Saturday, 7 April 2012

Filem Titanic masih menyengat



FILEM percintaan antara dua darjat yang menjadi tunjang utama Titanic telah meletakkannya dalam kelompok filem-filem klasik sepanjang zaman.


Biarpun sudah 15 tahun berlalu, ramai yang terus memperkatakan tentang Titanic yang kini berada dalam kelompok filem-filem berstatus klasik seperti Gone With The Wind (1939) dan Casablanca (1942).
Cukup menyedari Titanic sebuah naskhah agung James Cameron dan pencinta sinema dunia, maka itu, dia dan sahabatnya yang juga penerbit filem tersebut, Jon Landau kembali melayarkan Titanic ke pawagam.
Lebih mengagumkan apabila karya itu diterbitkan semula dalam versi tiga dimensi (3D) yang kini menjadi satu budaya popular dalam pembikinan filem di dunia. Apabila memperkatakan tentang 3D, ia bukanlah sesuatu yang baru buat Cameron yang dilihat sebagai pelopor kepada filem-filem dalam versi itu.
Bermula tahun 2001, Cameron sudah mempelopori penggunaan teknik 3D dalam filem dokumentarinya, Ghosts of the Abyss dan seterusnya mengaplikasikan teknik yang lebih canggih dalam filem Avatar.
Mencipta teknik yang dipanggil steroskopik 3D yang digunakan sepenuhnya dalam filem Avatar, Cameron telah mencetus satu revolusi dalam pembikinan filem. Yang menjadi persoalan sekarang, apakah Titanic yang ditimbulkan semula dalam bentuk 3D ini mampu menyaingi produk asal 15 tahun lalu? Tetapi jika dilihat pada senario awal penghasilan Titanic oleh Cameron, tiada siapa yang mempercayai naskhah yang lahir dari idea pengarah kreatif ini mampu menjadi sebuah fenomena.

Bayangkan ketika Cameron cuba menjual cerita tentang sebuah kapal persiaran mewah diberi nama Titanic sekitar tahun 1995, ramai yang meraguinya. Namun mengenali Cameron, dia bukan seorang yang mudah berputus asa dan apabila hatinya sudah bulat, tiada siapa mampu menghalangnya. Cameron mempunyai visinya yang tersendiri dan sedar seandainya sebuah cerita yang fokus kepada pelayaran sebuah kapal semata-mata, ia kurang menarik perhatian. Lalu pengarah yang cukup dikenali dengan filem-filem bercorak aksi dan sains fiksyen itu menyuntik elemen drama dan cinta antara dua darjat. Idea itu dilihat cukup menarik dan akhirnya, dua buah studio gergasi Hollywood, 20th Century Fox dan Paramount Pictures bergabung tenaga menghasilkan Titanic. Belumpun memulakan penggambaran, Titanic sudah mencipta rekodnya sendiri apabila menjadi filem paling mahal pernah dihasilkan di dunia iaitu dengan kos sebanyak AS$200 juta pada tahun 1996. Seperti yang diramal ramai pihak sewaktu Titanic dalam pembikinan, pelbagai masalah timbul terutama kos pembikinannya yang terus meningkat dari hari ke hari. Ia cukup merisaukan dua buah studio itu apabila mereka enggan lagi menanggung kos penerbitannya yang ketika itu memang dilihat sebagai sesuatu yang tidak masuk akal. Sehinggakan mereka mendesak Cameron memberhentikan penggambaran dan melupakan sahaja niat menzahirkan Titanic ke layar perak. Setinggi manapun ego Cameron sebagai pengarah dan penerbit, akhirnya dia tunduk dengan kehendak 20th Century Fox dan Paramount Pictures.

Tetapi bukan untuk menghentikan penggambaran sebaliknya pengarah itu sanggup mengorbankan bayaran gajinya demi menyelamatkan Titanic. Penggambaran diteruskan selama lebih setahun sehinggalah ia ditayangkan kepada umum pada 21 Disember 1997 dan sekali lagi, ia mengundang kebimbangan kepada penerbit. Ia berikutan kutipan Titanic pada minggu pembukaannya dilihat kurang memberangsangkan apabila sekadar mencatatkan AS$28 juta sahaja. Angka itu bukanlah satu rekod yang dianggap cemerlang untuk sebuah filem blockbuster seperti Titanic kerana jika silap percaturan, ia boleh mengundang kegagalan. Fenomena Namun kebimbangan itu bertukar menjadi satu kejayaan apabila kutipannya terus meningkat minggu demi minggu sehingga mampu menjadi juara carta filem pecah panggung selama 15 minggu berturut-turut di Amerika Syarikat dan Kanada. Ditambah pula dengan 14 pencalonan dan seterusnya memenangi 11 trofi Oscar termasuk Filem dan Pengarah Terbaik untuk Cameron pada tahun 1998, Titanic terus berlayar lancar ke mercu kejayaan sehingga mampu menjadi satu fenomena luar biasa di seluruh dunia.

Malah ia juga terus bertahan di panggung wayang selama hampir setahun sebelum pihak penerbit memutuskan untuk menamatkan tayangannya pada 1 Oktober 1998. Rekod baru juga telah tercipta apabila Titanic menjadi filem pertama di dunia untuk mencatatkan kutipan sebanyak AS$1.8 billion dan terus berada di takhta selama 12 tahun sebelum sebuah lagi filem arahan Cameron, Avatar mengambil alih kedudukan itu. Lalu apabila Cameron menerbitkan semula Titanic dalam versi 3D, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak. Bahkan, ia adalah saat yang cukup dinanti-nantikan kerana ramai yang mahu melihat hasilnya. Apakah ia mampu terus mengekalkan keaslian ceritanya sekali gus mengembalikan nostalgia penonton filem tersebut? Atau apakah Titanic sengaja 'dihidupkan' semula ke layar perak atas tujuan komersial semata-mata dan terus mengutip kutipan berganda-ganda daripadanya?
"Saya mempunyai justifikasi sendiri mengapa mahu menerbitkan semula Titanic. Pertamanya, filem ini merupakan 'bayi' saya dan telah membawa saya ke mercu kejayaan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. "Seterusnya, ia adalah sebuah naskhah yang telah mengubah hidup ramai orang dan meletakkannya di satu tahap luar biasa sehingga mampu menjadi sebuah budaya popular di seluruh dunia. "Bukan itu sahaja, saya mahu menjelmakan semula Titanic dalam bentuk 3D kerana percaya ia mampu mendekatkan filem ini lagi kepada penonton. "Versi 3D ini bukan hanya untuk menunjukkan kemegahan Titanic itu sendiri tetapi setiap adegan dalam filem ini yang saya percaya mampu bergerak dengan penuh dramatik terutama pada semua babak antara Jack Dawson dan Rose DeWitt Bukater," kata pengarah filem Terminator 2: Judgement Day dan True Lies itu penuh optimis. Kata Cameron lagi, perbincangan untuk Titanic 3D telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu dan dia mahukan versi terbaru itu ditayangkan tahun ini sempena ulang tahun ke-15 filem tersebut selain sambutan penubuhan Paramount Pictures yang ke-100. Bukan itu sahaja, kemunculan Titanic 3D juga adalah mengenang kembali pelayaran sulung dan terakhir kapal persiaran mewah itu 100 tahun lalu pada 10 April 1912. Bercerita lanjut tentang Titanic 3D, jelas Cameron, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk dilakukan terutama sekali untuk menukarkan versi asalnya kepada 3D.

2 comments:

  1. Assalamualaikum,
    memang tak sabar nak tgk dlm bntk 3D...saya juga ada tengok dokumentari tentang pembinaan semula kapal ini seperti yang asal. Bila tengok bagaimana mereka buat semula, sangat kagum dengan kapal asal itu yang sangat besar telah dibina beratus tahun dulu. teknologi apa yang mereka guna

    ReplyDelete
  2. memang tepat cerita titanic ini hebat, walau beberapa kali menonton tidak rasa boring...

    ReplyDelete