perwatakan dioperasikan atas domain sosiobudaya dan lanskap geografi yang realistik, iaitu komuniti Dusun Keningau. Persoalannya: dapatkah roh pribumi Sabah ini dicitrakan secara munasabah?

Saya fikir tidak. Biar saya hujahkan kenapa. Mari kita bermula dengan beberapa khilaf faktual.

3
Pertama, tentang watak ‘Bobolian’ yang digambarkan seperti wanita tua, yang hidup sendiri jauh dari perkampungan. Malah, kadang-kadang kenampakan seperti tukang sihir yang menakutkan. Ini kegagalan paling ketara.

Bobolian adalah figura terhormat bagi rumpun Momogun. Mereka mendokong peranan selaku ketua spiritual tertinggi masyarakat. Penampilan mereka mungkin agak klasik dan tradisional. Tetapi bukan seperti nenek kebayan yang tidak terurus, apatah lagi meminggir diri di hutan rimba!

Saya fikir watak Bobolian ini saja-saja diwujudkan dengan tujuan mahu memberi elemen ‘Dusun’ kepada filem ini. Malangnya, ia dibuat secara rambang dan semberono, tanpa memahami apakah konteks sebenar institusi bobolian. Ya, filem ini tidak berjaya mendidik penonton memahami salah satu tradisi penting rumpun Momogun, khususnya etnik Kadazandusun. Bahkan, ia memberi gambaran yang terpesong.

Ungkapan kata-kata lisan yang membuka intro filem ini pun ada isu. Ia disampaikan dalam Bahasa Dusun dengan dialek bercampur baur. Ada dialek Tangara pada permulaan, yang merupakan bahasa pertuturan komuniti Momogun hilir, di sekitar Penampang. Kemudian disusul dalam dialek Liwan. Ini loghat komuniti Momogun hulu, di sekitar Keningau dan Tambunan.

Kecacamarbaan ini agak pelik, dan mengundang pertanyaan: kenapa? Adakah Tombiruo bercinta dengan sumandak hilir? Adakah ibu dan bapa Tombiruo datang dari komuniti silang Momogun hilir dan hulu? Sampai tamat tiada sebarang hint atau jawapan diberi kepada persoalan-persoalan ini. Maka saya anggap itu sebagai khilaf faktual. Mungkin tenaga produksi tidak memahami kepelbagaian dialek Momogun, yang setiap satunya unik kepada sub-etnik tertentu dalam lingkungan geografi spesifik.

Bahasa Dusun yang ditutur oleh watak Bobolian juga agak keras. Komuniti Liwan Keningau terkenal dengan dialek yang halus beralun-alun. Bukan ditutur dengan nada ‘sebiji lepas sebiji’. Kedengaran agak janggal. Tapi kemuncak isu bahasa ini timbul ketika ‘rinait’ (mantera) berkumandang dalam babak pertarungan akhir (semasa Tombiruo dan Amir berganding melawan musuh).

Suara sangat datar tanpa irama. Seakan-akan seorang penyajak amatur sedang membaca teks tanpa perasaan. Sedangkan ‘rinait’ ini sepatutnya dilafaz dengan penuh muzikal, ada ragam pitching suara yang tersendiri. Bukan nada bersahaja ala biasa-biasa, seperti sedang bergossip dengan jiran tetangga.

4
Khilaf faktual yang kedua, dari segi latar geografi. Tombiruo digambarkan sebagai penunggu rimba Keningau, yang merupakan sebahagian hutan dara Banjaran Crocker. Tapi yang nampak rimba, cuma kawasan persekitaran apabila kamera dihala pada pondok Tombiruo di atas pokok.

Bila turun saja ke tanah, tiba-tiba rimba bertukar jadi belukar. Terdapat perbezaan signifikan di antara hutan primer dan hutan sekunder, yang tidak boleh diremeh-remehkan. Apatah lagi dengan reputasi Banjaran Crocker sebagai antara hutan hujan Khatulistiwa tertua dan paling kaya diversiti di dunia.

Saya bukan mencadangkan penggambaran dibuat betul-betul di tengah jantung rimba, yang menawarkan lapis-lapis tumbuhan dan kanopi vegetasi dengan kualiti hutan dara sebenar. BUKAN. Memang ini tidak praktikal.

Tapi saya fikir ‘persekitaran’ begitu boleh disimulasi guna teknik animasi tertentu. Agar dapat memberi aura rimba yang sebenar, dan bukan sekadar rimba jadi-jadian. Kalau tidak, tajuknya kena tukar: Tombiruo Penunggu Belukar.

Dari pondok Tombiruo di Keningau, boleh nampak Aki Nabalu berbalam-balam dari jauh. Cantik. Saya tidak pasti, bolehkah nampak gunung ini dari Keningau? Barangkali tidak, sebab terlalu jauh. Tapi tidak apa, saya boleh terima simulasi sinematografi ini untuk memberi satu nilai-tambah estetik pada filem. Tapi alang-alang mau buat simulasi, buatlah berdasarkan fakta geografi.

Paparan Aki Nabalu dalam filem itu dilihat dari sudut pandang yang sedikit ke arah barat laut (Tuaran). Sedangkan lokasi sebenar Keningau, relatif kepada kedudukan Gunung Kinabalu, adalah cenderung ke barat daya. Jadi bentuk Aki Nabalu sepatutnya bukan begitu. Bahkan, satah pandangan 'imageri’ (dibayangkan saja) dari Keningau sebetulnya jauh lebih memukau. Kerana pundak Low’s Peak akan dilihat penuh pada arah depan, bukan sipi-sipi dari sudut tepi.

Semasa Tombiruo (yang masih bayi) dihanyutkan ke sungai, ada ditunjuk satu visual air terjun yang lebar dan tinggi. Wow, sungguh teruja. Kawan saya siap cakap: “Erk, nanti kalau saya ke Sabah, kau bawa ke sana ya.” Sebenarnya air terjun super gadang itu hanya fantasi. Tidak wujud pun di Keningau, atau mana-mana tempat lain di Sabah.

Sebagai filem yang bersandar pada lokaliti realistik, jungkirbalik fakta seperti itu patut dielakkan. Dari segi prinsip perfileman, memang tidak salah. Sebab ini genre fiksyen. Tapi karyawan yang benar-benar bagus dan teliti, akan berusaha mengekalkan nilai autentik citra tempatan di mana sesuatu cerita itu diolah. Saya fikir, kepersisan begini boleh menyuntik elemen organik yang lebih tulen pada karya yang ditukangi.

5
Selain khilaf faktual, saya juga kurang terbujuk dengan lakonan. Tidaklah buruk, tetapi secara keseluruhan terumbang-ambing pada paras sederhana. Yang saya rasa kuat, cuma watak bapa Tombiruo (Faizal Hussein) dan Wan Suraya si jurnalis gedik. Yang lain, semuanya kurang menyerlah.

Banyak dialog yang agak 'corny' dan tidak natural. Ala-ala cerekarama menjelang maghrib tahun 1980an. Marlia Musa paling mengecewakan. Scene dia sikit saja, tapi penting dari segi aliran emotif filem. Sebab dia menautkan naratif konflik keluarga yang menjadi titik fokal filem ini.

Tapi alahai. Cara dia menjiwai watak tak cukup natural. Masa suaminya (M. Nasir) mahu pergi ke tempat kampung yang diserang, Marlia acah-acah menghalang. Sangatlah deja vu drama pentas zaman universiti dulu! Macam tak ada chemistry, padahal mereka memang pun suami-isteri sebenar di luar filem.

Watak Amir lagi pelik. Macam celaru identiti pula. Sekejap loghat Sabah, banyak kejap loghat KL. Saya pun keliru, watak dia dalam filem ini sebagai apa: orang Sabah atau Semenanjung? Saya fikir dia mungkin orang KL yang berhijrah ke Sabah. Tapi pada hujung cerita, rahsia terbongkar bahawa dia sebenarnya kembar si Tombiruo. Maksudnya orang Sabah laitu, kan? Fuh, saya tiba-tiba rasa mau tikam-tikam perut sendiri.

6
Walaupun ini cuma filem fiksyen, elemen latar sepatutnya tidak diremehkan. Citra sosiobudaya dan lokaliti adalah isu yang dekat di hati masyarakat pemiliknya. Mahu tidak mahu, ada sensitiviti yang perlu dijaga.

Kehadiran sebuah filem Malaysia dengan magnitud box-office begini, tentu sekali membanggakan saya sebagai anak Momogun Sabah. Tapi tersedik jua di hati nurani, saya mengharap citra tempatan yang telah diarusperdanakan dalam filem ini dapat dipapar se-realistik yang mungkin. Itu harapan sajalah, kan.

Tiada yang sempurna, dan saya tidak mengharapkan kesempurnaan nan padu. Menterjemah citra sosiobudaya dan geografi dalam sebuah filem (yang relatifnya 'pendek' lagi terbatas berbanding karya persuratan) -- tidaklah mudah. Ya, saya tahu.

Tapi saya fikir, seni filem mesti dinilai secara holistik. Bukan saja pada merit artistik dan teknikal; tetapi juga merit sosiobudaya. Barulah tepat aspirasi: filem kita, WAJAH kita!

Kalau kita sanggup melabur kapital, tenaga pakar, teknologi dan fasiliti untuk menghasilkan impak visual dan audio yang memukau -- kenapa tidak ada pelaburan yang sama untuk memperhalusi citra pribumi yang melatari naratif filem? Semua yang saya sebut dalam komen ini bukan susah sangat pun. Cuma barangkali, ia tidak diberi prioriti penting semasa proses pembikinan. Bukan terlepas pandang, tapi dilepas pandang.

7
All being said....

....secara jujur, saya tetap rasa bertuah dapat menonton filem ini di pawagam. Ya, ada nilai istimewa tersendiri; terutama garapan teknikal i.e runut bunyi, seni arahan sinematografi dan koreografi aksi lasak.

Pelaburan tiket masih berbaloi, kerana filem ini ada menawarkan sejemput katarsis emosi dan gratifikasi jiwa. Meskipun rasa itu tidak sampai ke tahap klimaks. Ibarat kata orang, bagai berjimak hingga ngilu, tapi tak inzal. Nikmat ada, cuma tak puas.

#Tombiruo
#TombiruoPenungguRimba

Disclaimer: Gambar hiasan entri ini dicopek tanpa izin (tapi bukan niat mencuri) dari domain publik internet. Harap maklum.