Monday, 4 February 2013

KISAH DUKA SEORANG IBU TUNGGAL

 

Satu hari saya mendapat panggilan telefon dari seorang wanita yang saya tidak kenali, katanya ingin bertemu kerana ada hal penting yang hendak disampaikan,  saya minta dia datang ke pejabat pada hari berikutnya iaitu esok hari pada sebelah petang waktu yang saya tidak sibuk.

 

Tepat pada masa dan hari yang dijanjikan wanita ini datang , dia perkenalkan dirinya,  saya tidak pernah bertemu dengan wanita ini sebelum ini walau  kami tinggal dalam satu daerah. Umurnya dalam lingkungan lima puluhan. 

 

Wanita ini perkenalkan dirinya, rupanya dalam kalangan adik-beradiknya ada yang saya kenal. Dia mula bercerita dengan panjang lebar, rupanya dia minta saya temukan dia dengan seorang wakil rakyat untuk mendapat khidmat menjejaki anaknya yang telah lama menghilang tanpa kabar berita, hampir lapan tahun, menurutnya selepas anaknya menamatkan pengajian di salah sebuah universiti awam di Kuala Lumpur dia terus bekerja namun wanita ini tidak diberitahu anaknya dia bekerja dimana? kerja sebagai apa ? tinggal dimana? sejak itu anaknya hilang jejak entah kemana.

 

Naluri seorang ibu kandung walau hatinya terluka dek kecewanya sikap seorang anak yang cuba melupai insan bernama ibu namun kerinduan pada anaknya sentiasa bermukim dihati, bagai air mengalir tidak bermuara. Beberapa kali dia cuba mencari melalui saudara maranya di Kuala Lumpur namun gagal.   Pada tahun 2012 keresahan jiwanya, kerinduannya kian memuncak begitu hebat menganggu emosinya, membuatnya tidak berhenti mencari usaha agar dapat bertemu dengan anaknya.  Walau apa pun keadaan dia tetap menerima anaknya katanya dengan nada sayu. Terkedu saya mendengar luahannya. Bukan setakat perihal anaknya yang diceritakan malah kisah kehidupan rumahtangganya turut di ceritakan , sikap bekas suaminya yang tidak bertanggungjawab, kaki minum, kaki pukul, kaki judi serta suka mendera,  banyak lagi kelakuan buruk suaminya yang tidak perlu saya coretkan disini demi menjaga aib.

 

Melihat raut wajahnya jelas memberi gambaran betapa wanita ini sarat menanggung duka.  Sebagai seorang wanita juga seorang ibu, saya dapat merasakan begitu dalam penderitaan batinnya, kesedihan hatinya, katanya dia telah membuat laporan ke PDRM di daerah kehilangan anaknya itu namun sehingga kini masih tiada jawaban.  Saya hanya mendengar luahannya, tidak banyak bertanya bimbang jika bertanya lebih-lebih, takut menambah luka hatinya.

 

Beberapa hari kemudian saya pun membawa wanita ini bertemu wakil rakyat berkenaan, dan mendapat perhatian darinya, cadangan menyiarkan di siaran tv3 dalam rancangan menjejak kasih. Namun sebelum tiba masanya untuk menghubungi  tv3 , wakil rakyat itu mencadangkan pada wanita ini agar bertemu seseorang yang di panggil " PAK LONG " mungkin boleh membantu menjejaki atau memberi gambaran bagaimana  keadaan anaknya itu.

 

Wanita itu akur dengan cadangan wakil rakyat tersebut dan telah pergi bertemu orang yang dimaksudkan. Seperti yang diceritakan oleh wanita ini pada saya , menurut " Pak Long"  itu anaknya masih hidup dan masih berada di sekitar Kuala Lumpur, pada firasatnya, anaknya itu akan pulang dalam masa lebih kurang seminggu atau dua minggu namun hal-hal lain dia tidak ceritakan kata wanita ini. Dia beranggapan bahawa " Pak Long " itu seakan tahu apa yang sedang berlaku pada anaknya, hanya " Pak Long " itu memberi pesan kepada wanita itu banyakkan bersabar. kenyataan itu buat hatinya tenang dan dia terlalu yakin anaknya akan pulang. 

Dalam tempoh dua minggu itu katanya beberapa perkara yang dia lakukan seperti mengemas rumah , membersih persekitaran rumah, maklumlah anak akan pulang kepangkuan keluarga, hati seorang ibu pastinya gembira tak dapat digambarkan. kelakuan wanita ini mengundang kehairanan anak keduanya dan bertanya pada ibunya kenapa ibunya melakukan semua itu, jawab wanita ini ingin menyambut kepulangan abangnya,  namun anak keduanya ini langsung tidak berkeyakinan yang abangnya akan pulang ...namun pada wanita ini tetap yakin dengan apa yang dinyatakan oleh PAK LONG itu bahawa anaknya akan pulang dalam masa yang terdekat.

 

Satu hari tiba-tiba wanita ini mendapat panggilan telefon dari bekas suaminya tetapi wanita ini membiarkan saja handponenya berdering tanpa menjawab, dalam hatinya tertanya-tanya kenapa tiba2 bekas suaminya buat panggilan sedangkan bekas suaminya itu tidak pernah sekli-kali menghubunginya selama ini, oleh kerana panggilannya berulang-kali akhirnya dia menjawab panggilan itu,  bekas suaminya memberitahu dia mendapat panggilan telefon dari bukit aman menyatakan bahawa anak mereka telah kembali kerahmatullah pada sekian hari dan masa,,, dia hampir pengsan mendengar berita itu dan merasakan dirinya sudah tidak berpijak dibumi nyata, namun dia tetap menguatkan semangatnya menghadapi kenyataan dan pasrah menghadapi takdir ilahi.

 

Jenazah anaknya pula telah dihantar pulang beberapa hari kemudian...ke kampung halaman untuk disemadikan,  saya hanya tahu setelah beberapa bulan  kemudian kerana selepas saya membawanya bertemu dengan wakil rakyat itu saya tidak lagi bertemu wanita ini. menurutnya dia cuba menghubungi saat peristiwa itu berlaku namun saya tidak dapat dihubungi katanya.

  

Walau begitu hebat dugaan yang melanda wanita ini,  dia masih mampu  mengharunginya. Saya amat bersimpati. Namun berat mata memandang berat lagi bahu memikul, apa yang berlaku semuanya adalah ketentuan Ilahi,  Setiap yang hidup pasti akan mati tiada yang kekal untuk selamanya, Hanya doa yang mampu dipohon  semoga rohnya aman bersemadi bersama roh orang beriman.

  ( wanita itu memberi gambaran pesanan Pak Long itu yang mana memintanya banyakkan bersabar, mungkinkah perkara yang berlaku itu maksud yang tersirat disebalik pesanan itu Allahualam..

Secebis kisah kehidupan masyarakat untuk kita jadikan sebagai renungan dan iktibar. Sesungguhnya setiap dugaan pasti ada hikmah yang kita tidak tahu hanya Allah swt yang lebih mengetahui.

Kematian itu pasti akan berlaku pada setiap mahluk didunia ini,  tidak mengira dalam usia muda atau tua. Justeru sentiasa bersiap sedia menghadapinya dalam redah.