Saturday, 7 March 2015

Bajet 2015: Tanda Harga Khas Untuk Barangan Pengecualian GST

Government and Services Tax (GST) | Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP)

Setiap barangan yang dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu diletakkan tanda harga khas supaya pengguna dapat merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dan memahami hak kepenggunaan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, cadangan itu merupakan salah satu mekanisme yang boleh membantu memberi kefahaman kepada rakyat mengenai pelaksanaan GST.

Katanya, banyak barang yang dijual di pasaran dan pengguna tidak dapat menentukan sama ada setiap barangan itu dikenakan GST atau tidak.

“Pengguna seharusnya diberi kefahaman dengan cara lebih mudah seperti penggunaan tanda harga khas bagi barangan yang tidak dikenakan GST.

“Sebagai contoh, jika barangan yang dikenakan GST mungkin guna tanda harga warna putih, barangan yang dikecualikan cukai itu perlu tanda harga berbeza warna merah,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada malam Jumaat.

Pelaksaanan GST akan berkuat kuasa pada April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan menerusi pembentangan Bajet 2014, Kerajaan telah mencadangkan senarai barang makanan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan GST.

Menerusi Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat, Kerajaan telah memperluaskan skop barangan yang tidak dikenakan GST.

Mohd Yusof berkata, perbezaan tanda harga bukan sahaja menjadi petunjuk mengenai barangan yang dikecualikan GST malah membantu menentukan hak pengguna.

“Jika ada perbezaan tanda harga, pengguna dapat mengetahui mengenai pengiraan cukai baharu itu (GST). Jadi, sekiranya terdapat perubahan atau perbezaan harga, ia akan memudahkan pengguna untuk membuat tuntutan atau aduan.

“Kita tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pengguna dengan mengaut lebih keuntungan dengan pelaksanaan GST,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, Kerajaan seharusnya memberi kemudahan kepada rakyat terutama pengguna dengan menyediakan senarai barangan yang dikecualikan GST secara terperinci.

“Bukan semua tahu pengguna faham apakah barangan yang dikecualikan oleh GST. Oleh itu, Kerajaan perlu menyatakannya secara terperinci supaya mereka faham.

“Kaedah ini boleh dilakukan dengan meletakkan panduan pengguna di premis-premis perniagaan seperti pasar raya atau boleh dimuat turut dari Internet,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, satu mekanisme baharu turut dicadangkan sebagai saluran lebih mudah kepada pengguna untuk membuat aduan berkaitan GST.

“Selain tanda harga khas dan senarai barangan lebih terperinci, pengguna juga perlu mengetahui saluran untuk membuat aduan khusus dengan pelaksanaan GST nanti,” katanya.

Pada Bajet 2015, antara penambahan barang yang tidak dikenakan GST ialah semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport, roti puti dan roti tepung gandum penuh, serbuk kopi dan teh, mi kuning, laksa dan bihun.

Ini termasuk ubat-ubatan penting yang meliputi hampir 2,900 jenama bagi kegunaan 30 jenis penyakit, bahan bacaan dan surat khabar.

Menerusi Bajet 2015 juga Kerajaan akan mengeluarkan ‘panduan pembeli’ bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.
Kongsi Artikel Ini: