Monday, 3 June 2013

Seksaan Azab Menanti Pengamal Ilmu Penunduk


Sumber Blog-
Pendakwah bebas, Ustaz Noor Hisham Ismail memberitahu, ilmu penunduk suami sememangnya telah wujud sejak berkurun lamanya. Namun, katanya, tarikh bila bermulanya ilmu tersebut tidak dapat dipastikan secara tepat sama ada wujud dari zaman nabi, zaman Parameswara atau pun zaman Abraham Lincoln.

Beliau berkata, hukum asalnya adalah harus sekiranya diamalkan untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga tetapi sejak puluhan tahun yang lampau ia telah disalah gunakan sesetengah pihak dengan memasukkan unsur-unsur sihir dan menggunakan bantuan makhluk halus seperti jin dan syaitan.

“Ada juga masyarakat yang menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran dalam memastikan matlamat mereka berjaya dan telah menyebabkan ia bertukar haram disebabkan unsur-unsur tersebut,” katanya.

Ilmu penunduk suami kebiasaannya dilakukan oleh isteri dalam usahanya memastikan suami menurut dan patuh segala kehendaknya.

Selain itu, katanya, isteri yang mengamalkan ilmu penunduk amat berharap suami tidak curang, suami bertukar karakter dari seorang pembengis kepada lemah lembut, suami bertambah sayang kepadanya dan bermacam-macam faktor lagi.

Tambah beliau, suami yang terkena ilmu tersebut tidak menyedari bahawa dirinya disihir melainkan saudara mara atau sahabat handai yang menyedari perubahan mendadak berlaku ke atas sang suami.

“Antara perubahan mendadak yang mudah dikesan mereka yang rapat dengan suami yang terkena ilmu penunduk seperti sifat panas barannya bertukar menjadi penyabar dalam sekelip mata, suka berfoya-foya di luar tiba-tiba suka duduk bersama keluarga, ikut kata isteri tanpa membantah dan sebagainya.

“Pendek kata, pergerakan suami semasa di rumah tidak ubah seperti robot atau lembu yang dicucuk hidungnya tetapi berbeza perwatakan bila mana beliau berada di luar rumah,” katanya.

Jelas Ustaz Noor Hisham, isteri yang mengamalkan ilmu penunduk suami pastinya akan menanggung azab yang amat besar sama ada di dunia mahupun di akhirat.

“Azab besar menanti sesiapa sahaja lebih-lebih lagi pada seorang isteri yang menyihirkan suaminya demi kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, banyak amalan-amalan dan doa-doa yang boleh diamalkan pada setiap masa dan selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami dan isteri.

“Antaranya dengan membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 dari surah yang sama dan ayat ke 74 surah Al-Furqan. Berdoalah setiap masa pada Allah dan bukannya meminta pertolongan dengan bomoh-bomoh yang mengamalkan mantera-mantera yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Kesimpulannya, Ustaz Noor Hisham menasihatkan golongan isteri supaya meninggalkan perkara-perkara syirik tersebut kerana tidak memberi sebarang faedah melainkan mendatangkan kemurkaan Allah pada si pelaku dan mendapat balasan neraka.

“Untuk isteri, mahu memikat hati suami bukanlah dengan cara mengamalkan ilmu penunduk tetapi ikatlah hati suami dengan kasih sayang berpanjangan, bertolak ansur dan melakukan apa jua perkara yang disukainya selagi ia tidak menyalahi syariat Islam,” katanya.

Ingatan kepada para isteri yang mengamalkan sihir seumpama ini, tunggulah azab pasti akan menimpa kepada si pengamal Nauzubillahiminzalik.

No comments:

Post a Comment