“Saya tidak percaya dengan suntikan Botox kerana bagi saya kesannya hanya sekejap dan menyakitkan. Lagi pula, saya jenis takut dengan jarum. Kita kalau nak kekal cantik dan muda, bermula dari dalam terutama hati,” katanya. Bagi Sarimah, penjagaan dalaman amat penting termasuk dari aspek pengambilan makanan dan vitamin C serta multivitamin bagi mengekalkan kesihatan tubuh.
Keperitan hidupnya melawan barah empat tahun lalu sehingga doktor memberitahu hanya mampu bertahan tiga bulan saja, memberi kekuatan kepadanya untuk kembali sihat seperti usia muda.
“Ketika itu, saya tidak boleh bergerak, hanya mampu terlantar. Bahkan hendak solat pun perlu berbaring. Tetapi itu tidak melemahkan saya kerana menganggap mungkin ada hikmah di sebalik ujian yang diberi. “Berkat doa dan sokongan anak, saya gagahkan diri menunaikan umrah dalam keadaan sakit. Selepas pulang, kesihatan saya semakin pulih kerana sering mengamalkan minum air zam-zam,” katanya.
Meskipun sudah mempunyai 32 orang cucu dan empat cicit, ibu tunggal kepada enam anak ini mahu terus sihat untuk melihat cucu, cicit dan piut membesar di depan mata. Tidak pernah menyembunyikan usianya, Sarimah berkongsi tip penjagaan kesihatan dengan wanita lain melalui produk kecantikan dalaman keluaran syarikatnya, Primadona Worldwide Sdn Bhd.
Syarikatnya menghasilkan dua produk kesihatan berasaskan minuman iaitu Sari AgeGard dan Sari StemShape untuk dikongsi bersama peminat. “Sudah sekian lama saya impikan berkongsi petua penjagaan kesihatan dengan peminat. Akhirnya, ia terlaksana. Kita kalau hendak melakukan sesuatu biarlah ikhlas dari hati. Jangan buat hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata. “Memang produk ini masih baru di pasaran. Alhamdulillah saya percaya produk ini akan banyak membantu kesihatan kita,” katanya yang masih jelita dan memiliki kulit sihat.
Dalam hatinya, Sarimah tidak mahu hanya dikenali sebagai ikon lakonan, sebaliknya mahu menjadi ikon kesihatan dengan rangkaian produknya sendiri. “Saya masih lagi berlakon, tetapi tidak seaktif dulu kerana mahu menumpukan perhatian kepada ibadat. “Jika ada tawaran, saya akan teliti dulu sebelum menerima watak yang diberi,” katanya.
No comments:
Post a Comment