Sunday, 9 October 2011

Cantik tidak semestinya semua OK..


SENYUMAN Leila Lopes tidak pernah putus ketika berhadapan dengan wartawan di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Tidak henti-henti dia melemparkan senyuman sebaik turun dari kereta mewah yang membawanya ke bilik pameran syarikat Malaysia yang memasarkan kereta Proton di sini.
Senyuman manis Lopes juga barangkali membawa tuah buat Ratu Universe 2011 itu. Dia sendiri mengakui, kerana tidak kedekut senyum membolehkan dia berada di puncak kemasyhuran hari ini.
Berasal dari Angola, gadis berusia 25 tahun itu akhirnya mendakap cita-cita untuk bergelar wanita cantik abad ini.
Lopes sangat merendah diri semasa diinterviu wartawan. Dalam masa yang sama, wartawan dapat merasakan jelitawan itu masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan.
Masakan tidak, dalam sekelip mata dia menjadi tumpuan ramai. Ke mana saja dia pergi kehidupannya diintai masyarakat.
Kehidupan baru yang dilalui Lopes mendedahkannya pada pelbagai kemungkinan - disenangi atau dicemburui.

Itulah harga yang harus dibayar oleh orang cantik dan popular sepertinya. Tidak semua hal boleh diambil mudah.
Lebih-lebih lagi mereka yang menguruskan kariernya atau juga pihak yang mahu mengundangnya ke apa acara sekalipun.
Tentunya Lopes sendiri tidak menyangka kehadiran sulungnya ke bumi Jakarta mengheretnya ke kontroversi yang mendapat liputan meluas media tempatan.
Ada dua insiden yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan reputasinya.
Pertama seperti yang dilaporkan sebelum ini, Lopes yang diundang untuk menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-56 persatuan isteri-isteri polis Jawa Timur, Bhayangkari dikatakan dibayar sehingga AS$84,000 (RM265,000).
Bayaran itu sebagai ganjaran kepada Lopes yang dijemput oleh persatuan berkenaan sebagai tetamu kenamaan.
Sesiapa saja boleh mempersoalkan apa kaitannya Ratu Universe 2011 dengan kehadirannya dalam sebuah acara amal.
Diulang sekali lagi, diundang ke acara amal tetapi perlu dibayar sebanyak itu. Tidak logik bukan?
Seperkara lagi, kehadiran Lopes ke Indonesia juga tidak disenangi oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI).
MUI membantah rancangan membawa Lopes melawat kota Bandung kerana kriteria memilih ratu cantik seperti yang dilalui Lopes jelas bertentangan dengan agama Islam.
“Ia bukanlah soal dia Ratu Universe sebaliknya, kami melihat kepada bagaimana pendekatan memilih Lopes sebagai ratu cantik.
“Dia harus memakai bikini di pentas peragaan. Semasa memperagakan tubuh juga, kita semua dimaklumkan mengenai saiz buah dadanya. Semua ini bertentangan dengan ajaran Islam,” tegas setiausaha MUI cawangan Jawa Timur, Rafani Akhyar.
Lopes merupakan produk yang dilahirkan oleh pihak-pihak berkepentingan yang mahu merebut untung atas angin.
Kecantikan yang ada padanya dimanipulasikan untuk membenarkan hal-hal yang remeh dipinggirkan seperti mana kes kutipan wang yang dibuat oleh persatuan isteri-isteri polis di Jawa Timur itu.
Seperti yang ditegaskan oleh pakar pertahanan negara, Bambang Widodo Umar, adalah lebih baik sumbangan wang sebanyak itu disalurkan kepada badan-badan kebajikan atau membantu anggota polis pangkat rendah.
“Ada ketika anggota polis yang berjawatan kecil tidak mampu untuk membayar sewa rumah mereka,” jelas Bambang mengenai kesukaran yang dilalui oleh anggota polis pangkat rendah.
Cantik dan masyhur bukanlah alasan paling mudah untuk berbuat apa saja. Leila Lopes menjadi contoh yang paling signifikan dalam isu ini.
Dia sendiri mungkin tidak tahu bahawa dia perlu dibayar upah sebanyak itu untuk menghadiri majlis makan amal kerana lazimnya kariernya diuruskan oleh agen atau syarikat pengurusan.
Tetapi kerana dia menyandang kerjaya dalam persekitaran yang semuanya menuntut wang maka Lopes tidak boleh terlepas daripada diheret dalam lingkaran yang sama.
Di Malaysia juga apa kurangnya. Kita sering mendengar kisah bagaimana pihak-pihak berkepentingan suka mengambil kesempatan tanpa memikirkan kesannya terhadap pembangunan masyarakat.
Berpada-padalah dalam membuat pertimbangan. Janganlah kita menghalalkan cara semata-mata untuk mencapai matlamat peribadi.
Saya tidak mahu menyalahkan Lopes kerana saya yakin dia sangat naif seperti mana peribadinya yang dapat dirumuskan pada pertemuan dengannya tempoh hari.
Yang harus memikul beban itu ialah pihak-pihak yang berkepentingan seperti yang digariskan di perenggan atas tadi.
Harus diingatkan kecantikan, kemasyhuran, kekayaan serta kuasa yang ada tidak lagi layak untuk dijadikan ukuran untuk membenarkan apa saja boleh dilakukan di dunia hari ini.
Segala-galanya sudah berubah.

No comments:

Post a Comment