Thursday, 19 March 2020

STAY AT HOME (RUMAHKU SYURGAKU)

Laluan menuju ke kebun Rusa
masih dalam proses penyelangaraan 

Sebahagian pasu-pasu masih berselerak
Ada 14 hari arahan agar tinggal dirumah dan jangan ke mana-mana terutama di tempat-tempat awam yang sesak dengan manusianya untuk mengelakkan dari dijangkiti virus COVID - 19  Namun ramai juga yang merungut dan berkeliaran dengan pelbagai alasan tak sayang nyawa Agaknya.

Bagi aku paling happy, bukan happy kerana tidak bertugas, tetapi happy kerana dapat menumpuhkan sepenuh perhatian kepada apa lagi kalau bukan bunga-bungaku, bunga jiwaku,, ruang yang paling mahal ini akan digunakan sebaik mungkin InsyahAllah.  ini dia syurga jiwa,














Aku kaki bunga 

Wednesday, 18 March 2020

Eee RISAULAH

Tadi baru dapat WhatsApp dari seorang hamba Allah dalam flight semalam ada seorang budak sabah, pelajar dari Johor didapati positif COVID 19 sekarang sedang dicari oleh KKM masyahAllah moga tiada apa yang berlaku.


Ini penerbangan semalam dari KL ke Kota kinabalu , sesak flight

Friday, 13 March 2020

COVID 19

Di lapangan Terbang KKIA aku ke Kuala Lumpur atas beberapa perkara penting yang ingin ku selesai kan dan selainnya urusan buku. Yang penting itu tak perlu ku hebahkan, BIARLAH rahsia😊.

Aku perhatikan keadaan di KKIA biasa-biasa saja, cuma kali ini ramai individu memakai mask tidak seperti sebelum ini. Ini mungkin disebabkan perkabaran terkini virus COVID 19 ini semakin mengganas dah beberapa individual di sabah sudah terkena jangkitan.

Aku sebenarnya dalam diam tetaplah risau dengan perkara ini. Malas pula pakai mask, tawakal saja dan tenang berdoa dalam hati.

Apa yang harus di lakukan, ambil perhatian tentang langkah-langkah penjagaan mengelak jangkitan virus ini. jangan di pandang remeh nanti silap haribulan petaka yang tiba, ini motivasi untuk diri sendiri.

Aku sudah berada dalam perut pesawat. Semoga Allah swt sentiasa melindungi setiap langkah ini.

Sepanjang waktuku di Kuala Lumpur, semua manusianya berurusan seperti biasa, tidak kelihatan ribut atau panik, hanya biasa-biasa saja termasuk juga aku relex dan santai, yelah mau buat macamanakan, tapi tetaplah berhati-hati.

Wednesday, 11 March 2020

AKU PEREMPUAN

AKU PEREMPUAN
DIUJI BERKALI-KALI
PERIT TAK TERPERI
BAGAI DITUSUK BELATI
NAMUN BIARLAH
AKU MEMILIH
JALAN YANG LAPANG
TIDAK MENUMPAHKAN AIR MATA
ATAU MENEMBOK DENDAM
SEKADAR HANYA KERANA MANUSIA

Sajak kontot pun jadilah😅

Tuesday, 10 March 2020

GADIS KECIL Di KERALA

GADIS kecil dijalanan 

ANTALOGI CERPEN MEGA KINABALU

Sebuah lagi antalogi cerpen Penulis sabah yang baharu di terbitkan oleh DBP. Syukur Alhamdulillah akhirnya dapat di terbitkan setelah beberapa tahun menunggu.

Ingatkan sudah di abaikan tup tup sudah keluar yeaaaa. Maklumlah penerbitan melalui DBP ini bersyarat harus melalui tapisan, melanggar syarat out.. Mujurlah semuanya OK.

Cuma dalam antalogi ini ada dua cerpen yang terkandas mungkin di sebabkan cerpen tersebut terdapat unsur-unsur yang tidak dibenarkan dan terpaksa di keluarkan. Ini antara punca kelewatan penerbitan antalogi tersebut.

Rasa tak sabar menanti buku ini kepangkuan para Penulisnya. InsyahAllah akan tiba tak lama lagi. Muaa sabarlah duhai hati.

#bercakap pasal anugerah karya terbaik setakat ini belum pernah dirangkul, kerana aku menulis tidak terfikir lansung kearah itu buat masa ini, aku hanya menulis untuk suka-suka dan kerana minat. Lagi pula aku dikira masih baru dalam bidang ini dan masih perlu belajar dalam banyak perkara tentang penulisan.

Setakat ini mungkin sudah lebih dari sepuluh buah Buku antalogi cerpen dan puisi bersama rakan-rakan Penulis dan Buku-Buku yang telah kutempah yang sepatutnya untuk dijual masih berlambak, senaskah pun aku tak jual, kebanyakannya aku hanya jadikan sebagai hadiah kepada kawan-kawan. Aku tidak berminat untuk menjualnya.

Kabar dari rakan-rakan buku mereka ada yang telah habis dijual. Baguslah jika begitu aku tumpang gembira mudah-mudahan rezeki sentiasa murah.

Aku berkarya untuk kebahagiaan jiwa sendiri.


KAMU TETAMU BIADAP

Dulu kami bagi ruang
Kepada Kamu bertamu 
di ruang tamu ini
Tapi kamu tetamu yang lupa diri
Kamu tetamu biadap
Kini kamu tak layak lagi
Berada di ruang tamu ini
Pergilah jangan kembali 
Kerana ruang tamu ini 
Hanya untuk tetamu yang tahu diri


Monday, 9 March 2020

PERTEMUAN PENYAIR INDIA/ ASEAN 2020

KERALA INDIA
Coretan perjalanan 19hb febuari-25hb febuari 2020

Kerana Puisi aku merentas Benua - \\
Aku mengembara lagi ke satu destinasi. Kali ini ke negeri Kerala. Kerala ialah salah satu daripada 4 buah negeri India selatan. Ibu negerinya Thiruvananthapuram. Bahasa resmi malyalam. Jumlah penduduk 32,838,619 Kerala sebuah negeri di pantai Malabar terletak dibarat daya India. Kerala adalah salah satu negeri paling bersih rasuah kata pengkaji yang telah melakukan kajian. Demikianlah serba sedikit latar belakang negeri Kerala yang kujejak. Tak terjangka tak terduga jejak langkah sampai ke negeri ini, Segalanya adalah atas kehendaknya dan takdir. Demikian juga siapa menjangkakan PM ke 8 yang sentiasa cool tiba-tiba jadi PM, tapi yang bersorak 1 dunia ingin jadi PM akhirnya tiada apa, ini semua adalah rencana Allah swt yang maha kaya. 

19hb February 2020 - 

Semua Rombongan diminta berkumpul di aras 5 KLIA 1 KUALA LUMPUR Pada tepat jam 6pm untuk memudahkan segala urusan yang berkaitan sebelum berlepas, itu pesanan ketua rombongan kami Dr. Saleeh Rahamad presiden Persatuan Penulis Malaysia (PENA) kepada semua delegasi seramai 28 orang, termasuk dari sabah dan Indonesia.

Aku dan Dr. Awang Azman menghadapi sedikit masalah visa ketika berurusan di kaunter ticket kerana ada kesilapan teknik terlepas pandang tanpa disedari. Jantungku rasa berombak mulai memikirkan andailah urusan visa itu tidak sempat diselesaikan pada masa itu, melepaslah turut serta ke Kerala, namun atas kebijaksanaa tuan presiden syukur Alhamdulillah dapat di selesaikan dengan pantas. Aku hampir melompat-lompat kegirangan dihadapan tuan presiden dan beberapa rakan rombongan mujur dapat dikawal.

Setelah urusan visa dan boarding pass selesai, kami terus menuju ke Gate 10 menunggu waktu untuk berlepas. Tepat jam 9.55mlm waktu Malaysia flight MH0108 Malaysia Airlines berlepas ke Kerala. Pukul 8.00mlm waktu di Kerala flight mendarat di lapangan Terbang KOCHI.

Yaaaa kami tiba dengan selamat syukur Alhamdulillah.
Menghadiri acara Penulis, paling manis kali ini aku ada sebuah karya seadanya itu turut dilancarkan dan sebuah lagi antalogi puisi bersama rombongan.

Peluang bukan selalu ada lalu kesempatan  sebegini harus dimenfaatkan selagi masih ada keupayaan. Bukan semata sekadar pergi enjoy tetapi ada perkara menyumbang kebaikan untuk orang lain dan untuk diri sendiri.

Sebaik tiba dilapangan terbang Kochi Kerala inilah Foto pertama sempat di rakam oleh temanku Kat. Kami berbalas merakam foto sebagai Kenangan. Hidup ini hanya sedetik dan jangan pernah merasa bosan kerana kita banyak pilihan, tak salah bahagiakan hati sendiri selagi hayat dikandung badan dan selagi tak melanggar hak asasi insan sejagat. Banyak perkara menyumbang jiwa rasa bahagia terpulang pada diri sendiri. Jangan cetuskan onar untuk kehidupan yang lebih aman. Muahhh

Setelah selesai mengambil bag, kami terus keluar dari bangunan menuju ke tempat menunggu ketibaan bas yang telah disewa khas. Sementara menunggu bas ada yang mengambil kesampatan merakam gambar sebagai kenangan dengan pelbagai gaya. Lebih kurang tiga puluh minit bas tiba, Bas inilah yang membawa kami ke setiap lokasi. Rombongan di bawa menuju ke tempat penginapan, entah hotel apa lupa namanya. Sepanjang perjalanan tidak dapat melihat suasana diluar bas kerana hari sudah gelap, perjalanan menuju ke tempat penginapan memakan masa lebih kurang dua jam, agak jauh juga, tiba di Hotel dalam sekitar jam 10.30 mlm waktu kerala. Keadaan hotel agak selesa dan kami dimaklumkan kamilah peghuni pertama hotel tersebut, patut pun semua kelihatan baru OK lah, tidur pun nyenyak Alhamdulillah. 

20hb febuari 2020:
Keesokan pagi barulah dapat melihat suasana diluar hotel, rupanya hotel tersebut lokasinya di persekitaran kampung. Aduh seperti berada dikampung halaman sendiri. Tak terasa kami sedang berada di Kerala India. Selepas kami bersarapan, rombongan menaiki bas menuju ke sebuah kolej. Di sepanjang perjalanan baru nampak dikiri kanan perkampungan penduduk, Rumah mereka agak cantik juga dibina dari bahan konkrit. 

Tak sampai satu jam kami tiba di Kozhenchery St. Thomas. di sinilah acara tersebut di adakan. Kolej ni nampak agak usang, di malaysia rasanya bangunan sebegini tidak lagi digunakan atau setidak-tidaknya diselenggarakan untuk dibaikpulih. Penampilan pelajarnya agak sederhana tidak seperti di negara ku. Betapa jauhnya perbezaan antara Kerala dengan negeri ku. Betapa mewahnya negeri ku berbanding negeri Kerala, tetapi ramai wargaku tidak reti bersyukur dengan segala nikmat yang dikecapi.
Yang wargaku tahu, asyik mengutuk dan mengaku negerinya miskin..yang wargaku tahu semuanya hendak free, terlalu banyak menuntut, Tak terkejut aku jika Allah uji dengan kepapaan suatu masa.

Dari pagi, petang hingga ke malam berada di kolej ini dengan program seminar dan pelancaran buku kanak-kanak sebanyak enam buah. Antalogi puisi tidak dapat di lancarkan kerana ada sedikit masalah, walau bagaimana pun tetap akan di terbitkan kata tuan presiden Dr. Saleeh.
Ini antara rakan penulis buku cerita kanak-kanak yang di lancarkan pada hari tersebut, namanya Azizah
Majlis perasmian acara


22hb Febuari-
Dua hari rombongan mengadakan program dikolej ini. Hari kedua selepas acara selesai waktu tengahari, rombongan meninggalkan kolej menaiki bas menuju ke satu lagi tempat iaitu di Wind Walley Hill Resort. lokasinya terletak diatas bukit suasananya agak sejuk dan tenang jauh dari keributan di kelilingi bukit, sebahagian bukitnya agak landai.

Di Resort ini rombongan menginap satu malam keadaan OK saja walaupun bersesak sedikit, bagi aku tiada masalah aku orang kampung dimana bumi di pijak disitu langit dijunjung. Masuk kadang kambing mengembik, masuk kadang kerbau mengua, Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada InsyahAllah jiwa tetap rasa bahagia.

23hb Febuari-
Keeokan paginya rombongan berangkat  menuju kesuatu lagi lokasi disebuah hotel sederhana. Menginap lagi untuk satu malam, kami tiba waktu petang, tiada apa program yang di buat hal Masing-masing kata tuan presiden. Ada yang ke pantai, ada yang ke rumah urut. Aku memilih untuk ke rumah urut bersama kat, dil, Dr. Awang, kak ony dan Dr. Raja.

Aku hanya minta urut kaki saja, tapi urutannya tidak memuaskan hati. Kawan2 lain minta urut satu badan. Yang perempuan, perempuanlah tukang urutnya, yang lelaki, lelakilah tukang urutnya. Setelah selesai berurut kami balik ke Hotel. Aku, Dil dan kak ony menaiki bajai beroda tiga. Kat, Dr. Awang dan Dr. Raja menaiki teksi. 

24hb Febuari-
Esok paginya president mengajak kami ke pantai untuk melihat suasana laut di waktu pagi, kami menaiki bajai kerana pantainya agak jauh, jika berjalan kaki pasti tapak kaki bisa melecet dan mandi peluh. 
Happynya rakan-rakan
disebelah saya inilah wajah tuan presiden PENA Dr. Saleeh Rahamad
Pantai Kerala di waktu pagi. Keadaan pantainya tidaklah begitu bersih namun suasananya tetap menarik. Suara ombak bergelung-gelung membelai pantai, langit cerah begitu aman, Suara gagak bersahutan menyumbang keindahan panorama di sekitar pantai. 
Rakan-rakan merakam gambar dengan pelbagai gaya. Kehadiran pengunjung kelihatan samakin ramai. 

Dalam gambar Dr. President, kat, kak Ct. Nazatul, Memeng, Laura, norhayati. 
Setelah rasa puas kami beredar meninggalkan pantai bersama kenangan manis. Sekali lagi menaiki bajai beroda tiga balik ke hotel. Selesai sarapan pagi rombongan meninggalkan hotel menaiki bas menuju ke satu lagi tempat iaitu di Houseboat. 

Rombongan berada diatas houseboat dalam masa beberapa jam. Disini aktiviti mencipta puisi dan baca puisi, makan minum dan singgah di satu gerai di tepi tasik merasai air buah kelapa...bersambung.... Penat tulis 😭



Thursday, 5 March 2020

DROPS OF YOUTH ANTI PENUAAN

Sudah kutemui satu produk anti penuaan keluaran body shop. Praserum dan ternyata daripada penggunaan setakat ini nampak keberhasilan, kulit semakin cerah dan semakin lembut. Tidak sia-sia menggunakannya. Walau harganya Agak lumayan sedikit namun anda pasti akan berpuashati. Sekadar perkongsian buat wanita diluar sana yang Suka tampil anggun.

Tapi siapa kata kita tak akan tua, pastinya cuma barangkali proses ketuaan itu boleh di perlambatkan dengan pelbagai cara. Hanya jangan sesekali menggunakan cara yang bertentangan dengan hukum syarak seperti menggunakan susuk. Amalan seumpama Ini boleh menyumbang kemudaratan kepada jasad si pemakai kata orang tua-tua.

Kerana susuk itu ada mahluk yang terlibat disitu. Entahlah.


ANAK KAK LONGKU BIJAK DARI AKU




Anak kak long ku, dia anak sulung, aku anak Bungsu, 
Kami lahir dalam tahun yang sama hanya berlainan bulan dan tarik lahir, aku lahir bulan Julai dia lahir bulan November. Kami Sama-sama membesar dan bersekolah bersama dalam satu kelas ketika di sekolah rendah. 

Dalam pelajaran dia sangat bijak, Dia cepat menangkap apa yang guru ajarkan. Dia Selalu dapat nombor satu setiap kali peperiksaan. Berbanding aku, tidak terlalu bijak tidak juga terlalu bodoh, sedang-sedanglah lebih kurang.

Namun sayangnya dia hanya sempat menduduki kelas hingga ke tahun enam itu pun tidak habis kerana kekangan kewangan dan lain-lain hal. Sayang sekali namun Itulah dugaan pada waktu itu.
Mungkin juga takdir.

Kekecewaannya dalam meneruskan persekolahan masa lalu mungkin sudah terubat, anak-anaknya juga bijak dan Sebahagiannya telah bekerja dalam sektor kerajaan. Hemm begitulah perjalanan hidup setiap insan, bagaimanakah nasib hari ini, esok, lusa dan mendatang. Apa pun bersyukur dan hargai apa yang ada.

Aku akan Selalu bersyukur dengan apa yang aku ada. Hidup ini hanya seketika cuma, nikmati ia seadanya selagi hayat masih ada. 

Saturday, 29 February 2020

LEBIH BAIK BERLAGAK BODOH DARI BERLAGAK BIJAK

Sesetengah manusia berlagak sangat bijak tapi hakikat sangat bodoh dan menjengkelkan. Boleh bercakap pelbagai perkara seolah-olah dialah jaguh, adehh.. Mengalahkan Prof,, 😅😅😅 ini bukan membawang.. Hanya mengata🤣🤣🙏🙏
Aduii..

Aku ni mengata pada si pulan itu.. Asyik mengondem orang macam dia Saja yang betul.. Itu tidak betul, ini tidak betul.. Dia saja yang asyik betul.. Bikin panas gila.

Kabarnya si dungu ni bercita-cita ingin jadi ketua di satu Daerah, bagaimana hendak jadi ketua sudahlah dungu, tidak pandai faham-faham aduii, jika dialah jadi ketua confirm rosak susu sebelanga.


Friday, 28 February 2020

TERIMA KASIH TUHAN

Sekian lama aku menadah doa, hari ini Allah telah makbulkan segala doa, beban yang ku tanggung terlerai sudah syukur Alhamdulillah, andai esok atau bila-bila waku aku dijemputnya pergi
aku tenang disana.

Ingin rasanya aku berteriak pada dunia memberi tahu betapa jiwaku lapang, betapa jiwaku damai, aku tidak lagi memikirkan tentang perkara ini dan tiada lagi urusanku dengan hamba Allah ini didunia mahu pun di akhirat kelak.

Seorang hamba Allah yang baik hati pernah menghulurkan bantuan disaat aku dalam keadaan amat memerlukan suatu ketika dulu dan jumlahnya bukan sedikit. Walau dia menolak untuk menerimanya kembali namun janji tetap ditunaikan.

# Aku teringat pada satu peribahasa, kerbau di pegang tali hidungnya, Manusia di pegang pada katanya #.

Benarlah bila kita baik dengan orang, orang baik dengan kita dan kita tidak rugi menghulurkan bantuan pada insan-insan yang perlukan bantuan disaat mereka dalam kepayahan, insyahAllah rezeki sentiasa ada.

SIMPATI DENGAN DIRI SENDIRI. Muahhh

Telah di takdirkan aku di lahirkan sebagai anak bungsu, terlihat aku Selalu riang, tertawa, happy, namun sebenarnya aku seorang yang suka memendam perasaan dan selalu mengalah bila ada perkara yang tak memuaskan hati, tidak mahu mengeruhkan keadaan. Kerana aku ingin tenang selalu, walau dalam hati, jantung bagai ditikam-tikam, kulit bagai disiat-siat menanggung sabar.

Bukan mudah namun demi keamanan sejagat jiwa harus diteguhkan. Tapi tak lama juga akhirnya hati akan sejuk dengan sendirinya, pujuk hati sendiri agar selalu bersabar menghadapi karenah duniawi yang tidak menentu begitulah cerita tentang hati. Percayalah sabar itu indah hasilnya akan kau rasai.

Tetapi bukan semua perkara aku mengalah tau, tengok keadaan... Dan kecuali terpaksa huuuu

BENARLAH WOW ha ha ha

Asalkan bahagia dan tak menyakitkan hati orang.

Thursday, 13 February 2020

TAHNIAH PN. ROGAYA


Majlis perpisahan pn. Rogaya Hj Abdul Mumin bertempat Borneo Grand Hotel one B kota kinabalu. Pn. Rogaya diraikan dalam majlis malam ini. Beliau akan berpindah ke jabatan Infra sabah.

Semoga terus sukses di tempat baru. Esok mesyuarat di bangunan putera jaya.

Friday, 7 February 2020

ZIARAH STAF

Bersama warga ofes
Hari ini bersama sebahagian warga ofes ziarah seorang staf dibawah unit saya dikediamannya sedang sakit dan menyampaikan sedikit sumbangan. Sebulan lalu dia diserang stroke dan telah di masukkan ke dalam wad untuk rawatan rapi, sempat juga saya melawatnya pada masa itu, keadaannya agak stabile cuma tangan kirinya kurang berfungsi.
syukur Alhamdulillah kini keadaannya beransur pulih.

Beliau bukan saja rakan sekerja saya tetapi rakan dalam Persatuan Penulis. Kami sering bersama dalam setiap program jabatan dan program Sastera. Rasa Sebak juga bila seorang rakan yang akrab tiba-tiba ditimpa sakit sebegitu. Apa pun saya sentiasa mendoakan agar dia cepat sembuh.

Keadaan tubuh kita tidak sentiasa diposisi sihat, oleh itu jagalah kesihatan selalu, namun Jika sebaliknya harus tabah dan kuatkan semangat menghadapinya.


Thursday, 6 February 2020

KUZIARAH SAHABATKU

Hospital gleneagles kota kinabalu, ziarah rakanku Kat di hospital ini pada 5hb January. Rakan Penulis yang sering bersama ke mana-mana acara. Aku doaakan dia cepat sembuh.

Selesai urusan ziarah aku ambil kesempatan round-round ke parkson grand di bangunan Imago shopping mall bersebelahan dengan bangunan hospital gleneagles. Wah hebat juga dalam mall ini banyak sangat menggoda pandangan, rasa-rasanya semua hendak dibeli nasib baik dapat dikawal keinginan yang sedang menggebu-gebu ini. Oleh kerana masa terlalu suntuk tidak sempat round semua. Aku segera beredar balik ke daerah bimbang terlewat jem pula di perjalanan.

Tiba-tiba bertemu pula sahabat lama dalam politik satu ketika dulu sebelum kerajaan BN beralih kuasa dan sempat merakam foto untuk kenang-kenangan maklumlah jarang bertemu, dia duduk kota kinabalu aku pula duduk di pedalaman. Terima kasih kepada budak guard mall kerana sudi membantu merakam foto kami

Rakan dalam politik Negeri Sabah sejak Puteri, Musliati Muslimin, Dan dia pernah memegang jawatan sebagai ketua Puteri umno negeri sabah. Kini dia masih aktif dan memegang jawatan Ketua Umno bahagian.

KERANA AKU PEREMPUAN



Macam-macam produk ada:
Mary kay
Body Shop
Avon
Lancome
Shiseido

Inilah jenis-jenis produk yang aku gunakan sejak zaman berzaman nak buat macamanakan, kerana aku perempuan. Bahan-bahan kegunaan luaran ini berpisah tiada dalam kehidupan seorang perempuan, ini juga melambangkan kelembutan seorang perempuan dan aku bahagia berbuat demikian.


Sunday, 2 February 2020

SELAMAT TINGGAL WAHAI POHON


Selamat tinggal wahai pohon yang pernah berbudi kepada tuannya. sebahagian batang pohon mangga ini terpaksa di potong untuk mengelak dari menghempap rumah yang jaraknya hanya empat langkah.

Bila berlaku ribut pohon ini tidak terjangka nasibnya, sebahagian dahan-dahannya telah patah akibat diterjang angin. Kini tinggal setengah dan masih ada harapan untuk bertunas menjadi rimbun.

Tuesday, 28 January 2020

CANTIK DI MATA TUHAN



Rasanya dalam dunia Ini tiada Wanita yang tak ingin kelihatan cantik, cantik luaran dan dalaman, cantik di mata manusia semuanya ingin, tak terkecuali aku wanita kampung, namun aku tidaklah seobses terlalu sehingga ke tahap melakukan sesuatu yang mencabar pada mana-mana bahagian anggota tubuh badan buat masa ini seperti yang di lakukan oleh sesetengah wanita pada zaman ini.

Dengan tujuan sentiasa terlihat awet muda, kulit kencang tiada kedut, terutamanya di bahagian wajah, bukan kerana takutkan jarum tetapi bimbang jika tidak sesuai selepas disuntik.

Ini bukan mengata tetapi kenyataannya memang begitu. Macam-macam keadaan boleh berlaku, biarlah wajah ku berkedut mengikut peredaran masa. Tak apa oles dengan mekap pun sudah memadai buat masa ini asalkan ok.

Ketuaan pada setiap manusia tak mampu di elakkan kerana itu adalah fitrah pada kehidupan. Yang muda akan tua, yang hidup akan mati. Apa pun semua itu pilihan sendiri dan hak masing-masingkan. Apa yang kita buat, kita punya hal, yang penting asalkan kita bahagia dan tak ganggu kehidupan insan lain😅😅.
Hanya satu yang aku inginkan, Cantik di mata Tuhan.

#Jangan menangis perempuan dilorong belakang#.


Tuesday, 21 January 2020

FESTIVAL PUISI LAMPUNG INDONESIA


23hb januari -

Kini aku sudah berada di KKIA menunggu waktu untuk berlepas ke Kuala Lumpur. ketibaanku dalam sekitar jam 6.30pm di Klia2. Rakanku Kat pula dijangka tiba agak lewat dalam sekitar jam 10.30 malam. Sementara aku menunggu kat, aku berlegar mencari-cari sesuatu di sekitar bangunan, aku sebenarnya tidak berhasrat membeli-belah kerana esok akan meneruskan lagi satu perjalanan. Aku hanya membeli seutas jam tangan, jam tangan yang ku beli kali ini harganya tidaklah terlalu mahal sangat harganya bolehlah.

Setelah keletihan berlegar, aku mencari hotel ingin menginap untuk satu malam. Rancangan awal aku memang tidak menginap tergerak pula hati mencari Hotel setelah keletihan. Aku ke satu kaunter pertanyaan di aras 3, ada seorang perempuan duduk disitu, dia menunjukkan aku arah jalan menuju Hotel tersebut. Kedudukan Hotel di aras 4.  Tiba di kaunter aku bertanya jika ada bilik kosong, Jawapannya bilik dah penuh. Dia mencadangkan aku ke aras 1 mungkin disana ada bilik kosong.

Tanpa berlengah aku ke aras 1,
mencari hotel tersebut. Nampak kaunternya tak jauh dari tempat aku turun tadi. Aku terus ke kaunter dengan begitu bersemangat, lapang rasa bila staf di kaunter itu memberi tahu banyak bilik kosong. Dalam hati bersyukur tidaklah terburu-buru esok pagi dan bolehlah rehat-rehat sebelum kat tiba.

Dengan tidak selidiki dulu bagaimana keadaan bilik tersebut. Aku terus menjelaskan bayaran untuk satu malam, setelah urusan di kaunter selesai aku diberi satu bag kecil berisi sehelai tuala dan sebotol air mineral. Sebelum aku beredar meninggalkan kaunter petugas di kaunter itu memberi tahu bilik air kena turun entah dimana bla bla bla...lepas tu dia menunjukkan aku pula satu bilik berdinding kaca, terletak di hadapan kaunter, boleh juga letak bag disitu katanya, dalam bilik itu ada beberapa orang dan banyak bag, aku hanya menjawab OK. Dia menunjukkan aku arah menuju ke pintu masuk penginapan. 

Aku terus menuju ke pintu masuk mencari nombor bilik yang tertera dalam kunci. Sebaik melepasi pintu masuk aku tergamam melihat keadaan didalam seperti bilik stor, banyak kotak-kotak besi tersusun rapi dan bertingkat-tingkat. Dalam hati mulai rasa tak selesa dahlah letih mengheret bag yang agak berat, pelbagai persoalan dah berlegar dalam otak, kenapa agaknya tempat ini banyak kotak besi, fikirku tempat menyimpan barangan, mungkin ini hanya laluan menuju ke bilik tersebut. 

Aku meneruskan langkah tak sabar untuk memasuki bilik untuk berehat. Aku berjalan melalui satu lorong sambil mata memerhati pada nombor-nombor yang tertera hingga ke hujung, hairan dalam hati kenapa besi-besi ini bernombor. Aku tidak temui nombor bilik tersebut, aku patah balik menuju ke pintu utama. Aku bertanya kepada seorang perempuan yang kebetulan lalu disitu, agakku mungkin staf disitu, dia menunjukkan aku jalannya dengan hanya melalui percakapan. Aku patuh dengan apa yang di kata, aku terus berjalan masuk kelorong seterusnya berpandukan no kunci, aku jumpa satu pintu dan ada tangga, tak ada lagi laluan masuk ke mana-mana lorong, jalan mati, dalam hati berkata-kata tak kan naik tangga ini masih tak puashati. 

Aku keluar semula dari pintu kedua dan mencari perempuan tadi bertanya lagi mana satu biliknya. Katanya naik tangga di tingkat 2 disitulah bilik tersebut. Aku kembali ke tempat tadi dan terus naik tangga dalam keadaan hampir berputus asa dan letih mengheret bag yang berat. Hatiku dah kacau. 

Kakiku lenguh menaiki tangga langkahku longlai hampir tak mampu berjalan lagi, aku melintasi kotak-kotak besi mencari no bilik akhirnya aku jumpa. Dua tiga kali aku tengok no kunci dan no yang tertera dihadapan ku. Mataku berlegar memerhati di sekitar, masyahAllah dahsyatnya semuanya besi seperti berada dalam penjara biar betul.. berkata-kata lagi dalam hati sungguh mengejutkan. 

Pintunya hanya ditutupi tabir, aku selak tabir itu alangkah terkejut beruknya aku dengan keadaan bilik tersebut, bukannya bilik sesempurnanya tetapi kabin, rupanya kotak besi yang kusangkakan tempat menyimpan barang, itulah tempat tid
ur, macam tangkai air bentuk empat segi cat warna perak cuba bayangkan. 

Beberapa saat aku terpaku diluar kabin, masih rasa tak percaya itulah biliknya dengan harga RM168. 00, mengalahkan harga hotel 3 bintang, tak berbaloi langsung, kamar mandi dan tandas entah dimana lokasi. Tempat tidur pula cukup-cukup memuatkan satu sosok tubuh, aku menarik nafas panjang-panjang, memujuk hati yang teramat kecewa dengan kebodohan sendiri. Aku rasa itulah hari paling malang dalam sejarah misi mencari hotel buat seorang aku.. dalam hati mengutuk diri sendiri. Kadang manusia ini tidak mampu berfikir normal bila dalam keadaan kelam kabut. Alahai bodoh betullll. Patut pun ramai orang lebih rela tidur dibangku atau dilantai daripada tidur di tempat sebegini teruk. 😭

Perlahan-lahan aku masuk dan duduk diatas tilam, ada sebiji bantal, walau tilamnya empuk tak bisa memujuk HATIKU lagi. Ku perhati disegenap ruang Ya Allah rasa seperti berada didalam kubur, amat derita melihat suasananya, sambil berfikir.. aku menghantar whatsap pada kat tak jadi meneruskan penginapan di bilik sesempit ini. stress ku kian meningkat 100 darjah. Bimbang saja aku diserang tekanan darah rendah, sudahlah aku ni memang kurang darah.

Misi mencari hotel paling malang dalam sejarah ini pasti tak akan pudar dalam ingatan. (BILIK BESI KLIA2) tak kan berulang hanya sekali seumur hayat. 

Lebih kurang jam 10.30 malam kat menghantar whatsap dia sudah tiba. Tanpa membuang masa aku terus keluar dari kabin dan terus kekaunter mengembalikan kunci. Aku tak peduli lagi tentang kos yang telahku bayar. Aku terus mencari kat kami bertemu di aras 2 aku ajak kat duduk sebentar minum menyejukkan hatiku yang teramat keletihan gara-gara keadaan tadi. Selesai minum kami mencari teksi ke klia 1.

Esok kami berlepas melalui klia 1. Setelah berbincang dengan kat kami tidak akan menginap dimana-mana hotel lagi, kami buat keputusan hanya menginap di surau saja di aras 4. walau pun agak tak selesa namun tiada pilihan, tetap rasa lapang boleh bernafas panjang berbanding dalam kabin itu. Mujur penjaga surau itu sudi memberi ruang pada kami untuk rehat sebentar sementara menunggu esok pagi.
😅

24hb-
jam 5 pagi kami beredar meninggalkan surau dan terus ke kaunter menguruskan tiket penerbangan ke Jakarta. Kami berempat kali ini, Dari kota Jakarta kami menaiki pesawat Lion ke Lampung namun penerbangan kami ke Lampung tertunda selama hampir 5 jam. 45 minit penerbangan dari kota Jakarta ke pulau Lampung. Dari lapangan Terbang Lampung kami menaiki kereta menuju ke pelabuhan dan kami menaiki feri ke pulau TEGAL MAS. 

Akhirnya kami tiba di pulau Tegal MAS, Alhamdulillah, dukaku di bilik besi klia2 terlerai sudah melihat keindahan pulaunya. Meski pulau ini agak hangat tetapi tidak menyumbang kesan derita pada jiwaku, sebaliknya menyumbang happy dan bahagia.. Bahagiaaaa menghayati alam ciptaan ilahi.

Kami menuju ke jeti
24hb hingga 27hb January 2020 
Mereka sudah bersiap sedia menanti ketibaan para Penyair dari pelbagai Negara. InsyahAllah semoga sukses segalanya.

Menghayati keindahan buana.. 

Antalogi yang telah siap di bukukan. Disini aku berkesempatan berkenalan dengan seorang lagi penyair tersohor dari Lampung bernama Isbeady stiawan Z.S. bertuah rasa.. Aku Penulis kerdil yang bezanya dikalangan mereka seperti langit dan bumi. Aku terus belajar tapi masih terkial-kial. 😢

BR1M ZAMAN BN


Kenangan paling manis zaman kerajaan BN, Zaman Dato Najib pasti rakyat merindui zaman ini. Semuanya kini tinggal kenangan. Ada rakyat menolak tuah, paling sadis, ada Rakyat diberi madu tapi dia membalas dengan tuba, rasalah, kerajaan hari ini bagaimana. Mana yang lebih baik, tepuk dada fikir sendiri. 


Monday, 20 January 2020

TANGGANG ANAK DERHAKA

Satu kisah yang amat pilu, kisah seorang anak derhaka kepada ibu Kandungnya sendiri. Kerana kekecewaan yang amat dalam terhadap si anak, buat si ibu menadah doa kepada Allah swt akhirnya anak derhaka ini menerima pembalasan.

Doa seorang ibu tiada hijab, justeru setiap kata-kata yang ditutur harus berhati-hati namun jika sebaliknya apa boleh buat. Hanya Allah yang lebih tahu. Anak derhaka kehidupannya tidak akan aman sepanjang hayat jangan perlekehkan, mungkin hari ini kau rasa bahagia dengan tindakan yang kau lakukan namun hari esok tiada kepastian.
Allahualam.

Perjalanan masih panjang. 

Sunday, 19 January 2020

TAHNIAH PARLIMEN KIMANIS


Satu undi, satu Negeri Sabah. 
PSS adalah satu isu yang paling panas, sepanas lahar gunung berapi yang baru meletus di Negeri Bawah Bayu. ini antara faktor menyumbang kekalahan parti warisan dalam prk yang baru lalu. 

Ini adalah satu mesej rakyat bahawa pss adalah satu hal yang begitu sensitive yang tak seharusnya disentuh oleh pihak kerajaan warisan saat prk sedang berlaku namun berlaku pula sebaliknya. 



Saturday, 18 January 2020

CERITA DONGENG: JERANGAU MERAH

     
Siri Buku Cerita Kanak-kanak
DONGENG JERANGAU MERAH
Diceritakan semula: Haini Karno


Akhirnya buku comel ini dapat dihasilkan

Cerita dongeng ini saya dengar dari orang tua-tua sewaktu saya masih zaman kanak-kanak lagi. Keseluruhan jalan cerita itu langsung saya tak ingat hanya nama Jerangau yang masih melekat dalam minda sehingga kehari ini. Kisah Jerangau itu bertukar menjadi manusia itu saja.

Cerita dongeng jerangau merah ini telah saya olah semula bercirikan kisah dan tauladan sesuai untuk bahan bacaan di peringkat kanak-kanak pra Tabika.

Tentang kasih sayang seorang anak terhadap ibunya. Anak ini sanggup bertukar menjadi pokok jerangau demi menyembuhkan ibunya yang sudah lama terlantar sakit.

Sinopsis:

Pada zaman dahulu ada seorang kanak-kanak bernama Sulangi tinggal bersama ibu dan kakaknya di sebuah kampung bernama kampung Tidong (Bukit). Sulangi sangat rajin membantu ibunya di kebun.

Pada suatu hari ibu Sulangi jatuh sakit, Penyakitnya itu agak misteri. Sudah Berbulan-bulan tidak sedarkan diri.
Semua dukun dan pawang telah mengubatinya namun tidak sembuh. Mereka telah kehabisan ikhtiar dan berputus asa. Dukun itu berkata penyakit ibunya tidak boleh di sembuhkan.

Sulangi sangat sedih dengan keadaan itu menyebabkan dia dan kakaknya sering menangis. Suatu malam Sulangi telah bermimpi didatangi oleh seorang tua.

Orang tua itu berkata kepadanya bahawa penyakit ibunya akan sembuh dengan meminum air rebusan pokok jerangau merah dengan syarat Sulangi sanggup berkorban menjadi pokok tersebut.

Sulangi telah bersetuju demi ibunya yang dikasihi. Tiba-tiba orang tua itu hilang dan serta merta Sulangi bertukar menjadi pokok jerangau merah.

Pada malam itu Kakak Sulangi telah bermimpi, Sulangi memberi tahu pada kakaknya agar menggambil Pokok jerangau merah yang tertanam di belakang rumah untuk direbus dan berikan Pada ibunya untuk diminum. Sulangi menceritakan pada kakaknya bahawa pokok jerangau itu adalah dirinya yang berkorban demi menyembuhkan penyakit ibu mereka.

Tiba-tiba kakak Sulangi terbangun dan mencari-cari Sulangi namun Sulangi tiada disisinya. Tanpa membuang masa kakak Sulangi kebelakang rumah dan mengambil Pokok jerangau tersebut dan merbusnya. Air rebusan itu dititiskan sedikit demi sedikit ke mulut ibunya.

Tiba-tiba ibunya sedar dan sihat. kakak Sulangi telah menceritakan pada ibunya bahawa air yang ibunya minum itu adalah dari pokok jerangau merah. Sulangi telah berkorban bertukar menjadi pokok tersebut untuk menyembuhkan penyakit ibunya. Ibunya sangat terharu dengan pengorbanan Sulangi.

Sejak itu pokok jerangau merah telah menjadi salah satu bahan perubatan secara tradisional untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit oleh sesetengah 
masyarakat di kampung.

Karya asli: Haini Karno
Sebarang tindakan menciplak dari mana-mana pihak tidak dibenarkan, boleh di kenakan tindakan undang-undang.