FILEM percintaan antara dua darjat
yang menjadi tunjang utama Titanic telah meletakkannya dalam kelompok
filem-filem klasik sepanjang zaman.
Biarpun sudah 15 tahun berlalu, ramai yang terus memperkatakan tentang
Titanic yang kini berada dalam kelompok filem-filem berstatus klasik seperti
Gone With The Wind (1939) dan
Casablanca (1942).
Cukup menyedari
Titanic sebuah naskhah agung James Cameron dan
pencinta sinema dunia, maka itu, dia dan sahabatnya yang juga penerbit
filem tersebut, Jon Landau kembali melayarkan
Titanic ke pawagam.
Lebih mengagumkan apabila karya itu diterbitkan semula dalam versi
tiga dimensi (3D) yang kini menjadi satu budaya popular dalam pembikinan
filem di dunia. Apabila memperkatakan tentang 3D, ia bukanlah sesuatu yang baru buat
Cameron yang dilihat sebagai pelopor kepada filem-filem dalam versi itu.
Bermula tahun 2001, Cameron sudah mempelopori penggunaan teknik 3D dalam filem dokumentarinya,
Ghosts of the Abyss dan seterusnya mengaplikasikan teknik yang lebih canggih dalam filem
Avatar.
Mencipta teknik yang dipanggil steroskopik 3D yang digunakan sepenuhnya dalam filem
Avatar, Cameron telah mencetus satu revolusi dalam pembikinan filem. Yang menjadi persoalan sekarang, apakah
Titanic yang ditimbulkan semula dalam bentuk 3D ini mampu menyaingi produk asal 15 tahun lalu? Tetapi jika dilihat pada senario awal penghasilan
Titanic oleh Cameron, tiada siapa yang mempercayai naskhah yang lahir dari idea pengarah kreatif ini mampu menjadi sebuah fenomena.
Bayangkan ketika Cameron cuba menjual cerita tentang sebuah kapal persiaran mewah diberi nama
Titanic sekitar tahun 1995, ramai yang meraguinya. Namun mengenali Cameron, dia bukan seorang yang mudah berputus asa
dan apabila hatinya sudah bulat, tiada siapa mampu menghalangnya. Cameron mempunyai visinya yang tersendiri dan sedar seandainya sebuah
cerita yang fokus kepada pelayaran sebuah kapal semata-mata, ia kurang
menarik perhatian. Lalu pengarah yang cukup dikenali dengan filem-filem bercorak aksi
dan sains fiksyen itu menyuntik elemen drama dan cinta antara dua
darjat. Idea itu dilihat cukup menarik dan akhirnya, dua buah studio gergasi
Hollywood, 20th Century Fox dan Paramount Pictures bergabung tenaga
menghasilkan
Titanic. Belumpun memulakan penggambaran,
Titanic sudah mencipta
rekodnya sendiri apabila menjadi filem paling mahal pernah dihasilkan di
dunia iaitu dengan kos sebanyak AS$200 juta pada tahun 1996. Seperti yang diramal ramai pihak sewaktu
Titanic dalam pembikinan, pelbagai masalah timbul terutama kos pembikinannya yang terus meningkat dari hari ke hari. Ia cukup merisaukan dua buah studio itu apabila mereka enggan lagi
menanggung kos penerbitannya yang ketika itu memang dilihat sebagai
sesuatu yang tidak masuk akal. Sehinggakan mereka mendesak Cameron memberhentikan penggambaran dan melupakan sahaja niat menzahirkan
Titanic ke layar perak. Setinggi manapun ego Cameron sebagai pengarah dan penerbit, akhirnya
dia tunduk dengan kehendak 20th Century Fox dan Paramount Pictures.
Tetapi bukan untuk menghentikan penggambaran sebaliknya pengarah itu sanggup mengorbankan bayaran gajinya demi menyelamatkan
Titanic. Penggambaran diteruskan selama lebih setahun sehinggalah ia
ditayangkan kepada umum pada 21 Disember 1997 dan sekali lagi, ia
mengundang kebimbangan kepada penerbit. Ia berikutan kutipan
Titanic pada minggu pembukaannya dilihat kurang memberangsangkan apabila sekadar mencatatkan AS$28 juta sahaja. Angka itu bukanlah satu rekod yang dianggap cemerlang untuk sebuah filem
blockbuster seperti
Titanic kerana jika silap percaturan, ia boleh mengundang kegagalan.
Fenomena Namun kebimbangan itu bertukar menjadi satu kejayaan apabila
kutipannya terus meningkat minggu demi minggu sehingga mampu menjadi
juara carta filem pecah panggung selama 15 minggu berturut-turut di
Amerika Syarikat dan Kanada. Ditambah pula dengan 14 pencalonan dan seterusnya memenangi 11 trofi
Oscar termasuk Filem dan Pengarah Terbaik untuk Cameron pada tahun 1998,
Titanic terus berlayar lancar ke mercu kejayaan sehingga mampu menjadi satu fenomena luar biasa di seluruh dunia.
Malah ia juga terus bertahan di panggung wayang selama hampir setahun
sebelum pihak penerbit memutuskan untuk menamatkan tayangannya pada 1
Oktober 1998. Rekod baru juga telah tercipta apabila
Titanic menjadi filem
pertama di dunia untuk mencatatkan kutipan sebanyak AS$1.8 billion dan
terus berada di takhta selama 12 tahun sebelum sebuah lagi filem arahan
Cameron,
Avatar mengambil alih kedudukan itu. Lalu apabila Cameron menerbitkan semula
Titanic dalam versi
3D, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak. Bahkan, ia adalah
saat yang cukup dinanti-nantikan kerana ramai yang mahu melihat
hasilnya. Apakah ia mampu terus mengekalkan keaslian ceritanya sekali gus mengembalikan nostalgia penonton filem tersebut? Atau apakah
Titanic sengaja 'dihidupkan' semula ke layar perak
atas tujuan komersial semata-mata dan terus mengutip kutipan
berganda-ganda daripadanya?
"Saya mempunyai justifikasi sendiri mengapa mahu menerbitkan semula
Titanic.
Pertamanya, filem ini merupakan 'bayi' saya dan telah membawa saya ke
mercu kejayaan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. "Seterusnya, ia adalah sebuah naskhah yang telah mengubah hidup ramai
orang dan meletakkannya di satu tahap luar biasa sehingga mampu menjadi
sebuah budaya popular di seluruh dunia. "Bukan itu sahaja, saya mahu menjelmakan semula
Titanic dalam bentuk 3D kerana percaya ia mampu mendekatkan filem ini lagi kepada penonton. "Versi 3D ini bukan hanya untuk menunjukkan kemegahan
Titanic itu
sendiri tetapi setiap adegan dalam filem ini yang saya percaya mampu
bergerak dengan penuh dramatik terutama pada semua babak antara Jack
Dawson dan Rose DeWitt Bukater," kata pengarah filem
Terminator 2: Judgement Day dan
True Lies itu penuh optimis. Kata Cameron lagi, perbincangan untuk
Titanic 3D telah
dilakukan sejak beberapa tahun lalu dan dia mahukan versi terbaru itu
ditayangkan tahun ini sempena ulang tahun ke-15 filem tersebut selain
sambutan penubuhan Paramount Pictures yang ke-100. Bukan itu sahaja, kemunculan
Titanic 3D juga adalah mengenang kembali pelayaran sulung dan terakhir kapal persiaran mewah itu 100 tahun lalu pada 10 April 1912. Bercerita lanjut tentang
Titanic 3D, jelas Cameron, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk dilakukan terutama sekali untuk menukarkan versi asalnya kepada 3D.