Monday, 31 December 2012

MENUTUP TIRAI DISEMBER 2012 dan SEUNTAI KENANGAN


Tahun 2012 selangkah lagi akan menutup tirainya banyak memory tersingkap yang tak akan terpadam dalam kehidupan ini. 2012 rasanya baru semalam ia berlabuh pejam celik telah pun berada dipenghujung. waktu terus berarak tanpa nokta ahh inilah kehidupan tidak akan tamat ceritanya selagi nyawa dikandung badan, selagi dunia belum kiamat,  Biarkan segala kenangan manis dan pahit itu berlalu pergi tak perlu dikesali atau ditangisi ..apa yang penting bersyukur pada Ilahi kerana terus diberi nafas menghirup nikmat hidup ini. entah esok entah lusa tanpa siapa tahu apakah tiba-tiba ternokta kehidupan ini, sentiasa pasrah menghadapi kemungkinan itu..

Dikalangan kita ramai yang tidak teruja mengenang kisah pahit lantaran ia tentu amat menyakitkan, namun hakikat kita terlupa bahawa disebalik kepahitan itu terselit pelbagai hikmah yang sungguh diluar jangkaan.  Sekadar perkongsian, Sebelum saya bertugas dalam jabatan saya sekarang ini, saya pernah memohon pelbagai jawatan dibeberapa ajensi kerajaan dan telah melalui proses temuduga, antaranya ialah di salah sebuah bank, saya sangat-sangat mengharapkan agar saya berpeluang bekerja di bank tersebut, namun saya hampa kerana gagal merebut peluang itu. Kemudian saya pernah memohon jawatan pembantu tadbir di salah satu jabatan .kecewa rezeki tidak memihak buat saya.  Ada beberapa lagi jawatan yang pernah saya pohon semuanya menemukan kegagalan. Akhirnya saya mendapat peluang bekerja didalam jabatan saya sekarang, Dengan hati yang terpaksa saya terima walau pun gajinya sangat tidak memuaskan hati ketika itu kerana sudah tiada pilihan.  Setelah saya bekerja di jabatan ini, saya masih terus mencuba  melamar pekerjaan ditempat lain hanya kerana atas faktor gaji namun tiada rezki. Akhirnya saya lupakan hasrat itu. Saya nekad akan terus bekerja di jabatan ini walaupun gaji tidak seberapa.  Sungguh diluar jangkaan, Setelah beberapa tahun saya bekerja di jabatan ini, Alhamdulillah jawatan saya telah bertukar,  kemudian beberapa tahun seterusnya bertukar lagi kejawatan yang agak keatas saya sangat bersyukur.

Saya teringat peristiwa ketika saya memohon jawatan di salah satu jabatan ... sebagai pembantu tadbir saya  bertemu dengan pegawai berkenaan dan menyerahkan sepucuk surat sokongan daripada pengarah bahagian perjawatan negeri, masa itu melalui surat sokongan dari pegawai atasan mudah saja mendapat jawatan yang dipohon itu pun jika ada  kekosongan.  pegawai berkenaan menolak mentah-mentah permohonan saya dan menyatakan kepada saya bahawa sekolah itu telah ada calon, setahu saya calon yang di maksudkan itu sebenarnya telah pun mendapat tawaran ke IPG, saya tahu kerana dia merupakan rakan sekolah saya, atas faktor itulah saya memohon jawatan tersebut dan mengharapkan agar saya diberi peluang. malangnya tiada rezeki saya dijabatan itu.

Masa terus berlalu satu ketika isteri pegawai berkenaan  beberapa kali bertemu dengan saya, lepas tu call lagi merayu-rayu mohon bantuan agar anaknya mendapat peluang  untuk jawatan yang dipohonnya dijabatan saya. Kesihan juga saya mendengar luahannya anaknya ada ijazah, umur kian meningkat namun belum ada kerja, bakal berkahwin pula, banyak kali memohon di mana-mana jabatan namun  belum ada rezki. Sungguh-sungguh dia mengharap,

Sambil berborak perihal anak-anak yang tiada kerja, saya pula menceritakan perihal saya yang pernah melalui keadaan serupa, saya menyatakan padanya setiap kegagalan itu ada hikmah, saya juga mengambil kesempatan menceritakan kisah saya yang pernah berurusan dengan suaminya satu masa lalu, tetapi  menolak permohonan saya untuk jawatan tersebut, malah saya menyatakan ucapan terima kasih kepada suaminya kerana menolak permohonan saya ketika itu, mungkinkah saya tidak akan berpeluang menyandang jawatan sebaik ini seandainya saya bekerja dijabatan itu sehingga kehari ini, dia tersenyum faham. Tidak pernah terlintas difikiran secalit dendam dihati diatas peristiwa itu, malah saya bersungguh-sungguh membantu anaknya.

Alhamdulillah akhirnya rezeki menyebelahi anaknya dan sekarang telah bertugas sebagai kakitangan di jabatan saya. Itulah secebis kisah dan berkat dari kesabaran.." yang saya jadikan sebagai iktibar. Yang pahit itu jangan terus dibuang, yang manis itu jangan terus di telan ". Tuhan telah menentukan apa yang terbaik untuk kita, justeru jangan mudah merasa kecewa dengan setiap kegagalan yang kita lalui.

Sedetik lagi pintu 2013 mula terkuak, andai jasad ini masih bernafas,  doa sentiasa di panjatkan semoga tahun yang mendatang ini akan lebih baik daripada semalam, semua insan mengharapkan yang terbaik dalam kehidupan ini. Wassalam Selamat tinggal 2012 dan selamat datang 2013

Sunday, 23 December 2012

Hari terakhir di Tadika SCA










Ketika menghadiri konvokesyen puteri bungsu saya pada 7hb november lalu, entah kenapa terasa ada kesayuan bermukim dihati, mungkin kerana detik itu adalah yang terakhir menjejakkan kaki di sekolah ini, tahun depan dia akan memulakan persekolahannya ke sekolah rendah. Tiada lagi yang akan ke sekolah Tadika selepas dia, .

Ketika dalam dewan bersama beberapa orang ibu kami sembang, rupanya mereka juga seperti saya itulah anak mereka yang terakhir bersekolah di Tadika ini, mereka menyatakan rasa hiba dan sayu kerana tahun-tahun seterusnya tiada lagi anak-anak yang menyusul ke sekolah tersebut.  Ada kerinduan dan kenangan yang sangat indah bersama anak-anak dan guru-guru di sekolah ini.

 TADIKA SCA antara tadika di daerah ini menjadi pilihan ramai ibubapa kerana bahasa penghantarnya adalah bahasa cina, jumlah murid mencecah keangka ribu, pentadbirannya sangat sistematik , manakala tenaga pengajarnya pula majoriti berbangsa cina. Kenapa anak ini dihantar belajar di sekolah ini, sekurang-kurang mereka faham dalam bahasa cina.


Saturday, 22 December 2012

Majlis Walimatulurus Puteriku Telah Selesai


Persembahan Tarian dari anak-anak kampungku
Kumpulan ini sering diundang membuat persembahan dalam majlis2 perkahwinan disekitar daerah


21hb 12 2012 Majlis pernikahan bertempat di Hotel Perkasa Keningau
Majlis Persandingan di Dewan Masyarakat Keningau- Ku abadikan dalam blog ini sebagai kenang-kenangan,
22hb 12 2012 - Hari ini majlis persandingan puteri sulungku bertempat di dewan masyarakat keningau telah berlangsung, semoga mereka kekal bahagia hingga ke jannah. Kesibukanku sudah selesai hari ini, namun beginilah kehidupan semua insan tidak sunyi dari kesibukan mentadbir kehidupan. Apa yang penting mereka telah selesai disatukan walau majlis sekadar sederhana saja namun tetap meriah. Aku bersyukur meskipun segala pengurusan semuanya tertanggung dibahuku tetapi Alhamdulillah segalanya dipermudahkan,Amin.

Semoga mereka bijak mentadbir kehidupan berumahtangga selepas ini. Kehidupan berumah tangga penuh onak dan duri.  Namun setiap masalah pasti ada jalan penyelasai. Moga sabar selalu. selamat pengantin baru buat kedua anakku. semoga kekal bahagia selamanya.

Sunday, 25 November 2012

Kerajaan mampu tampung kenaikan gaji 1.4 juta penjawat awam

 Kerajaan mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menampung kenaikan gaji 1.4 juta penjawat awam berikutan penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) antara lain melibatkan pelarasan gaji sehingga 13 peratus. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penambahbaikan SSM membuktikan keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam yang merupakan kumpulan terpenting sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan.

"Ia melibatkan kos, implikasi kewangan yang tinggi, tetapi kita mampu menampung bukan sahaja kenaikan gaji, tetapi juga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kosnya kira-kira RM2.6 bilion, kerana hasil meningkat dan peningkatan hasil itu dipulangkan kepada rakyat," katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan Penjawat Awam dan Taklimat Penambahbaikan SSM anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Terima kasih diatas keperihatinan pihak kerajaan, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, budi yang baik dibalas baik. Semoga para penjawat awam akan terus berkhidmat dengan cemerlang.

Saturday, 17 November 2012

MAMPUKAH 10 ORANG ANAK MENJAGA SEORANG IBU ATAU SEORANG BAPA??


Pepata ada mengatakan " SEORANG IBU MAMPU MENJAGA 10 ORANG ANAK, TETAPI 10 ORANG ANAK BELUM TENTU MAMPU MENJAGA SEORANG IBU ATAU SEORANG BAPA ".  kepada semua, mampukah kita sendiri menjaga ibu bapa kita bila mereka telah tua dan uzur seperti mana mereka telah menjaga kita sedari kecil, hinggalah kita dewasa dan  menjadi seorang manusia yang berjaya.. waktu dahulu merekalah yang menjaga makan minum kita, basuh pakaian kita, buangkan 'kekotoran' di badan kita, peluk cium kita dengan penuh kasih sayang,  Waktu kita sakit dulu, bila kita demam, bila kita terluka siapa yang selalu sapukan ubat  luka kita . mereka juga yang telah memberikan segala-galanya, kadang2 kita sebenarnya tidak tahu yang mereka sendiri pun tidak memikirkan keperluan diri mereka.

Mampukah kita balas semua itu dengan tangan kita sendiri? imbas lagi.. dulu mereka selalu nasihatkan kita, memberi pendidikan yang terbaik,  gembirakan kita, bagi masa yang berkualiti untuk kita dan semuanya, mampukah kita membalas balik segala kebaikan yang mereka berikan? mampukah? Alangkah hinanya kita sebagai seorang anak jika tidak mampu melakukan semua itu dengan memberikan alasan yang mengarut! tidakkah mereka tahu tanpa ibu bapa, kita tiada di dunia ini. Alangkah kejamnya sehingga ada yang sanggup menghantar ibu atau ayah mereka ke pusat penjagaan rumah orang tua dengan memberikan alasan tidak mampu menjaganya kerana sibuk dengan urusan duniawi.

Kalau pun tidak dihantar ke pusat penjagaan rumah orang tua,  mereka sanggup membiarkan orang tua mereka keseorangan di kampung.. membiarkan mereka di teratak lama dan usang.. mambiarkan mereka digigit nyamuk setiap malam.. balik berjumpa bila raya Haji atau Aidilfitri shj. Malah ada yg kita dengar sampai ada yang tidak balik terus berjumpa ibu ayah di kampung.. Alangkah tidak mengenang budinya kita jika seperti ini. Amat kejam..  Mampukah kita sendiri menjaga ibu bapa kita bila usia uzur mereka nanti, umi dan abah, mak dan ayah, dan macam2 lagi panggilan kita kepada mereka.. ( Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga dan tidak akan bahagia hidup sepanjang hayat), ingatlah hai anak-anak Tuhan itu maha adil tiba waktunya balasan pasti ada.


Friday, 9 November 2012

Tetap Jelita Walau diusia 70 Tahun

pix_gal0 
 
Ulam-ulaman dan air zam-zam sudah memadai bagi primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad untuk kekal sihat dan bertenaga. Mungkin sudah diajar dari kecil, pelakon veteran tersohor ini masih bertenaga meskipun usianya mencecah 70 tahun. Malah, Sarimah masih mampu melakukan kerja berat seperti dulu tanpa bantuan sesiapa.

Bersyukur dengan rahmat kesihatan yang diberikan kepadanya, Sarimah melakukan rutin harian seawal jam 4 pagi untuk bersolat dan melakukan senaman ringan.
Hanya bersarapan dengan madu dan sedikit garam, air zam-zam dan salad sudah cukup memberi tenaga kepada pelakon yang terkenal dengan filem Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul dan Ibu Mertuaku ini. “Saya tidak pernah makan ayam dan daging sejak kecil, bukan pantang, tetapi sebab tidak minat. Sayur-sayuran seperti ulam dan buah-buahan menjadi makanan ruji saya setiap hari dan mesti ada.

“Saya tidak percaya dengan suntikan Botox kerana bagi saya kesannya hanya sekejap dan menyakitkan. Lagi pula, saya jenis takut dengan jarum. Kita kalau nak kekal cantik dan muda, bermula dari dalam terutama hati,” katanya.  Bagi Sarimah, penjagaan dalaman amat penting termasuk dari aspek pengambilan makanan dan vitamin C serta multivitamin bagi mengekalkan kesihatan tubuh.
Keperitan hidupnya melawan barah empat tahun lalu sehingga doktor memberitahu hanya mampu bertahan tiga bulan saja, memberi kekuatan kepadanya untuk kembali sihat seperti usia muda.

“Ketika itu, saya tidak boleh bergerak, hanya mampu terlantar. Bahkan hendak solat pun perlu berbaring. Tetapi itu tidak melemahkan saya kerana menganggap mungkin ada hikmah di sebalik ujian yang diberi. “Berkat doa dan sokongan anak, saya gagahkan diri menunaikan umrah dalam keadaan sakit. Selepas pulang, kesihatan saya semakin pulih kerana sering mengamalkan minum air zam-zam,” katanya.

Meskipun sudah mempunyai 32 orang cucu dan empat cicit, ibu tunggal kepada enam anak ini mahu terus sihat untuk melihat cucu, cicit dan piut membesar di depan mata. Tidak pernah menyembunyikan usianya, Sarimah berkongsi tip penjagaan kesihatan dengan wanita lain melalui produk kecantikan dalaman keluaran syarikatnya, Primadona Worldwide Sdn Bhd.

Syarikatnya menghasilkan dua produk kesihatan berasaskan minuman iaitu Sari AgeGard dan Sari StemShape untuk dikongsi bersama peminat. “Sudah sekian lama saya impikan berkongsi petua penjagaan kesihatan dengan peminat. Akhirnya, ia terlaksana. Kita kalau hendak melakukan sesuatu biarlah ikhlas dari hati. Jangan buat hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata. “Memang produk ini masih baru di pasaran.  Alhamdulillah saya percaya produk ini akan banyak membantu kesihatan kita,” katanya yang masih jelita dan memiliki kulit sihat.

Dalam hatinya, Sarimah tidak mahu hanya dikenali sebagai ikon lakonan, sebaliknya mahu menjadi ikon kesihatan dengan rangkaian produknya sendiri. “Saya masih lagi berlakon, tetapi tidak seaktif dulu kerana mahu menumpukan perhatian kepada ibadat. “Jika ada tawaran, saya akan teliti dulu sebelum menerima watak yang diberi,” katanya.

Thursday, 8 November 2012

SEKITAR MAJLIS PERKAHWINAN ANAK TYT NEGERI SABAH MOGA BAHAGIA HINGGA KE SYURGA




Suara mantap Al Hana menyampaikan sebuah lagu Inggeris ditujukan buat suami tersayang memukau hadirin


Bagai pinang dibelah dua

Kedua mempelai memotong kek


Saya berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak TYT Negeri sabah. Saya ingin berkongsi pada seluruh masyarakat diluar sana sebagai tanda kenang-kenangan selaku rakyat yang menjunjung kasih dibawah naungannya.

Sekitar majlis perkahwinan anak perempuan TYT Negeri Sabah Hajah Al Hana Surya Tun Datuk Seri Panglima Hj Johar dan Yabhg. Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk RM.Jasni  dengan pasangan Haji Omar Raisul As Salam Syah Hj Sulaiman Hj Omar, diucapkan selamat pengantin baru semoga bahagia hingga akhir hayat.

 (Majlis berlangsung pada malam 3/11/2012 di Dewan Undangan Negeri Sabah) walau pun agak sederhana, tetapi meriah acara ini diserikan lagi dengan artis jemputan fauziah Latif dan tarian kebudayaan suku kaum suluk. Sebahagian potret itu yang dapat dikongsikan sebagai kenangan.

 BAHAGIA HINGGA KE SYURGA.

Tuesday, 6 November 2012

HAPPY BIRTHDAY BUAT SEORANG JEJAKA

puteri keduaku ( Bertugas sebagai MA-Petronas )
IPTA Pantai Timur bercita-cita menjadi seorang Ustaz, Insyah-Allah semoga cita-cita tercapai
puteri bungsuku SRJK Tahun 1

Anak-anakku

Anak-anakku penyejuk jiwa

Senyuman seorang Teruna/ satu-satunya puteraku yang kini masih menuntut disalah sebuah Universiti Awam Pantai Timur
Selamat Hari Lahir Zul, Hari ini genap usiamu 19 tahun  6/11/2012 buat yang terbaik dalam meniti kehidupan ini, Putera-puteriku, kalian adalah sumber inspirasiku, sahabatku saat aku bahagia, sahabatku saat aku berduka dan mereka adalah segala-galanya dalam hidupku. InsyahAllah semoga mereka sentiasa menjadi insan beriman.

Andai suatu ketika nanti aku sudah tiada di dunia ini, aku tidak akan rasa bersalah ilmu dunia dan akhirat telah kutitipkan, maka terpulang kepada mereka jalan mana yang harus dipilih, Namun seorang ibu tidak pernah menoktakan doanya untuk anak-anak agar mereka terus berjaya dan sentiasa mengingati Tuhan, walau berada dimana jua.

Saturday, 27 October 2012

Kehijauan Alam Yang Mendamaikan Jiwa


Keindahan itu kadang tidak dapat digambarkan sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Saya sering mengimpikan untuk berada di tempat yang damai dan tenang seperti dalam gambar-gambar ini. Jauh dari segala hal-hal yang meresahkan fikiran dan perasaan.

Monday, 15 October 2012

Tun Mahatir Pemimpin Hebat

Sebahagian besar dan majoriti rakyat Malaysia membesar dan melihat era kepimpinan Dr Mahathir. Legasi pemerintahnya menyumbang kesan yang bukan sedikit kepada era pemodenan dan pentadbiran negara dan tamadun bangsa yang bukan calang-calang. Beliau dilihat begitu gigih dalam segala perancangan dan tindakan menjayakan bangsa Melayu dan Negara Malaysia dengan cemerlang. Namun setelah perletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri, kelihatan seperti beliau cuba untuk di bekukan dan dipadamkan dari perbualan rakyat Malaysia. Umum tahu,apabila tampok pemerintahan berubah, maka sudah semestinya Pak Lah harus diberikan keutamaan dan perlu dilihat jauh lebih hebat dari Tun Mahathir. Dalam keadaan ini, tindakan Pak Lah dan perancang utama yang berada di sekeliling beliau dilihat cuba untuk memadamkan sejarah cemerlang 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir. Namun bukan semudah itu untuk membunuh kecemerlangan pemimpin ulung ini yang kalau pun tidak diikitiraf oleh segelintir kecil rakyat Malaysia yang masih berfikiran primitif tetapi seluruh dunia mengangkat ketokohan beliau sehingga hari ini. Pemikiran dan tindakan beliau amat sukar dibaca hingga kesan segala ucapannya sering mengemparkan rakyat dan ahli UMNO yang semakin hilang arah. Malah tindakan beliau juga memberikan impak yang begitu besar kepada PRU 12. Keluarnya beliau dari UMNO turut memberikan tempias yang bukan sedikit kepada UMNO hingga kesannya turut terpalit dalam pilihanraya di Permatang Pauh. Namun tindakan ini tidak lama apabila beliau menyatakan hasrat untuk bersama UMNO semula.

Kembalinya yang berbahagia Tun Dr Mahathir ke pangkuan UMNO merupakan perkhabaran gembira yang di nanti oleh ramai pejuang dan pendokong UMNO. Keluarnya Tun Mahathir dari UMNO tidak mendatangkan keuntungan malah memberikan impak yang amat besar kepada UMNO dan kerajaan. Kembalinya beliau untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional harus mendapat penerimaan dan keterbukaan khususnya mengenai segala luahan dan pandangan yang perlu sentiasa diberikan perhatian oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.
Kita tidak dapat menyalahkan Tun Mahathir yang mengumumkan keluar dari UMNO tidak berapa lama dahulu. kerana kecewa terhadap Pak Lah. Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Pak Lah seharusnya melihat kembalinya Tun Mahathir ini sebagai cabaran dan tanggungjawab untuk memulihkan keadaan khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional. Semestinya Pak Lah telah memikirkan situasi untuk pemulihan UMNO dan Barisan Nasional sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Tun Mahathir suatu ketika dahulu. Malah jika keinginan Dr Mahathir untuk memaksa Pak Lah berundur kerana pandangannya yang jauh terhadap kepentingan negara dan bangsa, Pak Lah harus menilai perkara ini dari sudut positif dan rela berkorban untuk bangsa, agama dan negara. Kita tahu bukan mudah untuk Pak Lah melepaskan jawatan seperti mana Dr Mahathir meluahkan hasrat meletakan jawatan statu ketika dahulu hinggakan seluruh negara tersentak dan terkedu. Bezanya hari ini ialah apabila kebanyakkan ahli UMNO sendiri menginginkan Pak Lah melepaskan jawatan tanpa perlu menunggu tempoh 2010 demi survival UMNO dan Barisan Nasional. Dahulu, tempoh perletakan jawatan Dr Mahathir ditangisi bezanya sekarang, tempoh pengunduran Pak Lah dinanti-nanti.

Sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Mahathir seharusnya diberikan tempat sejak dahulu lagi untuk menyampaikan pandangan bagi membantu UMNO dan Barisan Nasional. Ramai pimpinan UMNO tidak dapat menilai dari mata hati akan kata-kata Tun Mahathir yang dianggap seolah-olah mencampuri urusan kerajaan dan UMNO selepas persaraannya. Jauh di sudut hati kita berasa amat kesal apabila terdapat usaha meminggirkan Tun Mahathir selepas meninggalkan tampok pemerintahnya selama 22 tahun. Beliau tidak lagi dilihat penting dan berharga oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam banyak keadaan dan keputusan. Cadangan dan pandangannya tidak pernah diambil peduli oleh pimpinan kerajaan hingga ada yang sanggup mencemuhnya. Beliau terlalu dilukai selepas melepaskan jawatan. Bagi saya Tun Mahathir bukan sebarang orang dan pandangannya selalunya lahir dari keikhlasan dan sayangkan bangsanya.

Amat menyedihkan apabila negarawan terbilang yang pernah berkorban ikhlas untuk agama, bangsa dan negaranya dianggap pengacau selepas era pemerintahnya berakhir suatu ketika dahulu. Tsunami politik pada 9 Mac 2008 amat berbeza dengan ombak kecil pada 1999 selepas pemecatan Dato Seri Anuar. Dr Mahathir masih berdiri kukuh walaupun selepas peristiwa September 1998 beliau antara pemimpin yang paling hebat menerima kecaman, hinaan, dan kata nista yang tidak terbayang akan dilemparkan oleh parti pembangkang mahupun ahli UMNO sendiri. Malah jauh dari itu solat hajat juga diadakan untuk tujuan buruk oleh sebahagian besar penyokong parti pembangkang.

Mengimbau persitiwa lama, Ketika itu hinggakan merasakan kehilangan apabila Tun Mahathir mengumumkan pengundurannya pada tahun 2002. Tetapi dalam situasi yang tenang dan damai dalam era pemerintah Pak Lah, kemenangan parti pembangkang dan nasib malang yang menimpa UMNO dan Barisan Nasional tanpa diduga oleh sesiapa pun termasuklah parti pembangkang sendiri adalah sesuatu yang tidak dapat dibaca dan dijangka. Apa yang terjadi terhadap Barisan Nasional dilihat sebagai satu pengajaran dan setidak-tidaknya merenung kembali sikap dan layanan yang dilakukan terhadap Tun Mahathir sebelum ini telah memberikan kesan. Penghormatan dan jasanya yang tidak dihargai ketika beliau tiada jawatan sedangkan pengorbanannya jauh lebih besar dari yang kita fikirkan. Malah memetik kata-kata seorang ahli politik legasi Tun Mahathir, beliau antara seorang dari begitu ramai pemimpin yang dilahirkan dalam 100 tahun untuk melonjakkan tamadun sesuatu bangsa. Sesungguhnya jika benar kata-kata keramat itu maka Tun Mahathir adalah pemimpin yang seharusnya diletakkan dalam penghormatan negara selepas perletakan jawatannya. Semoga hari ini pimpinan UMNO dan Barisan Nasional dapat menginsafi peristiwa ini menoleh semula kebelakang untuk menghargai sumbangan beliau.

Sanjungan untuk Tun Mahathir tidak pernah luntur dari kebanyakkan rakyat Malaysia dan hampir diseluruh dunia khususnya dunia Islam. Adakah kita sedar dalam 22 tahun pemerintahnya berapa ramai rakyat Malaysia mendapat pekerjaan dan mampu menyara keluarga dan mengeluarkan zakat?. Janganlah kita lupa begitu ramai rakyat negara jiran juga datang mendapatkan sesuap nasi dan rezeki yang melimpah ruah untuk membantu keluarga mereka di negara asal. Lupakah kita bagaimana beliau sebagai pemimpin kita ketika itu mampu mempertahankan maruah umat Islam dari serangan Yahudi dan Nasrani pada ketika bangsa Arab membisu dan tidak berani mengangkat muka?. Sedikitkah jasa Tun Mahathir apabila berjuta umat Islam yang tertindas, miskin dan memerlukan bantuan seperti di Bosnia, Somalia, Afganistán, Sudan, dan lain-lain negara Islam mendapat simpati dan pertolongan segera dalam pelbagai bentuk bantuan seperti ketenteraan, pembangunan, derma, pendidikan dan pelbagai sokongan lain semasa era pemerintahnya?. Jika dunia Islam mengakui dan mendoakan kesejahteraan beliau dan Allah Maha Mengetahui isi hati dan keikhlasan hambanya maka sebagai sesama manusia adakah wajar kita menzalimi segala jasa dan pengorbanan Tun Mahathir kepada bangsa, agama dan negara. Malah pengorbanan beliau melangkau benua dan sempadan yang tidak mampu diharungi oleh pemimpin negara Islam yang lain pada ketika negara mereka kaya raya dan mewah tetapi terbatas dari segi kemampuan untuk membantu negara lain.

Malah pembangkang sendiri telah mengakui kehebatan Tun Mahathir dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. Jika banyak pimpinan negara seperti di Singapura meletakkan bekas pemimpin mereka sebagai penasihat demi membina negara bangsa yang telah diasaskan mereka termasuk parti pembangkang seperti PAS dan DAP juga meletakkan bekas presiden atau pemimpin utama mereka sebagai penasihat parti untuk meneruskan kesinambungan sokongan dan khidmat nasihat untuk memperkukuhkan sokongan. Persoalannya, mengapa UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh meniru situasi yang boleh memberikan kebaikan kepada agama, bangsa dan negara ini?. Masih butakah kita untuk menilai segala sumbangan jariah dan pemikirannya yang menyebabkan bangsa dan agama kita kembali diikitraf setelah sekian lama dijajah. Ingatlah bahawa bangsa Melayu adalah antara bangsa terakhir menerima ajaran Islam, tetapi di atas sumbangan dan pemerintahan beliau orang Melayu menjadi bangsa yang boleh membantu seluruh umat Islam.

Tun Mahathir adalah ‘Keramat Hidup’ yang berbisa kata-katanya, selalu betul dalam segala tindakannya, terlalu mendalam pandangannya dan jarang dari kita membaca gerak hatinya. Pengalaman panjang sebagai seorang negarawan yang ikhlas jiwanya tidak seharusnya diketepikan. Malanglah bagi UMNO jika Parti Keramat ini meminggirkannya dalam pelbagai perkara. Dengan Keramat UMNO dan keikhlasan Tun Mahathir pasti kita dapat memulihkan UMNO yang berjasa ini. Pandangan Tun Mahathir bukan sekadar ucapan biasa kerana setiap lontaran ucapannya mengandungi azimat yang beliau nampak dari firasatnya sebagai bekas pemimpin ulung bangsa Melayu. Fikirkan sejenak duhai pimpinan dan ahli UMNO, beliau bukan calang-calang orang kerana Tun Mahathir ialah seorang pemikir, penulis, pengkaji, pénelaah, tidak tamak kuasa, memiliki daya intuitif yang sangat tinggi, tidak mudah percaya dan menerima segala maklumat dengan membuat kajian, tidak mudah berjanji tetapi jika berjanji akan ditepati. Beliau sangat menghormati masa, tiada kepentingan diri apatah lagi kroni, tidak khianat kepada sesiapa kerana keikhlasan sepenuhnya dicurahkan kepada UMNO yang amat disayanginya. Malanglah bagi kita jika membiarkan Tun Mahathir berada di luar gelanggang. Beliau sewajarnya dihormati kerana pengalaman dan pandangannya yang tidak menjangkau pemikiran kita. Rugilah untuk UMNO jika masih gagal menilai kehebatannya dan ketokohnya untuk memperkasakan UMNO kembali. Ada yang mencadangkan kepada pimpinan negara selepas PRU 12 agar Tun Mahathir dilantik sebagai PENASIHAT AGUNG UMNO dan Penasihat Negara sementara hayatnya masih ada kerana kebangkitan UMNO dan Hidupnya UMNO dan kehebatan negara Malaysia adalah pengorbanan beliau yang perlu diakui dengan tulus ikhlas dari kita sebagai pendokong Parti Keramat ini.