Sunday, 3 April 2016

LONG PASIA AKU DATANG


Rombongan kami dalam perjalanan menuju ke Long Pasia, jalan grabel
Rombongan sedang menikmati hidangan
Penginapan 

menyusuri jambatan gantung Long Pasia

"Keroncong untuk ANA" sebuah lagu dipersembahkan oleh Pengarah Kemas Sabah pada malam majlis ramah mesra bersama masyarakat


Tarian kebudayaan masyarakat kampung 
Tarian kebudayaan suku kaum Lundayoh
Barisan rombongan Kemas Sabah turut bersama Pn. Hajah Aminah Penyelia Kanan Kemas Parlimen Sipitang bertudung hitam.

Inilah rombongan kakitangan Kemas Sabah sempat merakam kenangan berlatarkan kampung Long Pasia
Santai-santai tepi sungai setelah acara selesai
Kali ini kembara ke Kampung Long Pasia Sipitang dalam program Mesra Rakyat Anjuran Jabatan Kemas Negeri Sabah. Tidak pernah terjangka kaki ini menjejak ketempat ini namun itulah agaknya perancangan Tuhan yang sudah tertulis dalam riwayat hidupku sebagai hambanya.

 Selesai mesyuarat di Pejabat Kemas Sipitang dan menjamu hidangan tengahari rombongan kami yang terdiri daripada kakitangan Kemas dari pelbagai daerah, memulakan perjalana tepat jam 2 petang diketuai oleh En. Sahrulnizam Jantan Pengarah Kemas Negeri Sabah.

Rombongan telah dimaklumkan oleh PKD Kemas Sipitang En. Assim Asan perjalanan menuju kekampung tersebut memakan masa selama 4 jam dengan keadaan jalan tidak berturap, jalan ini hanya mampu dilalui kenderaan pacuan empat roda (4×4) berkuasa tinggi dan lori balak sahaja.

Sembilan buah pacuan empat roda termasuk kenderaanku mula bergerak meninggalkan pekan Sipitang. Aku pemandu tunggal wanita selainnya pemandu lelaki. Timbalan pengarah mencadangkan agar aku menaiki kereta yang disewa oleh pihak jabatan namun aku menolak kerana aku lebih selesa memandu dengan kenderaan sendiri.

Ketika dalam perjalanan hatiku agak berdebar kerana memikirkan perjalanan yang begitu panjang ditambah lagi keadaan jalan yang agak teruk namun kerana semangat ingin melihat suasana kampung Long Pasia yang sentiasa menjadi sebut-sebutan dibibir kugagahi juga meredah bersama tawakal dan doa tak putus-putus dalam hati.

Bukannya tak pernah memandu sejauh itu malah pernah memandu hampir 24 jam dari keningau ke Tawau, Lahad Datu berulang alik lagi terasa dahsyatnya. Namun begitulah bila memandu ketempat yang belum pernah dijejaki terasa ada resah dan ragu-ragu ok kah tidak, begitulah lebih kurang.

Keadaan jalan yang berbatu-batu, berhabuk tidak rata buat otakku dan seluruh jasad tak henti-henti bergoncang bagai nak gugur tulang-belulang mujur tak tercabut nyawa dari badan. Huhhh ni kali lah dalam hati berkata-kata. Sri Kandi Kemas Keningau pantang mengalah sebelum berjuang sudah tersemat sejak azali kecuali sakit dan tidak berdaya.

Rombongan kami tiba lebih kurang jam 5.40ptg di kampung tersebut, owah benarlah kata orang, kampung ini panoramanya indah, dingin saujanah mata memandang hilang segala keletihan saat memandu beratus batu.

Rombongan kami menginap di Mataga Rest House Long Pasia terletak dipinggir kampung lereng bukit. Sewa setiap bilik tidaklah begitu mahal hanya RM25.00 setiap seorang. Kemudahan seperti bilik air dan tandas semua ada. Sumber air daripada sungai Long Pasia, lampu menggunakan jenereto. Line enternet jenama maxis sahaja yang berfungsi.

Setelah berehat seketika dan selesai makan malam yang telah disediakan oleh beberapa kakitangan kemas dari Sipitang. Tepat jam 8 malam rombongan kami bergerak menuju  ketempat majlis diadakan iaitu diperkarangan bangunan pusat e- desa yang jaraknya dari tempat penginapan lebih kurang 300 meter dengan menaiki kenderaan, boleh pergi dengan berjalan kaki saja namun pasti kaki terasa lenguh.

Ketibaan kami disambut mesra oleh masyarakat kampung yang telah pun bersedia lebih awal terdiri dari kalangan orang dewasa, remaja dan kanak-kanak, anggaran kehadiran mungkin dalam lebih kurang 70 orang.

Pengisian program pada malam itu antaranya ucapan alu-aluan pengerusi JKKK dan ucap Tuan Pengarah Kemas  seterusnya persembahan tarian kebudayaan dikalangan wanita dewasa dan kanak-kanak. Selainnya acara suka-suka iaitu persembahan nyanyian karaok dan tari-menari dikalangan orang kampung dan kakitangan Kemas.

Acara malam berakhir hampir lewat malam. Acara keesokannya pula gotong-royong membersih kawasan sekitar kampung, mencat bangunan Tabika Kemas, pertandingan sukanika, mewarna dan beberapa lagi aktiviti. Selainnya melawat bangunan kebudayaan,sungai Long Pasia dan lain-lain.

Selepas makan tengahari, jam 12.40pm rombongan kami bergerak meninggalkan Long Pasia bersama kenangan semanis gula batu. Wah jika difikir-fikirkan kembali mau juga bertandang semula satu ketika nanti dan berlama-lama sedikit disana. Menurut pengerusi JKKK terdapat air terjun dikampung itu namun untuk sampai ketempat itu terpaksa berjalan kaki selama 3 jam.

Diusia emas begini rasanya sudah tak larat berjalan kaki sejauh itu. Apa pun yang penting hasrat berkunjung ke Long Pasia telah terlaksana. Dalam perancangan Kemas Negeri banyak lagi tempat akan dikunjungi di seluruh pelusuk Sabah , tunggulah pasti menjadi kenyataan InsyahAllah.


Sunday, 20 March 2016

KENINGAU TERPANAS DI MALAYSIA

Sungguh mengejutkan tiba-tiba daerah Keningau tersenarai antara kawasan yang terpanas di Malaysia. Apa sudah jadi, benarkah ini? Sebuah daerah terletak jauh dipedalaman dikelilinggi bukit bukau, banjaran crocker, beribu ekar kebun kelapa sawit, hutan simpan masih tebal dengan kedudukannya dilembah,  mana mungkin bisa berlaku sampai ke tahap begitu. Saya cuba menolak kenyataan itu. Dalam benak berfikir lainlah barangkali jika terdapat laut yang sememangnya berhawa panas.

Apa pun mungkin ada benarnya juga bila melihat keadaan sekeliling kebanyakan sungai disana-sini semakin mengering, tanah-tanah mula merekah, rumput-rumput yang dulunya hijau kini mula bertukar warna kuning akibat cuaca panas yang semakin membahang. Hujan pula jarang mencurah. Keadaan ini kadang mengundang bimbang dihati setiap warga.

Ditempat lain air paip sudah lama tidak muncul itu yang diviralkan dalam whatsap dan FB. Nah bagaimana jika kemarau berpanjangan, pasti ramai yang pantas kebuluran. Maklumlah zaman sekarang manusia sangat pantang bersusah sedikit. Bila berlaku sedikit masalah mulalah menyalahkan orang lain. Jika boleh mau dirakkan satu dunia ini salah dia, itu salah dia. Merekalah paling betul.

Baru-baru ini ada satu video diviralkan dalam FB memuatkan gambar sungai kawasan tadahan yang mana dikatakan punca susutnya air sungai itu kerana berlaku penerokaan disekitar untuk tanaman kelapa sawit. Dia menyalahkan pula pihak kerajaan walhal yang melakukan semua itu adalah orang kampung. Inilah sikap segelintir manusia hanya tahu menyalahkan tanpa mengkaji punca sebenar masalah.

Manusia yang tidak beriman begitulah menunjukkan sikap, langsung tiada kesantunan dalam diri. Fikiran nagetif telah berlumur dalam diri.

Monday, 14 March 2016

ADUHAI DIRI YANG TAK SEDAR DIRI

Tiba-tiba jiwaku rasa berbunga-bunga tatkala mendengar lagu saloma berdendang dalam cerita Do Re Mi. jiwaku lantas kembali berkelana jauh ke dasar kenangan. Mengenang saat zaman remajaku.

Aduhai hati aduhai diri, apakah ini menandakan jiwa rasa remaja. Atau kenapakah peristiwa lama sering bertandang kekotak ingatan. Indah barangkali..?

Usia kian bertambah tapi terasa diri muda selalu, iman patut makin menebal tidak lekang ditikar sembahyang..Aduhai diri yang semakin tua masih lagi tak sedar diri.

Diri kian tua, makin galak mencari harta dunia, bukan semua dibawa mati. rasa diri tak akan mati2.

Aduhai diri yang semakin tidak sedar diri, jangan sibuk mengumpul harta takkan kau bawa kekubur. Paling2 pun bila diri sudah mati hanya dibungkus kain putih harga murahan. Bukan kain sutera harga beribu...

Aduhai diri kembali kepanggkal jalan sebelum sesat dihujung jalan. Diriku patut malu aku tidak lagi secantik dulu kulitku sudah berkedut disana sini hanya menanti malaikat maut datang menjemput .
Insaflah diri bertaubat cukup2.

Ingatan buat diri yang selalu tidak sedar diri.
moga diri ingat selalu.
moga diri insaf selalu 
moga diri taubat selalu
Aduhai diri sedarlah diri..

Sunday, 13 March 2016

TAN SRI MUHYIDDIN DIHALANG MASUK DEWAN PWTC ?

Suasana diluar dewan
Secebis peristiwa ingin kucoret sebagai peringatan buat diri dan sesiapa saja yang bercita-cita ingin menjadi insan ternama. Gelombang yang menghempas bukan calang-calang dahsyatnya. 

" JIKA TAKUT DILAMBUNG OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI" AIR YANG TENANG JANGAN DISANGKA TIADA BUAYA". JIKA KAIL PANJANG SEJENGKAL JANGAN LAUTAN HENDAK DIDUGA" demikianlah kata pepata melayu berperi.

Setelah selesai semua para perwakilan wanita mendaftar kami pun masuk ke dewan dan duduk ditempat bahagian masing-masing yang telah dilavelkan kerana acara akan bermula.

Sesi petangnya sambung lagi untuk acara penutupan persidangan. Sementara itu aku keluar dewan sebentar menanti kedatangan seorang rakan kerana ada hal. Diluar dewan aku duduk dikerusi yang tersedia disitu sambil memerhati keadaan sekeliling, suasana agak binggit dengan keriuhan orang ramai dan para petugas.

Dalam beberapa minit tiba-tiba kedengaran suara orang bergaduh diselang-seli laungan hidup Muhyiddin meriuh ditingkat bawah. Para petugas diluar dewan, polis, juru gambar dan pemberita berebut-rebut merusuh dibahagian koridor berdekatan tangga bergerak. Aku  hanya memerhati apa yang bakal berlaku. Suara bising itu makin mendekat.

Tiba-tiba kelibat Tan Sri Muhyiddin muncul di tangga bergerak menuju ke dewan tempat wanita bersidang, turut kelihatan isterinya dan Datuk Shafie diiringi beberapa orang mungkin para penyokong mereka. Dalam suasana keributan itu juru gambar pula berebut-rebut menggambil gambar. Laungan hidup Muhyiddin terus bergema. Berlaku sedikit kekecohan dipintu masuk antara ponyokong Tan seri Muhyiddin dan para petugas kerana mereka cuba dihalang memasuki dewan. Mujur para pegawai polis yang bertugas disitu pantas mengawal keadaan.

Sebaik Tan Seri Muhyiddin masuk, tepukan gemuruh disusuli laungan hidup Muhyiddin bergema dari para perwakilan pergerakan wanita. Oleh kerana rakan yang kutunggu belum tiba aku cepat2 masuk. Tan sri Muhyiddin bersama isterinya dan Datuk Shafie telah pun duduk dibahagian hadapan. Aku sempat bersalam dengan Datin Sri Noraini yang kebetulan duduk ditepi tempat aku lalu. "MEREMANG BULU TENGKUK AKU" kata Ketua Wanitaku sebaik bekas TPM  itu masuk sebentar tadi. Aku juga rasa sebak dan air mataku rasa hendak menitis. Rasa sayang dengan mantan TPM dan Naib Presiden masih ada. Pada aku sesungguhnya mereka tidak bersalah pun hanya mangsa keadaan. Hanya kerana mereka bersuara berkenaan 1MDB.

Dato Sharizat yang sedang berucap dipentas turut mengucapkan terima kasih diatas kunjungan Tan Seri. Bekas TPM itu hanya sekadar melawat sebentar tidak seperti tahun-tahun lalu. Sepatutnya beliau merasmikan persidangan tersebut selaku TPM namun tidak lagi kali ini kerana telah digugurkan sebagai TPM.

Melihat bekas TPM itu, fizikalnya agak susut, wajahnya tidak ceria, aku hanya mampu bersimpati dan dalam hati berbisik, beginilah resam dipentas kehidupan politik. Pangkat dan kuasa tidak selamanya dalam dakapan. Apa yang berlaku hari esok sukar diramal. Apa lagi dalam suasana politik negara ini mana-mana dikalangan pemimpin yang lantang bersuara dianggap menentang pemerintah dan tidak menyokong perjuangan parti. Bersiaplah untuk dicantas dan bijak-bijaklah bawa diri selepas itu begitulah.

Selepas bekas TPM itu meninggalkan dewan tidak sampai pun setengah jam, Dato Sharizat menyambung ucapannya bahawa pergerakan wanita tidak pernah meminggirkan bekasTPM itu namun sebagai sayap yang hanya bertaut, akur dengan segala keputusan pucuk pimpinan dan tidak mampu berbuat apa-apa. Apa pun keadaan yang berlaku kepimpinan PM dan parti terus disokong tanpa berbelah bagi. Sebagai sayap dan tulang belakang parti berusaha dengan gigih, fokus utama memenangkan parti pada PRU 14 nanti.

Oleh kerana ingin tahuku meluap-luap, aku bertanya salah seorang petugas diluar dewan kenapa mantan TPM itu cuba dihalang memasuki dewan?  katanya risikan telah dibuat kononnya para penyokong mantan TPM itu akan melakukan kekacauan sebaik memasuki kawasan dewan PWTC. Owh Begitu rupanya.

9hb/12/2015. Tarikh Peristiwa berlaku. Aku terkedu..sedihh duka dan rasa terluka. Namun sebagai orang kecil hanya mampu berdiam tidak mampu bersuara. Rakyat marhaenlah katakan.

ANYAM BAHAGIA HINGGA KE JANNA

Cucu Kak Long Pian dan pasangan






Hari ini sempat meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan cucu kak Long. Beberapa kali asyik terlepas hadir kemajlis anak-anak buah kerana kebetulan sedang bertugas luar daerah.

Bertambah lagi keluarga kak long, bukan saja bertambah menantu anak-anaknya, pertambahan bilangan cicit juga meningkat. Meriah sungguh keluarga kak long.

Alhamdulillah keluarga kak long mungkin sudah mencecah ke 60 orang atau lebih, anak menantu, cucu dan cicit. Wow sampai aku pun tak mampu kira dan hampir tak kenal lagi cucu dan cicit.

Tuah Kak Long sentiasa murah rezeki.
KG. ADANG BATU 18 JALAN SOOK Majlis berlangsung. Moga cucu2 kak long sentisa dalam limpahan bahagia.

Beberapa orang lagi cucu-cucu kak Long bakal naik pelamin dalam tahun ini. InsyahAllah bakal dilaksana.

Majlis ini bermula jam 12.00th tadi hingga ke jam 10 mlm ini. Majlis ini agak sederhana tapi meriah dengan kehadiran ramai tetamu.
13hb/3/2016 (Ahad).

Saturday, 12 March 2016

SAFRUL DIBAWAH BAYU

Balik kampung bercuti



Safrul sudah mula belajar duduk
Safrul jenerasi keduaku petang tadi baru tiba dari Shah Alam. Ini pertama kali jejak katanah kelahiran ibunya. Safrul lahir disana. Abangnya pula lahir di negeri Bawah Bayu.

Safrul baru berusia hampir 6 bulan tetapi pergerakannya agak pantas sudah mulai belajar bercakap dan berdiri namun masih teragak-agak. Safrul peramah suka bercoleti  berbanding abangnya yang agak pendiam.

Sempat bercuti dikampung hanya tiga hari. Rasanya tak puas bersama mereka, melihat photonya mengundang rindu dihati. Aku sentiasa mendoakan mereka setiasa sihat dan baik-baik saja.

Friday, 11 March 2016

SIPITANG DAN LAUT


Untuk kesekian kalinya aku datang lagi ke daerah Sipitang atas urusan jabatan selama dua hari. Perjalanan daripada daerahku Keningau ke Sipitang jaraknya lebih kurang 110 km melalui jalan Daerah Tenom. Dari Tenom ke Sipitang 60km itu yang tertera dipapan tanda tepi jalan.

Kali ini aku ke Sipitang menggunakan kenderaan kecil Myvi 1.5. 1 jam setengah lebih kurang perjalanan tiba ke distinasi. Keadaan sebahagian jalan yang banyak mengalami kerosakan disana sini akibat laluan kenderaan berat, tanah mendap dan hakisan hujan nampak belum diselenggara, jika pemanduan tidak berhati-hati kenderaan bisa melantun keatas dan mungkin boleh tergolek kejurang.

Pekan Sipitang antara tempat yang menarik untuk dikunjungi kerana kedudukan pekannya tepi laut. Boleh dijadikan salah satu distinasi pelancongan dihujung minggu tempat melarikan diri dari kesibukan kota. Apa lagi daerah ini merupakan laluan utama ke Negeri Sarawak dan brunai. Projek Samur pengeluar baja kedua terbesar di Asia Tenggara yang masih dalam proses pembinaan ketika ini sungguh menarik perhatian.

Terkenal dengan keenakan saty antara daya tarikan pengunjung. Rasanaya rugi jika tak menjamahnya. Namun sayang sekali keadaan pekan ini yang nampak agak comot dan berserabut kurang menarik dipandangan serta keadaan hawanya yang agak panas rasa sungguh kurang selesa. Mungkin usaha majlis daerahnya perlu dipertingkatkan mendaya inisiatif memperindahkan lagi pekannya.

Mujurlah laut itu yang menyumbang keindahan panorama pekan kecil ini. Keistimewaan ini adalah anugerah ilahi yang harus dipelihara. Daerah kelahiranku tidak berlaut hanya dikelilingi bukit bukau dan sungai. Walaupun tidak terdapat industri mega tetapi pembangunannya terus pesat membangun tanpa dapat dikawal.

Sedang menikmati saty Sipitang yang paling enak

Tuesday, 8 March 2016

KISAH AYAH DAN POHON BERINGIN

Kisah nyata ini tercatat sekitar tahun 70han. Saat itu aku masih disekolah rendah. Arwah ayah merupakan pengamal ilmu tarekat dipelajari dari seorang Kiai bernama Mandur sharif setelah beliau memeluk agama islam.

Ayah belajar ilmu tarekat itu antara lain faktornya membantu memperkukuhkan pengetahuan agamanya secara tidak langsung menjadi seorang pengamal perubatan secara tradisi iaitu kaedah merawat pesakit dengan air penawar dibaca menggunakkan ayat-ayat Al Quran. Sepanjang hayat ayah membantu ramai pesakit dia tidak pernah sekali-kali meminta sebarang upah. Kerana menurutnya perbuatan itu bertentangan dengan amalan yang dipelajarinya dan begitulah yang dipesankan oleh Tuan guru Kiai Mandur Sharif.

Matlamat utama hanya membantu dengan hati yang ikhlas. Bukan setakat air sebagai penawar, menghalau mahluk halus dan pelbagai cara ayah lakukan bergantung apa masalah yang dihadapi oleh mereka yang berurusan.

Peristiwa ini antara yang masih tersimpan dalam kotak ingatan. Seorang pakcik mengadu pada ayah di kampungnya terdapat sepohon pokok beringin yang dihuni oleh mahluk jin, masyarakat kampung sering diganggu apa bila sesiapa saja melalui jalan berdekatan dengan pokok tersebut  menyebabkan penduduk rasa kurang selesa ditambah lagi ada dikalangan penduduk kampung menjadikan pokok itu tempat memuja, memberi mahluk2 halus itu dengan pelbagai santapan.

Pohon beringin itu besarnya mungkin dalam empat pemeluk orang dewasa. Bukan mudah ditumbangkan, sudah diiktiarkan namun tidak berjaya ada saja halangan.. Dalam ingatanku ayah telah meminta pakcik itu menyediakan sebatang paku yang panjangnya lebih kurang tujuh inci. Biasanya ayah akan melakukan oprasinya pada lewat malam jumaat dan malam ahad.

Setelah paku itu baca dengan mentera, paku itu harus dipakukan pada batang pokok beringin itu sekian hari, masa dan harus menghadap mata hari terbit begitulah lebih kurang ayah berpesan. Pakcik itu pun melakukan sebagaimana yang dipesankan. Tanpa ribut dan hujan keesokan harinya tiba-tiba pohon beringin itu tumbang menghempap bumi tanpa diterjang angin. Semuanya atas kehendak ALLAH SWT.

Amalan arwah ayah ini pernah disiasat oleh badan dakwah dinegeri ini atas laporan ayah mengamalkan ajaran sesat yang bercanggah dengan hukum agama. Seorang ustaz telah bertemu ayah bertanyakan perkara tersebut. Dijelaskan satu persatu, akhirnya tidak didapati sebarang unsur kesesatan pada amalan tersebut. Segala bacaannya pun menggunakan ayat Al Quran cuma ayat al quran itu telah diterjemahkan dalam bahasa sunda klasik.

Sudah jelas dinyatakan dalam rukun iman bahawa Allah telah menyebut "Tidakku jadikan Jin dan Manusia ini selain dari menyembahku"  dan ada dalam satu hadis diriwayatkan oleh Buhari dan muslim yang bermaksud " hanya sanya segala amalan itu dengan niat.

Kenapa ayat al quran itu telah diterjemahkan dalam bahasa sunda pun ada sejarahnya, itu cerita daripada Kiai Mandur sharif kata arwah ayah.

Cerita ayah, ketika menunaikan fardu haji dia berdoa dihadapan kaabah mohon petunjuk dari Allah swt, apakah segala amalannya itu terdapat unsur sesat atau sebaliknya. Namun tiada sebarang petanda yang berlaku keatas ayah. Alhamdulillah ayah selamat kembali ketanah air.

Perkongsian kisah misteri ini tidak bermaksud riak atau apa hanya sekadar menggamit kenangan dan rindu pada arwah ayah yang sentiasa membantu insan yang memerlukan pertolongan. Itulah antara aktiviti yang ayah lakukan sepanjang hayatnya sebelum dia menutup mata. Al Fatihah.

Zaman sekarang ramai sangat dikalangan yang mengaku ahli agama menggambil kesempatan menjual segala macam produk dengan menggunakan jampi-jampian dengan menyatakan menggunakan bacaan dari ayat2 Al Quran yang kononnya bisa mengobati segala macam penyakit. Ini lebih jelas bertentangan kerana menggambil kesempatan mempergunakan ayat-ayat Al Quran itu untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan.

banyak lagi peristiwa berlaku yang akan kukongsikan.

SELAMAT HARI WANITA


Aku bangga dilahirkan sebagai wanita


Aku sangat-sangat berbangga dilahirka sebagai seorang wanita. Bergelar wanita bukannya mudah namun harus disyukuri kerana wanita tetap banyak kelebihan.

Keistimewaan dan kelebihan seorang wanita tidak mampu dihitung satu-persatu. Yang penting aku tetap bahagia bernama wanita.

"SELAMAT HARI WANITA BUAT SEMUA INSAN BERNAMA WANITA" semoga ketabahan sentiasa terpahat dalam diri mendepani setiap gelombang hidup.

Sunday, 6 March 2016

SENTUHAN KREATIF JARI-JEMARI HAWA



Hasil sentuhan kreativiti tangan-tangan hawa begitu cantik

Antara hasil sentuhan kreatif tangan-tangan hawa mampu menyumbang pendapatan ekonomi keluarga. Jika diusahakan bersungguh-sungguh terutama golongan kaum ibu yang tidak terikat dengan mana-mana pekerjaan.

Ini adalah antara yang diajar didalam kelas Pendidikan Kesejahteraan Keluarga anjuran Kemas yang telah lama beroprasi di kampung Dangulad Keningau. Kelas ini dibuka dua kali dalam seminggu.

Aktiviti kelas tidak beroprasi setiap hari kerana guru berkenaan berada dibeberapa buah kampung mengajar aktiviti yang sama. Banyak Permintaan disetiap kampung sekitar daerah tetapi tidak dapat dilaksana kerana jadual guru  berkenaan begitu padat.

Selain aktiviti menghasilkan kraftangan, aktiviti bahagian dandanan, jahitan dan kelas dewasa turut dilaksanakan dibeberapa buah kampung yang berlainan. Setiap kumpulan mengikuti kelas selama enam bulan dan akan menerima sijil.

Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada setiap peserta cuma yuran pendaftaran sahaja. Bahan pula disediakan oleh peserta sendiri.


Saturday, 5 March 2016

TUN M BUAT AKU PILU

Tun M yang kukenal 22 tahun lalu, sanjungku padamu tiada tara seperti aku menyanjungi arwah ayah, namun sanjungku pada kedua insan ini dalam dua keadaan berbeza. Aku sanjung arwah ayah kerana dia aku ada dipdunia ini menjadi insan sejati dan bermakna.

Aku menyanjung Tun M  atas dasar baktinya kepada agama bangsa dan negara. Kebijaksanaan mentadbir negara sehingga disegani rakan dan lawan terkenal diseantero dunia.

Kehidupan rakyat makmur dan sejahtera tak terhitung segala jasa, tidak mampu dibilang satu persatu. 22 tahun mentadbir negara, Putera Jaya, KLIA, Klcc antara mercu tanda kejayaan pentadbiran Tun M. Atas faktor ini aku antara jutaan rakyat amat berbangga menjadi warga Malaysia. Jasa Tun M sentiasa terpahat dalam kenangan dan ingatan.

Fitrah hidup ibarat roda berputar, setiap diri kita atau siapa saja termasuk yang bergelar pemimpin tidak selamanya berada diatas, tiba waktu akan berganti dan terus berganti. Demikian juga Tun M namun tidak pun dipinggirkan.

Persaraan Tun M rakyat mengharapkan kau berehat, bertenang dan berbahagia bersama keluarga yang dikasihi disaat usia is emas begini. Namun sungguh diluar jangkaan berlaku pula sebaliknya. Tindak-tanduk Tun amat mengejutkan. Mengkritik kepimpinan Tun Abdulah Ahmad Badawi tidak lama dulu kerana dilihat gagal mentadbir negara dengan baik apa bila keputusan pru12 tidak mencapai taget.

Tun M bertindak keluar parti dan minta Pak Lah letak jawatan. Kini tiba pula giliran Dato Najib.  Dato Najib tidaklah sebodoh itu jadi pak turut. Tun M dilihat semakin pelik dan sesetengah rakyat sudah menganggapnya jauh tersasar. Paling sadis keluar parti untuk kali kedua seterusnya membuat pertemuan pula dengan seteru politiknya dahulu.

Soal maruah bukan perkara utama bagi Tun , yang penting Najib mesti digulingkan. Kini hormat sesetengah rakyat padanya kian pudar malah dianggap nyanyuk, gila kuasa, ibarat sampah yang tidak berguna. Aduhai Tun M sesungguhnya aku anak bangsa teramat pilu dengan keadaan ini. 
Katamu menyelamatkan melayu, umno dan negara dari kehancuran ditangan Najib. Namun persoalannya, kenapa sanggup kembali berjuang bersama manusia-manusia yang Tun anggap sebagai  perosak bangsa melayu satu ketika dulu jika diberi kesempatan memerintah negara ini.

Mungkin aku golongan generasi pertengahan gagal memahaminya namun jauh didasar hati cuba memahami sedalamnya, aku faham mengapa Tun bertindak demikian namun tidak mengapalah biarlah keadaan yang menentukan pasti barangkali suatu masa akan terungkai segalanya.

Sering bertanya dibenak fikir? apa sebenar yang engkau mahu? Zamanmu sudah berlalu, segalanya telah kau miliki. Hanya bulan, bintang dan mata hari tidak mungkin jatuh keriba.

Apa pun yang berlaku aku sentiasa menyayangimu wahai TUN MAHATIR bagai seorang bapa. Moga Tun sentiasa dalam kerahmatan ALLAH.

Wednesday, 2 March 2016

KENAPA AYAHKU BERNAMA "KARNO?"

Nama ayahku sering saja menjadi perhatian orang, bila setiap kali tersebut nama "KARNO" orang akan bertanya adakah saya berbangsa JAWA, pertanyaan ini buat saya tersenyum-senyum.

Pantas saja saya menjelaskan, suku saya adalah Dusun, kedua orang tua suku Dusun asli berasal dari daerah Tambunan

Di zaman muda kedua orang tua saya menganut agama krestian. Tiba satu masa mereka telah bertukar pegangan memeluk agama islam daripada seorang tua berbangsa jawa. Orang tua itu telah memberikan nama KARNO kepada ayah saya. Maka kekallah nama itu hingga keakhir hayatnya.

Begitulah serba sedikit kisahnya.

Saturday, 27 February 2016

PERTANDINGAN TILAWAH AL QURAN NEGERI SABAH




25hb-26hb Febuari 2016 Pertandingan Tilawah Al Quran peringkat Negeri Sabah tahun 2016 berlangsung di dewan masyarakat daerah Keningau sebagai tuan rumah.

Daerah Keningau sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah perlaksanaan majlis tilawah Al Quran peringkat negeri.  Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Hajiji. Johan Qari daripada daerah Kota Belud, Qariah pula daripada daerah Tawau.

Thursday, 25 February 2016

MESJID ASSOBIRIN WAKAF HAJI KARNO BANDUAI

Mesjid ini dibina ditanah wakaf Hj Karno
Sedikit coretan berkenaan mesjid ini, dibina atas tanah wakaf arwah ayah sebelum dia meninggal dunia. Tanah ini hanya seluas enam ekar. Terletak dibatu 19 jalan sook Keningau. Jarak ke pekan Sook lebih kurang 5 km sahaja.

Selain Mesjid, pembinaan Sekolah Agama Rakyat turut dicadang ditanah wakaf ini, namun masih berusaha mencari dana. InsyahAllah semoga ada rezki dimasa-masa akan datang. Orang kampung turut dibenarkan membina rumah kediaman disekitar kawasan mesjid.

Coretan ini tidak bermaksud berbangga-bangga atau riak tetapi sekadar memperingati jenerasi arwah akan kewujudan wakaf ini bagi mengelak dituntut oleh mana2 waris dikemudian hari.

InsyahAllah semoga jenerasi arwah ayah tergolong insan yang suka berbakti kepada masyarakat.

Semoga peninggalan arwah ayah yang tidak seberapa ini memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.


Sunday, 21 February 2016

SEINDAH DESAMU SINUA





ADS1M Kg. Beriawa Ulu
SINUA kedengaran agak pelik, salah satu perkampungan menggamit tumpuan para pengadil dalam pertandingan ADS1M kali ini. Menuju ke kampung ini memakan masa hampir dua jam, dulunya, sebelum jalan dinaik taraf hampir lima jam perjalanan untuk tiba ketempat ini. Kedudukan kampung berhampiran dengan gunung Terus Madi salah satu distinasi pelancungan didaerah pedalaman.

Program Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia bagi tahun 2014, daerah keningau telah pun bermula pada 17hb jun lalu, penyertaan kali ini hanya 11 buah kampung.

kampung pertama Kg. Beriawa Ulu , Kg. Menawo Laut, Kg. Sinua Sook, Kampung Sinulihan Sook dan Kg. Johan Jaya Sook dalam kawasan Daerah Kecil Sook. Beberapa buah kampung lagi bakal di adili.

Para Pengadil terdiri daripada pelbagai agensi telah di tetapkan oleh kementerian yang menganjurkan. Urusetianya pula daripada agensi Kemas dan Perjabat Daerah. Sepanjang pengadilan ini berjalan, saya melihat telah banyak kemajuan serta perubahan dari segi prasarana dan sikap masyarakat berbanding dahulu.

antara Tujuan pertandingan ini dibuat salah satu usaha memupuk sikap masyarakat agar sentiasa berusaha memanjukan kampung mereka  kerjasama dikalangan warganya

Tuesday, 16 February 2016

JAWATAN KONTREK KEMAS AKHIRNYA BERSTATUS TETAP

Penantian ribuan anggota Kemas bertaraf kontrek diserap keJawatan tetap akhirnya menjadi kenyataan. Inilah saat yang ditunggu-tunggu sekian lama.

Namun ini hanyalah kepada anggota yang telah berkhidmat selama 15 tahun sekurang-kurang. Yang mana tarikh perlaksanaanya berkuat kuasa pada 1hb Julai 2016. Mana kala anggota yang belum mencapai tempoh tersebut mereka terpaksa menunggu sebagaimana syarat yang telah ditetapkan pihak kementerian.

Langkah kerajaan menaik taraf jawatan anggota Kemas ini adalah sesuatu yang sangat wajar, ianya merupakan satu penghargaan kepada anggota Kemas yang sudah jelas terbukti menyumbang peranan penting dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan tanpa berbelah bagi.

Dalam era kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Abdul Razak akhirnya nasib ribuan anggota Kemas dapat dibela. Tugas anggota Kemas yang sentiasa berdamping dengan masyarakat tanpa jemu dan lelah, bolehlah menarik nafas panjang kerana tidak lagi bersusah payah berulang kali asyik menyambung kontrek setiap dua tahun.

Jawatan Kemas berstatus kontrek sudah tidak relevan lagi diabad ini kerana Kemas telah wujud sejak sebelum merdeka lagi. Pengwujudan beberapa  jawatan baru dalam kemas berstatus tetap dilihat menyumbang kepada ketidakpuasan hati dikalangan kakitangan bertaraf kontrek yang sedia ada, kerana berbeza status. Namun kini akhirnya dapat ditangani.

Ucapan terima kasih dan syabas kepada semua anggota yang telah bertungkus lumus dalam usaha merealisasikan hasrat ini.

Sunday, 14 February 2016

SI MANIS GADIS GUILIN


Coretanku dalam kembara ke GUILIN dalam Negara China.

Impian melakar jejak ke negara Hang Lipu akhirnya menjadi realiti.  Negara ini antara yang termaju didunia, bukan saja maju dalam aspek pembangunan ekonominya tetapi maju dalam aspek kemanusiaan, budaya dan sebagainya. 

Pagi yang dingin saat mentari mula memancar diufuk timur, hampir dua jam kereta pacuan empat roda dipandu, kelajuan agak tidak menentu bergantung keadaan jalan. Kami meninggalkan kampung halaman menyusuri banjaran crocker yang masih bersalut kabus.

Jalan keningau menghubung ke kimanis amat digeruni oleh sesetengah pengguna jalan raya kerana keadaan jalan yang agak curam. Telah banyak nyawa terkorban mungkin antara faktornya kurang berhati-hati ketika memandu atau mungkin faktor kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik.

Banjaran crocker yang masih hijau sebahagiannya terlihat penerokaan kayu kayan menampakkan banyak kecacatan pada panorama rimbanya.  Mungkin ini berlaku kerana penanaman pokok2 kelapa sawit atau barangkali pengambilan pokok kayu balak.

Dalam pengembaraan kali ini ada sesuatu yang aku rasa sungguh istimewa, dalam daerah guilin sangat2 menguja panca indraku, panoramanya begitu memukau, keindahan bukit-bukau dan tenangnya tasik tempat berakit setiap pengunjung sambil menikmati kesegaran udaranya.

keterujaan hati menghayati setiap tempat yang dilewati sungguh mengasyikkan. Gua Guilin antaranya wow sungguh terpegun bagai berada dialam istana bunian..begitu cantik tidak mungkin dilakar oleh manusia biasa. Ianya tercipta secara semulajadi. Pada pandangan luaran ia hanya terlihat batu dan hutan. Namun didasarnya begitu indah dan mengasyikkan.

Pancaran cahaya lampu yang berwarna-warni menyumbang keindahan pada setiap sudutnya. Sempat merakam gambar tetapi sayang hasilnya tidak begitu memuaskan.

Lebih kurang satu jam kami  berada didalam gua, kami pun beredar menuju kedistinasi seterusnya. Kenangan manis ini tidak mungkin luput dalam memori ingatan. Sungguh tidak sia-sia pengembaraan kali ini. 

Pada malamnya rombongan kami dibawa kesatu lagi acara menonton teater yang dilakonkan beratus ahli , dalam jumlah yang cukup ramai 500 orang,  persembahan mereka bertaraf dunia. sungguh memukau berlatarkan gunung dan tasik.  Amat Menakjubkan buat aku tidak mampu berkata-kata dahsyat, hebat.

Disatu tempat saat menaiki bot mengelilinggi salah satu Tasik di guilin, tiba-tiba aku disapa seorang gadis Guilin, dalam bahasa inggeris, " Kamu berasal dari mana?, kenapa muka kamu seperti orang cina?." moyang ku asal dari sini iaitu datuk ibuku keturunan wong sun suku Kantonis" jawab ku. Kami begitu cepat akrab. sayangnya aku tidak sempat mencatat no telefon bimbitnya saat kami berpisah. jadilah pertemuan itu hanya setakat disitu saja. 

Gadis Guilin wajahmu semanis dan seindah Guilin

Catatan ringkas ketika melancong ke daerah Guilin dalam Negara China

Friday, 12 February 2016

PENSIANGAN DALAM KENANGAN


Tujuan saya menulis kisah ini hanyalah sekadar ingin berkongsi betapa bahagianya kita hidup dibumi borneo ini dengan kepelbagaian anutan agama dan suku tanpa bersangka buruk dikalangan kita. Negeri kita adalah contoh terbaik dalam negara 1 malaysia. Apa pun tanggapan hinaan serta cercaan terhadap suku kaum dan negeri kita, kita berharap agar keharmonian ini terus kita pertahankan sampai bila-bila.

Saya ingin berkisah satu pengalaman pernah saya lalui sekitar lewat 90han. Dimana jabatan KEMAS Parlimen Keningau telah diarahkan membuat satu kajian bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) yang benar-benar layak mendapat pelbagai bantuan dari pihak kerajaan nun jauh dipedalaman Pensiangan. Ketika itu Kemas Parlimen Keningau meliputi empat daerah iaitu, Daerah Tambunan, Daerah Keningau, Daerah Kecil Sook dan Daerah Pensiangan. (P.157) belum berlaku pecahan Parlimen.

Saya selaku Penyelia Kanan Kemas parlimen Keningau mengetuai oprasi ini. Oleh kerana tempat ini merupakan kawasan majoriti etnik berbangsa murut saya telah memilih beberapa kakitangan dikalangan suku mereka untuk lebih memudahkan ketika berkomunikasi kerana saya sendiri tidak fasih berbahasa etnik mereka. 

Untuk sampai ketempat ini terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mempunyai kekuatan untuk merintasi jalan2 yang agak teruk ketika itu. Mujurlah pegawai daerah yang baik hati En. Siriman mf basir bermurah hati menyediakan sebuah kenderaan jabatan milik Pejabat Daerah Nabawan dengan pemandunya sekali bagi memudahkan pergerakan kami ke setiap distinasi.

Apa lagi dengan keadaan jalan raya gravel begitu teruk sekali, bukan saja laluan kenderaan kecil tetapi laluan lori2 balak yang membawa muatan setiap masa.  Balak2 entah milik siapakah semua itu. Tanpa bantuan ini sudah tentu tugasan kami tidak akan berjaya dilaksanakan.

Berangkatlah kami membawa segala keperluan termasuk peralatan memasak dan sebagainya. Kampung pertama kami tuju ialah kampung sepulut  penginapan kami di bangunan milik yayasan sabah yang mana semuanya telah diatur oleh pihak pejabat daerah nabawan.

Keesokan paginya kami memulakan tugasan dari rumah kerumah dengan berjalan kaki saja. Tugasan kami Dikampung itu memakan masa lebih kurang tiga hari kerana jarak dari rumah ke rumah penduduk berjauhan.

Selesai satu kampung kami berpindah pula ke satu kampung lain begitulah seterusnya sehingga semuanya selesai.. ada kalanya kami menaiki bot menuju kebeberapa kampung kerana tiada laluan darat kekampung tersebut.

Sepanjang menjalankan tugasan ini saat bertemu dengan masyarakatnya buat saya sungguh terharu walaupun mereka hidup dalam kemiskinan dan berbeza agama tetapi mereka sangat menghormati tetamu, yang membuat saya kagum bila kami berurusan dengan ibubapa, anak2 mereka tidak langsung meribut didepan orang2 tua, malah bersembunyi-sembunyi malu2 tidak didalam bilik dan langsung tidak menganggu.

Satu ketika kami telah kehabisan stok makanan, satu keluarga ini menyediakan makan malam untuk rombongan kami, nasi dan sayur pucuk ubi. Hanya itu yang ada. Keluarga itu berbeza agama dengan kami namun itu bukan halangan. Oleh kerana rasa terlalu lapar menyantap juga kami dengan hidangan tersebut.

Peristiwa ini buat saya tidak lupa saat kami menginap disebuah rumah panjang. Keluarga ini memiliki lebih kurang sepuluh ekor anjing atau lebih. Anjing-anjing ini pula rupanya tidur dalam rumah itu bersama keluarga tersebut diruang tamu. Yang wanitanya disediakan sebuah bilik yang telah siap dibersihkan. Kecuali seorang staf lelaki terpaksa tidur di ruang tamu.

Ketika malamnya sukar hendak melalapkan mata kerana anjing-anjing itu asyik menyalak hingga ke pagi. Staf kami yang lelaki itu katanya anjing2 itu tidur bersamanya. Ha ha...aduiii
Hendak dihalau anjing2 itu segan pula rasanya kerana sudah biasa tidur bersama tuannya.

Sebenarnya banyak lagi peristiwa yang kami lalui sepanjang menjalankan tugasan ini. Ada suka ada duka namun biarlah ia menjadi kenang-kenangan akan dikisahkan masa-masa akan datang.
Penceritaannya agak tidak teratur kerana penulisnya keletihan mencoret secara terus huhu.

Saturday, 6 February 2016

PEMIMPIN ZIARAH RAKYAT PEDALAMAN






Dato Hasan Mohd Amin Ketua Pengarah KEMAS Malaysia 


YB DATO SERI ISMAIL SABRI Menteti KKLW sedang menyampaikan ucapan ketika pertemuan bersama sebahagian hadirin dikediaman kami dikampung Pamalan Keningau Sabah

2hb febuari 2016- YB DATO ISMAIL SABRI menteri KKLW berkesempatan bertemu secara santai sambil bersarapan di kediaman kami di kampung Pamalan Keningau Sebelum meneruskan lawatannya ke majlis pecah tanah di kampung Ansip dalam daerah sama, kawasan parlimen Pensiangan.

Beberapa kenamaan turut hadir dalam majlis tersebut. Kehadiran Dato Seri Ismail Sabri ke kampung kami telah dirancang oleh Ketua Umno Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno untuk tujuan melihat sendiri keadaan jalan raya yang masih belum pernah dinaik taraf sejak sekian lama, meskipun permohonan telah berulang kali dihantar kekementeriannya.

Dalam ucapan Dato Ismail Sabri pantas saja meluluskan permohonan tersebut. Masyarakat kampung kami mengharapkan agar ianya akan menjadi realiti kali ini dan bukan hanya janji palsu. Kami bersabar menunggu.

Tempat ini merupakan kawasan dewan undangan Negeri, N. 34 Liawan. Daerah mengundi Luagan merupakan majoritinya penyokong BN sudah seharusnya mendapat kemudahan terutama jalan raya yang masih grabel perlu dinaik tarafkan.