Saturday, 9 August 2014

Mewujudkan 1 Jawatan Naib President Khas Untuk Wanita Usul daripada Pergerakan Wanita Umno Keningau

Ketua Umno Bahagian
Pn. Hajah Amelia Ajun Ketua Wanita UMNO Keningau sedang menyampaikan ucapan
Para Perwakilan

sempat menggambil post dihadapan kediaman ketua pemuda UMNO bahagian keningau Nik Nazri Nik Zawawi, di majlis rumah terbukanya selepas persidangan  
Ketua Wanita Umno Bahagian Pensiangan (kiri) Pn. Hajah Zaiton Anik. Ketua Wanita Umno Bahagian Keningau (kanan) Pn. Hajah Amelia Ajun
suasana majlis raya di kediaman Ketua Pemuda Nik Nazri
Barisan AJK Wanita Umno
Barisan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Keningau, di resmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Keningau YB. Datuk Hj Sairin Karno, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N. 34 Liawan, Pembantu Menteri Pertanian dan Asas Tani Negeri Sabah.




Hari ini persidangan wanita umno bahagian Keningau telah berlangsung dengan jayanya di Bangunan Kraftangan Keningau bagi tahun 2014. Seramai 450 perwakilan telah hadir dalam persidangan tersebut, walaupun persidangan ini tidak berlaku pemilihan namun kehadiran para perwakilan sangat menggalakkan. Ini membuktikan bahawa para ahli wanita umno begitu kometman terhadap tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Antara usul di kemukakan  mencadangkan agar mewujudkan 1 jawatan naib president tetap yang di khaskan untuk wanita. Cadangan ini adalah sangat bertepatan sejajar dengan peranan serta sumbangan wanita dalam pelbagai aspek, terutama peranan dalam menyumbang kepada pembangunan negara serta menjadi tulang belakang kepada kekuatan parti UMNO.. Usul ini disokong oleh semua para perwakilan.

Slogan “Pemuda harapan negara pemudi tiang negara” harus menjadi peringatan kepada kita betapa besarnya sumbangan wanita terhadap kemajuan negara ini. Justeru cadangan daripada pergerakan wanita ini harus diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti bahawa sudah tiba masanya wanita harus diberi ruang dalam barisan kepimpinan no tiga teratas parti pendokong kerajaan. sesuai dengan masanya yang mana cabaran parti kian sengit, maka wanita harus diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab ini.

Pergerakan wanita yakin wanita mampu menyumbang kecemerlangan parti sebagaimana usaha pergerakan wanita selama ini, yang mana usaha bersungguh-sungguh telah membuahkan hasil bukan saja di bawa kepimpinan pergerakan wanita terdahulu tetapi sehingga kini.

Wednesday, 6 August 2014

Nasi Linopot

NASI LINOPOT, saat arwah Ibu masih ada, arwah ibu sangat rajin menyediakan nasi linopot buat santapan keluarga.. lebih-lebih lagi saat kami masih kanak-kanak. Ini adalah hidangan wajib.. Nasi Linopot adalah antara makanan kegemaran orang dusun. ya agak tradisi namun tetap enak bila dimakan bersama sayur-sayuran, ikan bilis, ikan kering dan lain2.

Cara penyediaan,  beras di masak bercampur ubi keladi atau ubi kayu atau ubi keledek, setelah masak barulah digaul sehingga ia bercampur aduk menggunakan senduk kayu, barulah di bungkus mengunakan daun pisang atau sejenis daun kayu. Saya pun lupa apa nama jenis pokok kayu itu. Selamat mencuba .
Nasi Linopot di bungkus dengan daun

Sunday, 27 July 2014

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN 2014

Assalamualaikum buat warga dunia yang menyambut Hari Lebaran esok 28hb Ogos 2014, semoga lebaran kali ini terus bermakna buat semua insan beriman yang telah selesai mengerjakan ibadat puasa selama sebulan. Setiap kali menjelang lebaran ramai yang teruja merayakannya kerana  lebaran ini saat yang di tunggu-tunggu setelah sebulan berpuasa.

Aku antara insan yang gembira menyambut syawal ini, kerana syawal di sambut hanya setahun sekali, tentulah rasa gembira kerana ianya berbeza dengan hari-hari biasa. Bezanya berlaku kunjung-mengunjung dikalangan sahabat handai rakan taulan serta banyak pula juadah yang dihidangkan saat berkunjungan dari rumah ke rumah. Bukanlah juadah yang di idamkan semata-mata tetapi silaturrahim diantara sesama insan.

Selama dua tahun di awal lebaran lalu, aku tidak berkesempatan menyambutnya bersama sanak saudara di kampung kerana menggambil kesempatan melancong ke luar negara bersama keluarga, namun kali ini aktiviti melancong tidak di teruskan kerana ingin menikmati suasana raya pertama dan seterusnya.

Seperti selalu setiap kali lebaran persediaan biasa-biasa saja, hanya ala kadar, baju pun tak sempat buat kerana asyik kesibukan kerja sampai terlupa menyediakan baju raya. Biskut pun beli saja di pasaran banyak tersedia tak perlulah ribut-ribut buat biskut penat saja huhu.

Lagi pula Majlis Raya keluarga secara besar-besaran di laksanakan di kampung yang telah menjadi amalan keluarga setiap tahun lebih bermakna kerana hari tersebut aku dan abang-abang serta kakak-kakak kaum keluarga pasti bersama sekali menyambutnya. Waktu-waktu begini saja dapat berkumpul maklumlah semuanya telah ada tanggungjawab masing-masing,  jarang sekali dapat meluangkan masa bersama. InsyahAllah moga semua yang dirancang berjalan lancar.

Ramadan kini sudah berlalu, semoga Ramadan mendatang akan dinikmati semula InsyahAllah.

Tuesday, 15 July 2014

Karisma Ramadan Pembangunan Wanita dan Keluarga


Program wanita sempena Ramadan, menyampaikan sumbangan kepada ibu2 tunggal disekitar daerah keningau. Program ini diresmikan ketua umno bahagian parlimen keningau. Ceramah agama turut diselitkan di sampaikan oleh ustaz Hj Moktar Zainudin. Antara yang disentuh dalam ceramah, puasa merupakan satu ibadat yang wajib dilaksanakan setiap umat islam, manfaat puasa kepada tubuh badan menyumbang kepada kesihatan serta mampu mantapkan jiwa..

ucapan wakil rakyat Dun Liawan program ini antara tujuannya mengeratkan silaturahim dikalangan masyarakat



Saturday, 5 July 2014

Friday, 27 June 2014

Akhirnya Aku Terlantar disini


Sudah beberapa minggu keadaan kesihatanku semakin merunsingkan, kepala agak berat, daya tenaga berkurangan, kepala asyik pening, namun demi tugas, semuaku ketepikan, kerana semua aktiviti harus diselesaikan dengan kadar segera, aku akur dengan arahan jabatan kerana aku yang menurut perintah. 

Setelah selesai segala kesibukan, aku ke hospital untuk minta rawatan apa sebenarnya masalah kesihatanku ini,  beberapa jam aku menunggu keputusan darah ku yang telah diambil di makmal darah, doktor memberitahu bahawa darahku hanya tinggal 5hp dan aku terpaksa dimasukkan ke wad. Tiada apa yang mampu kulakukan hanya akur demi mengelak keadaan lebih bertambah parah.

Aku terlantar dalam beberapa hari, Rasanya Tiada insan yang suka duduk dalam wad melainkan terpaksa, faham 2lah disini Keadaannya bagaimana. Aku menjadi warga pesakit pada waktu itu.. Banyak soalan di ajukan, satu demi satu dijawab dengan tenang. Detik terus berlalu tangan-tangan ini direlakan menjadi mangsa cucukan jarum, darahku ditambah aku tak kisah, setakat jarum aku tidak gentar yang penting aku sihat dan melalui kehidupan seperti hari-hari biasa. Anggap ini satu dugaan dari Tuhan. 

Aku menyambut hari pertama ramadan didalam wad.. Pagi Ramadan yang syahdu begitu tenang menyusup meresap ke kalbu. Aku tidak dapat melaksanakan ibadat puasa kerana ini bukan kehendak diri apa kan daya kesihatan tak mengizinkan. Syukur Alhamdulillah berkat ramadan yang mulia, Allah telah memberi kesembuhan yang begitu cepat padaku. Terima kasih Tuhan.

Aku teringat pesan seorang kawan, jika sakit jangan diheboh-hebohkan memalukan diri sendiri maka aku pun berbuat demikian, Tiadalah dikalangan rakan-rakan yang tahu, Hanya bos diofes terpaksa diberitahu. Dan keluarga tahu tapi aku berpesan tidak perlu datang ziarah kerana aku baik-baik saja, biar aku rehat tanpa gangguan dari mana-mana pengunjung, rasa bahagia dan tenang. Hemm begitulah kisah ku ketika dalam sangkar hospital. 

SELAMAT MENGERJAKAN IBADAT PUASA BUAT SELURUH UMAT MUSLIMIN DAN MUSLIMAT.

Saturday, 21 June 2014

Contoh Dapur Idaman

Sebagai seorang wanita yang sukakan kekemasan dan keselesan ini tak dapat di pisahkan, walau apa jenis bentuk kesibukan,, " Rumahku Syurgaku" . Ini antara contoh-contoh  dapur idaman menjadi pilihan, Kemas dan selesa..

Sunday, 15 June 2014

Ruang Tamu Idaman


Ruang tamu ini menggamit jiwaku sesuai dengan suasana kampung yang redup nan menghijau di persekitaran.
InsyahAllah bakal terlaksana sebuah rumah idaman ala-ala kampung yang sedang dalam proses pembinaan saat ini. Harap-harap akan siap pada tahun ini dan rasanya sudah tidak sabar berpindah ke kampung halaman tempat aku di lahirkan.

Sudah hampir 12 tahun tinggal di kawasan perumahan yang begitu menyiksa perasaan, kawasan perumahan yang kebanyakan penghuninya mengamalkan sikap tak kenal jiran, lebih-lebih lagi penyewa yang tidak menggambil berat soal kebersihan. huhhh sungguh menyiksa jiwa nurani.

Tanah pusaka peninggalan orang tua di situlah bakal untuk dihuni sampai ke akhir hayat nanti InsyahAllah. Semoga urusan di permudahkan, tidak mengapa rumah tak sehebat istana raja yang penting bahagia serta damai di kelilingi pohonan hijau jauh dari keributan.

Cita rasa setiap manusia tentulah berbeza, Cuma rasa teramat kecewa apa yang diharapkan tidak tercapai. Saya lebih suka jendela kaca berbanding kayu apa lagi jendela yang bersaiz agak kecil, tersangat hampa. Namun apa nak buat sabar penawar duka.😃😃😃😃

Saturday, 14 June 2014

" DATIN DISIKSA DALAM SANGKAR EMAS "


Sekadar gambar hiasan
Orangnya masih cantik , ayu berkulit putih meskipun usianya dah hampir mencecah setengah abad.  Aku pernah melihat wanita ini hanya sekali dalam satu majlis sempena lawatan seorang pembesar negeri ke satu daerah  lebih sepuluh tahun lalu, dia dan suaminya turut bersama mengiringi pembesar negeri saat itu. Selepas itu aku tak pernah lagi bertemunya jauh sekali tahu tentang kabarnya.

Kisah suaminya pernah mengegar tanah air satu ketika dulu menjadi tajuk utama didada akbar tempatan. ".biarlah rahsia "?? kata dalam lagu penyanyi Siti Norhalizah ... namun kesnya telah ditutup demi kepentingan semua pihak.  Satu hari wanita ini tiba-tiba menghubungi aku melalui mesej ingin bertemu dengan aku. Serius aku tergamam kerana tak pernah terfikir langsung tentang wanita ini, apa lagi bertemu kerana tiada sebarang urusan antara aku dan dia. Aku diterjah seribu persoaalan ingin tahu??, berligar diminda ini kenapa dia ingin bertemu aku, apakah perkara luar biasa yang ingin di sampaikan, akhirnya aku bersetuju.

Kami bertemu di satu lokasi, satu tempat yang tak pernah ku jejaki agak tersorok dari keributan manusia, kebetulan aku berada di ibu Kota pada hari tersebut. Datin ini sengaja memilih lokasi itu bagi mengelak dilihat ramai orang, hanya andaian aku saja.. Tepat masa yang di janjikan dia pun tiba, aku terlebih dulu sampai. Aku tidak begitu cam wajahnya kerana dia memakai kaca mata hitam, rambutnya panjang melepasi bahu. Dia menghulur tangan bersalam denganku dan terus duduk di sebelahku kami hanya berdua.

Sebelum datin ini berkisah tentang dirinya, kami sembang biasa maklumlah itulah kali pertama aku bertemu secara empat mata dan berbicara dengannya. Aku kenal suaminya telah lama, tak kan tak kenal dengan orang ternama, berwajah tenang setenang air ditasik rupanya banyak gelombang. Telah banyak kapal karam di tasik itu.

Tanpa diminta Datin ini mula menceritakan kisah hidupnya bersama vip ini, kisah pertemuan, perkahwinan sampailah kepada kehidupannya saat ini. Rupanya sudah hampir beberapa tahun mereka tidak tinggal sebumbung kerana kabarnya suaminya telah ada wanita lain.

 Menurut Datin ini dia tak tahu dimana suaminya tinggal, lebih malang suaminya tidak memberi sebarang nafkah kepadanya dan anak-anak walhal suaminya itu berduit dan banyak harta. Sepanjang kehidupan bersama suaminya dia ibarat hidup di dalam neraka, perilaku suaminya sungguh melukai jiwanya, khusuk aku mendengar ceritanya, sekali-sekala aku mencelah sesak nafasku mendengar kisah hidupnnya, aku simpati. kesabaran datin ini aku anggap sudah tahap tidak bertempat namun katanya dia tidak berdaya kerana dia hanya memikirkan anak-anak,  itu keutamaan dalam hidupnya.

Datin ini pernah melarikan diri beberapa kali kerana kesabarannya benar-benar teruji, namun hasratnya terhalang kerana diugut oleh suaminya,di acuh pistul ke mukanya, akhirnya dia membatalkan hasratnya, lagi pula anak-anaknya masih kecil ketika itu.

Datin ini pernah bertemu dengan yang berkenaan agar suaminya tidak di senarai lagi dalam barisaan organisasi yang di terajui namun entah kenapa masih lagi di senaraikan dan masih kekal. Menurut datin ini dia banyak berkorban untuk suaminya selama mereka hidup bersama namun suaminya tidak pernah mengenang serta menghargai segala pengorbanannya, malah dia sering menjadi bahan sepak terjang untuk melepaskan kemarahan dan pelbagai lagi penderaan di lakukan terhadapnya

Itu antara kisah yang di ceritakan datin ini, ceritanya dia jarang sekali keluar rumah hanya ketika perlu, kesemua anak-anak tinggal bersamanya dan semuanya telah dewasa. ada di antaranya telah menamatkan pengajian di Universiti dan selainnya masih berada di sekolah menengah. Di akhir bicara datin ini minta aku mencari seseorang yang boleh membantunya agar suaminya itu di beri kelembutan hati agar menginggati dirinya dan anak-anak.

Masa begitu cepat berlalu..waktu hampir senja kami terpaksa berpisah kerana aku pun masih ada urusan  waktu itu.. Datin ini berjanji akan menemuiku lagi bila ada kelapangan, bergantung pada aku, aku pun bukannya banyak waktu yang terluang kerana kadang-kadang agak sibuk dengan tugas. Banyak lagi cerita datin yang belum sempat di kongsi, Datin ini mengharapkan agar aku dapat meluangkan waktu bertemunya pada masa  akan datang muda-mudahan ada kesempatan.

Thursday, 12 June 2014

Ketenangan Yang Dicari







RAMAI insan yang apabila bercerai akan pergi melancong ke tempat-tempat yang menarik bagi merawat dan menceriakan hati yang terluka.

Maka, meriahlah pusat-pusat peranginan seperti ini, khasnya pada musim cuti, ketika hujung tahun atau masa perayaan tertentu apabila lelaki dan wanita yang kesunyian ini menghabisi masa bersedih bersama orang asing yang dapat menerima mereka dengan hati terbuka.

Sebenarnya... pencarian sebuah ketenangan itu tidak wajar dimulakan dari luar. Sebaliknya, ia bermula dari diri kita sendiri.

Kita mungkin boleh melancong menghabiskan ribuan ringgit bagi menghiburkan hati. Tetapi, bila tiba waktu malam atau saat terbangun daripada tidur, kesedihan itu pasti akan menggamit jiwa-jiwa yang lemah dan penuh pengharapan kepada sebuah kebahagiaan.

Tangan meraba-raba ruang kosong di sebelah tetapi cadar terasa sejuk kerana tiada penghuni. Lalu... apa reaksi kita? Tangisan mula berlagu dan kesedihan pun hadir menemani siang dan malam...

Sebenarnya, kita tetap mampu berbahagia walaupun tiada suami atau isteri di sisi kerana ia berbalik kepada diri sendiri.

Biarlah perkahwinan yang telah terbina selama ini mencapai usia 10, 11 atau 12 tahun sekalipun, namun ia bukanlah satu alasan untuk mengatakan yang kita tidak akan mampu lagi hidup bahagia dan gembira selepas kehilangannya... bercerai atau diceraikan.

Perkara yang menghalang daripada mencapai kebahagiaan ialah diri kita sendiri, bukannya orang lain. Kebahagiaan itu ada di dalam hati kita. Tiada siapa yang akan dapat mengambilnya daripada kita... kecuali sendiri.

Sunday, 8 June 2014

Gelagat Aisy Elman Ali

Aisy bersama makcik-makcik dan pakciknya



Aisy kini sudah hampir genap sembilan bulan, jarang sekali bersamanya hanya sekali-sekala kami bertemu kerana kesibukan tugas. Aisy adalah jenerasiku yang pertama.

Benar kata orang bila ada cucu akan lebih mengasihinya dan sayang akan terlebih-lebih. Pasti aku akan merinduinya bila berada jauh dari pandangan, kerana beberapa bulan lagi aisy dan ibunya akan berada nun jauh di tanah semenanjung bersama ayah dan neneknya.

Semoga Aisy akan baik-baik saja disana.

Friday, 30 May 2014

Semoga Ada Keinsafan Bermukim Dihati


KISAH BUDAK PENJUAL KUIH ( Kisah menyentuh hati )

Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan. "Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja. "Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya. "Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima.

Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?" Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. "Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya. "Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu. "Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya. "Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya. "Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu. "Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata. "RM25 saja bang." Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? " ar-rahman
Jangan lupa tekan share

Sumber FB.

Saturday, 24 May 2014

Panda Jadi Isu Hangat Masa Kini



Isu panda telah mengambil carta atasan masa kini. Ada pro dan kontra tentang kehadiran haiwan unik itu. Ada yang kata membazir. Ada yang kata sangat berfaedah untuk hubungan diplomatik dengan China yang negara kita amat perlukan sekarang. 

Isu ini hendaklah dilihat secara objektif tanpa emosi kepartian. Mungkin ada faedah tertentu yang pihak pentadbiran kita tahu. Apapun ia terdedah kepada perbahasan.
Apa yang penting, jangan pula ada yang menggunakan nas agama secara salah untuk menyokong atau membantah kehadiran panda ke negara kita.


Jangan pula nanti ada golongan madkhalist yang menyatakan memelihara panda amalan salafussoleh, ataupun membantah panda itu terkeluar dari Ahlus Sunnah wal Jamaah dan khawarij, ataupun yang membenci kedatangan panda itu bagaikan pelacur, ataupun kehadiran panda adalah ketetapan Allah kita tiada pilihan dan seumpamanya.


Jangan pula ada yang kata tidak boleh pelihara panda kerana tiada dalam sunnah Nabi s.a.w.
Kebodohan-kebodohan seperti itu jangan diulangi lagi atas pentas perbahasan politik kita.


Sumber FB

Friday, 23 May 2014

IbuKu Bidan Kampung


sekadar gambar hiasan
Secebis kisahku bersama arwah ibu, peristiwa ini berlaku di era 70han, aku masih di sekolah rendah saat itu. Kerja ibu selain bertani, Ibu juga merupakan bidan kampung yang selalu dijemput orang bila ada dikalangan ibu-ibu yang melahirkan anak. Kadang-kadang ada dikalangan para ibu ini melahirkan anak ketika waktu tengah malam atau menjelang subuh, tak menentu waktu.

Setiap kali ibu dijemput akulah meneman ibu kerumah orang yang melahirkan anak itu. Satu malam saat aku sedang tidur, ibu kejutkan aku, seperti selalu ibu minta temankan aku ke rumah jiran kerana isteri jiran itu sedang sakit perut hendak melahirkan anak. Aku bangun tanpa membantah dan terus mengikuti ibu kerumah jiran yang hendak melahirkan anak itu, jarak rumah jiran dan rumah kami lebih kurang 1 km. Aku dan ibu keluar rumah meredah malam sunyi di kawasan kebun getah sambil ibu memegang lampu minyak tanah. Zaman itu belum ada letrik di kampung.

Sesampainya aku dan ibu dirumah jiran itu kami disambut oleh tuan rumah, suami kepada wanita yang sedang sakit perut. Kedengaran suara wanita itu mengerang-ngerang menahan sakit. Tuan rumah mempelawa ibu terus masuk ke bilik, aku juga turut ikut..nampak samar dalam bilik hanya diterangi lampu minyak tanah.

Tanpa berlengah Ibu memulakan operasinya, aku nampak mulut ibu berkumat-kamit sedang membaca sesuatu yang aku sendiri tidak tahu apakah ayat-ayat yang ibu baca sambil memegang perut wanita itu, . Sementara itu aku duduk menyandar dinding tidak berapa jauh dari ibu dan wanita itu. Aku hanya jadi pemerhati.

Sudah hampir setengah jam belum juga anak itu di lahirkan, aku lihat wajah ibu nampak risau. Ibu memanggil suami wanita itu masuk kebilik dan minta suami wanita itu melangkah perut isterinya sebanyak 7 kali. Selesai melangkah perut isterinya, suami wanita itu keluar dari bilik. Agaknya itu antara petua bagi membantu mempercepatkan kelahiran cara orang dulu-dulu.

Hanya beberapa minit selepas dilangkah, tiba-tiba wanita itu melahirkan anaknya dengan selamat, bayi yang dilahirkan itu seorang bayi lelaki. Ibu memanggil suami wanita itu masuk kebilik sekali lagi dan memintanya menyediakan cebisan bambu sebesar ibu jari dan perlu ditajamkan tepinya. suami wanita itu akur dengan arahan ibu, beberapa minit kemudian suami wanita itu menyerahkan bambu yang telah ditajamkan kepada ibu. Mulut ibu sekali lagi aku lihat berkumat-kamit entah apa lagi ayat-ayat yang ibu baca. Selesai membaca  Ibu memotong tali pusat anak itu dengan menggunakan bambu tersebut. Segala urusan memandikan bayi dan membarut (dalam bahasa tempatan) semuanya ibu lakukan. Selesai tugasan ibu pada lewat malam itu. Hebatnya ibu..

Alhamdulillah anak itu kini dah dewasa membesar dengan keadaan sehat walafiat dan telah pun berkeluarga. Itulah antara kenangan yang tidak dapat aku lupakan bersama arwah ibu. Satu waktu aku pernah bertanya pada ibu, apakah ayat-ayat yang ibu baca saat membidankan wanita yang melahirkan anak?, ibu kata belum tiba waktunya untuk aku tahu, kerana aku masih budak-budak. Zaman itu ramai wanita takut untuk melahirkan anak di hospital, lagi pula kemudahan penganggkutan tiada. Terpaksalah melahirkan anak dirumah tanpa rasa takut. Kebanyakan mereka hanya menggunakan ubat-ubatan tradisional selepas melahirkan anak..

Sampai ke akhir hayat ibu, aku tidak berkesempatan berkongsi ilmu kebidanan cara tradisi dari ibu, lantaran  keadaan yang tidak mengizinkan, kerana aku sudah tiada waktu untuk itu semua. Andai waktu yang lalu bisa berulang kembali alangkah indahnya..namun itu adalah sesuatu yang mustahil dalam realiti kehidupan,  kita hanya mampu mengenang sedang waktu terus berlalu..

Al-Fatihah buat arwah IBU.

" SELAMAT HARI IBU "

Saturday, 17 May 2014

Pasar Malam Keningau Diarah Tutup

Jabatan kesihatan keningau mengarahkan pasar malam keningau di tutup, terutamanya di bahagian permis jualan makanan setelah berlaku beberapa kes melibatkan pelanggan, keracunan makanan selepas memakan makanan di pasar ini.

Kebanyakan penjual dipermis ini adalah warga asing Indonesia, di maklumi mereka ini bukannya mementingkan kebersihan, dikuatiri tahap kesihatan sangat meragukan dan mungkin juga pejaja ini berpenyakit. Hasil tinjauan pegawai kesihatan ke tempat kediaman mereka :-

(Rumah setinggan, tadahan air hujan untuk jualan minuman, dalam masa yang sama air di gunakan keluarga mereka ke tandas, air tadahan berhampiran dengan tandas, keadaan rumah sangat kotor, tahi kucing bertaburan, kucing peliharaan banyak dalam rumah, dawai tempat panggangan ikan dan sayap ayam di biarkan diluar rumah, anjing berebut-rebut menjilat-jilat dawai bekas panggangan, tidak di basuh selepas di gunakan, dibawa semula ke pasar malam untuk digunakan.

Terdapat juga kanak-kanak di bawah umur 5 tahun membantu buat kueh tanpa membasuh tangan. hingus berjuntai hampir ke mulut dan banyak lagi penemuan yang menjijikkan.  ( petikan ini saya ambil melalui whatsap yang telah di sebarkan oleh rakan2 di daerah Keningau. Sumber daripada para pegawai kesihatan yang terlibat dalam pemantauan).

Nah wahai para pelanggan daripada hasil siasatan ini ternyata punca daripada apa yang berlaku kepada beberapa pelanggan tanpa ragu-ragu semuanya jelas. Kebijaksanaan pelanggan memilih permis yang bersih terletak di kepala otak pelanggan sendiri, jangan main tangkap muat saja. Sikap berhati-hati harus ada, jangan membeli semberangan makanan terutamanya penjaja asing ini. Mujur aku sudah tak pernah membeli makanan mereka tengok saja pun tekak sudah naik loya.

Kedai Rakyat 1 Malaysia Ringankan Beban Rakyat Marhean

kedai 1 malaysia daerah keningau

Sepetang saya berkesempatan meninjau di mini market kedai 1 malaysia yang terletak tak jauh dari parking Bas Tung Maa di daerah Keningau. Saya meninjau setiap barangan dan melihat harga yang terpapar,  ternyata harganya memang berpatutan walaupun harga setiap barangan itu tidaklah jauh bezanya dengan harga yang terdapat di kedai lain, namun masih dikira agak murah.

Barangan keperluan asas seperti beras, minyak makan, gula, susu tepung dan sebagainy, semuanya ada dalam kedai ini, mungkin masyarakat keningau masih ramai yang tidak tahu tentang kewujudan kedai ini, kebetulan pula ia terletak agak jauh dari laluan utama, parking disekitar kedai ini pula agak terhad, iklan promosi juga tiada kelihatan di sekitar bandar keningau.

Pengusaha kedai 1 malaysia di bandar keningau ini sepatutnya menyebarluaskan serta meletak papan iklan atau banner di merata tempat , antaranya dilaluan utama agar diketahui umum wujudnya kedai ini. Saya sendiri tidak tahu kedai ini wujud, setelah secara tidak sengaja melalui jalan ini kerana ada urusan berdekatan dengan kedai ini barulah saya tahu wujudnya kedai ini.

Rakyat di daerah keningau boleh berkunjung ke kedai ini untuk membeli-bela bagi sesiapa yang mengharapkan harga rendah. Sekurang-kurangnya kuranglah beberapa sen berbanding di kedai sekitar yang harganya agak mahal.

Perginya Seorang Sahabat

Sumber dari whatsaap, arwah dalam ICU Hospital Sandakan semalam
Petang tadi selesai mesyuarat cawangan di salah sebuah kampung, aku terus membuka whatsap ingin tahu perkabaran isu-isu semasa, fokusku dalam group Jabatan, berderetan ucapan takziah kelihatan diruangan, pantas aku mencari sumbernya, Innalilahiwainnahirojiun..sahabat kami telah kembali ke rahamtullah petang tadi sekitar jam 4.30pm sebagaimana yang diberi tahu kak Amnah isteri arwah .

Ya Allah daripadanya kita datang, dan kepadanya jua kita kembali..semoga arwah di tempatkan bersama para solehen dialam berzah. Arwah Awang Sapar Yakub ini, aku anggap abang, aku kenal arwah sejak tahun 1996 lagi, dalam satu jabatan. Dia yang ku kenal, seorang insan yang baik, suka bercakap tentang hal-hal agama,  kata-kata nasihatnya selalu saja hinggap ke cuping telingaku, bila kesempatan bersembang dengannya. Nasihat yang ku anggap dari seorang abang atau bapa, dia juga selalu berjenaka.

Kali terakhir bertemu tahun lalu tak ingat dalam program apa, aku mendapat kabar sudah beberapa tahun dia sakit dan sentiasa dalam rawatan, seringkali juga bertanya tentang kabarnya melalui isterinya, kerana isteri arwah juga rakan dalam jabatan. Minggu lalu sempat juga aku bertanya keadaan kesihatannya pada kak Amnah sewaktu kami menghadiri BTN.

Hari ini kami kehilangan seorang insan harapan yang banyak memberi sumbangan dan jasa kepada jabatan, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Buat keluarga arwah bersabar menerima dugaan ini,  kita doakan semoga rohnya sentiasa damai dialam abadi. AL-FATIHAH.