Saturday, 27 October 2012

Kehijauan Alam Yang Mendamaikan Jiwa


Keindahan itu kadang tidak dapat digambarkan sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Saya sering mengimpikan untuk berada di tempat yang damai dan tenang seperti dalam gambar-gambar ini. Jauh dari segala hal-hal yang meresahkan fikiran dan perasaan.

Monday, 15 October 2012

Tun Mahatir Pemimpin Hebat

Sebahagian besar dan majoriti rakyat Malaysia membesar dan melihat era kepimpinan Dr Mahathir. Legasi pemerintahnya menyumbang kesan yang bukan sedikit kepada era pemodenan dan pentadbiran negara dan tamadun bangsa yang bukan calang-calang. Beliau dilihat begitu gigih dalam segala perancangan dan tindakan menjayakan bangsa Melayu dan Negara Malaysia dengan cemerlang. Namun setelah perletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri, kelihatan seperti beliau cuba untuk di bekukan dan dipadamkan dari perbualan rakyat Malaysia. Umum tahu,apabila tampok pemerintahan berubah, maka sudah semestinya Pak Lah harus diberikan keutamaan dan perlu dilihat jauh lebih hebat dari Tun Mahathir. Dalam keadaan ini, tindakan Pak Lah dan perancang utama yang berada di sekeliling beliau dilihat cuba untuk memadamkan sejarah cemerlang 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir. Namun bukan semudah itu untuk membunuh kecemerlangan pemimpin ulung ini yang kalau pun tidak diikitiraf oleh segelintir kecil rakyat Malaysia yang masih berfikiran primitif tetapi seluruh dunia mengangkat ketokohan beliau sehingga hari ini. Pemikiran dan tindakan beliau amat sukar dibaca hingga kesan segala ucapannya sering mengemparkan rakyat dan ahli UMNO yang semakin hilang arah. Malah tindakan beliau juga memberikan impak yang begitu besar kepada PRU 12. Keluarnya beliau dari UMNO turut memberikan tempias yang bukan sedikit kepada UMNO hingga kesannya turut terpalit dalam pilihanraya di Permatang Pauh. Namun tindakan ini tidak lama apabila beliau menyatakan hasrat untuk bersama UMNO semula.

Kembalinya yang berbahagia Tun Dr Mahathir ke pangkuan UMNO merupakan perkhabaran gembira yang di nanti oleh ramai pejuang dan pendokong UMNO. Keluarnya Tun Mahathir dari UMNO tidak mendatangkan keuntungan malah memberikan impak yang amat besar kepada UMNO dan kerajaan. Kembalinya beliau untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional harus mendapat penerimaan dan keterbukaan khususnya mengenai segala luahan dan pandangan yang perlu sentiasa diberikan perhatian oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.
Kita tidak dapat menyalahkan Tun Mahathir yang mengumumkan keluar dari UMNO tidak berapa lama dahulu. kerana kecewa terhadap Pak Lah. Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Pak Lah seharusnya melihat kembalinya Tun Mahathir ini sebagai cabaran dan tanggungjawab untuk memulihkan keadaan khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional. Semestinya Pak Lah telah memikirkan situasi untuk pemulihan UMNO dan Barisan Nasional sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Tun Mahathir suatu ketika dahulu. Malah jika keinginan Dr Mahathir untuk memaksa Pak Lah berundur kerana pandangannya yang jauh terhadap kepentingan negara dan bangsa, Pak Lah harus menilai perkara ini dari sudut positif dan rela berkorban untuk bangsa, agama dan negara. Kita tahu bukan mudah untuk Pak Lah melepaskan jawatan seperti mana Dr Mahathir meluahkan hasrat meletakan jawatan statu ketika dahulu hinggakan seluruh negara tersentak dan terkedu. Bezanya hari ini ialah apabila kebanyakkan ahli UMNO sendiri menginginkan Pak Lah melepaskan jawatan tanpa perlu menunggu tempoh 2010 demi survival UMNO dan Barisan Nasional. Dahulu, tempoh perletakan jawatan Dr Mahathir ditangisi bezanya sekarang, tempoh pengunduran Pak Lah dinanti-nanti.

Sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Mahathir seharusnya diberikan tempat sejak dahulu lagi untuk menyampaikan pandangan bagi membantu UMNO dan Barisan Nasional. Ramai pimpinan UMNO tidak dapat menilai dari mata hati akan kata-kata Tun Mahathir yang dianggap seolah-olah mencampuri urusan kerajaan dan UMNO selepas persaraannya. Jauh di sudut hati kita berasa amat kesal apabila terdapat usaha meminggirkan Tun Mahathir selepas meninggalkan tampok pemerintahnya selama 22 tahun. Beliau tidak lagi dilihat penting dan berharga oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam banyak keadaan dan keputusan. Cadangan dan pandangannya tidak pernah diambil peduli oleh pimpinan kerajaan hingga ada yang sanggup mencemuhnya. Beliau terlalu dilukai selepas melepaskan jawatan. Bagi saya Tun Mahathir bukan sebarang orang dan pandangannya selalunya lahir dari keikhlasan dan sayangkan bangsanya.

Amat menyedihkan apabila negarawan terbilang yang pernah berkorban ikhlas untuk agama, bangsa dan negaranya dianggap pengacau selepas era pemerintahnya berakhir suatu ketika dahulu. Tsunami politik pada 9 Mac 2008 amat berbeza dengan ombak kecil pada 1999 selepas pemecatan Dato Seri Anuar. Dr Mahathir masih berdiri kukuh walaupun selepas peristiwa September 1998 beliau antara pemimpin yang paling hebat menerima kecaman, hinaan, dan kata nista yang tidak terbayang akan dilemparkan oleh parti pembangkang mahupun ahli UMNO sendiri. Malah jauh dari itu solat hajat juga diadakan untuk tujuan buruk oleh sebahagian besar penyokong parti pembangkang.

Mengimbau persitiwa lama, Ketika itu hinggakan merasakan kehilangan apabila Tun Mahathir mengumumkan pengundurannya pada tahun 2002. Tetapi dalam situasi yang tenang dan damai dalam era pemerintah Pak Lah, kemenangan parti pembangkang dan nasib malang yang menimpa UMNO dan Barisan Nasional tanpa diduga oleh sesiapa pun termasuklah parti pembangkang sendiri adalah sesuatu yang tidak dapat dibaca dan dijangka. Apa yang terjadi terhadap Barisan Nasional dilihat sebagai satu pengajaran dan setidak-tidaknya merenung kembali sikap dan layanan yang dilakukan terhadap Tun Mahathir sebelum ini telah memberikan kesan. Penghormatan dan jasanya yang tidak dihargai ketika beliau tiada jawatan sedangkan pengorbanannya jauh lebih besar dari yang kita fikirkan. Malah memetik kata-kata seorang ahli politik legasi Tun Mahathir, beliau antara seorang dari begitu ramai pemimpin yang dilahirkan dalam 100 tahun untuk melonjakkan tamadun sesuatu bangsa. Sesungguhnya jika benar kata-kata keramat itu maka Tun Mahathir adalah pemimpin yang seharusnya diletakkan dalam penghormatan negara selepas perletakan jawatannya. Semoga hari ini pimpinan UMNO dan Barisan Nasional dapat menginsafi peristiwa ini menoleh semula kebelakang untuk menghargai sumbangan beliau.

Sanjungan untuk Tun Mahathir tidak pernah luntur dari kebanyakkan rakyat Malaysia dan hampir diseluruh dunia khususnya dunia Islam. Adakah kita sedar dalam 22 tahun pemerintahnya berapa ramai rakyat Malaysia mendapat pekerjaan dan mampu menyara keluarga dan mengeluarkan zakat?. Janganlah kita lupa begitu ramai rakyat negara jiran juga datang mendapatkan sesuap nasi dan rezeki yang melimpah ruah untuk membantu keluarga mereka di negara asal. Lupakah kita bagaimana beliau sebagai pemimpin kita ketika itu mampu mempertahankan maruah umat Islam dari serangan Yahudi dan Nasrani pada ketika bangsa Arab membisu dan tidak berani mengangkat muka?. Sedikitkah jasa Tun Mahathir apabila berjuta umat Islam yang tertindas, miskin dan memerlukan bantuan seperti di Bosnia, Somalia, Afganistán, Sudan, dan lain-lain negara Islam mendapat simpati dan pertolongan segera dalam pelbagai bentuk bantuan seperti ketenteraan, pembangunan, derma, pendidikan dan pelbagai sokongan lain semasa era pemerintahnya?. Jika dunia Islam mengakui dan mendoakan kesejahteraan beliau dan Allah Maha Mengetahui isi hati dan keikhlasan hambanya maka sebagai sesama manusia adakah wajar kita menzalimi segala jasa dan pengorbanan Tun Mahathir kepada bangsa, agama dan negara. Malah pengorbanan beliau melangkau benua dan sempadan yang tidak mampu diharungi oleh pemimpin negara Islam yang lain pada ketika negara mereka kaya raya dan mewah tetapi terbatas dari segi kemampuan untuk membantu negara lain.

Malah pembangkang sendiri telah mengakui kehebatan Tun Mahathir dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. Jika banyak pimpinan negara seperti di Singapura meletakkan bekas pemimpin mereka sebagai penasihat demi membina negara bangsa yang telah diasaskan mereka termasuk parti pembangkang seperti PAS dan DAP juga meletakkan bekas presiden atau pemimpin utama mereka sebagai penasihat parti untuk meneruskan kesinambungan sokongan dan khidmat nasihat untuk memperkukuhkan sokongan. Persoalannya, mengapa UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh meniru situasi yang boleh memberikan kebaikan kepada agama, bangsa dan negara ini?. Masih butakah kita untuk menilai segala sumbangan jariah dan pemikirannya yang menyebabkan bangsa dan agama kita kembali diikitraf setelah sekian lama dijajah. Ingatlah bahawa bangsa Melayu adalah antara bangsa terakhir menerima ajaran Islam, tetapi di atas sumbangan dan pemerintahan beliau orang Melayu menjadi bangsa yang boleh membantu seluruh umat Islam.

Tun Mahathir adalah ‘Keramat Hidup’ yang berbisa kata-katanya, selalu betul dalam segala tindakannya, terlalu mendalam pandangannya dan jarang dari kita membaca gerak hatinya. Pengalaman panjang sebagai seorang negarawan yang ikhlas jiwanya tidak seharusnya diketepikan. Malanglah bagi UMNO jika Parti Keramat ini meminggirkannya dalam pelbagai perkara. Dengan Keramat UMNO dan keikhlasan Tun Mahathir pasti kita dapat memulihkan UMNO yang berjasa ini. Pandangan Tun Mahathir bukan sekadar ucapan biasa kerana setiap lontaran ucapannya mengandungi azimat yang beliau nampak dari firasatnya sebagai bekas pemimpin ulung bangsa Melayu. Fikirkan sejenak duhai pimpinan dan ahli UMNO, beliau bukan calang-calang orang kerana Tun Mahathir ialah seorang pemikir, penulis, pengkaji, pénelaah, tidak tamak kuasa, memiliki daya intuitif yang sangat tinggi, tidak mudah percaya dan menerima segala maklumat dengan membuat kajian, tidak mudah berjanji tetapi jika berjanji akan ditepati. Beliau sangat menghormati masa, tiada kepentingan diri apatah lagi kroni, tidak khianat kepada sesiapa kerana keikhlasan sepenuhnya dicurahkan kepada UMNO yang amat disayanginya. Malanglah bagi kita jika membiarkan Tun Mahathir berada di luar gelanggang. Beliau sewajarnya dihormati kerana pengalaman dan pandangannya yang tidak menjangkau pemikiran kita. Rugilah untuk UMNO jika masih gagal menilai kehebatannya dan ketokohnya untuk memperkasakan UMNO kembali. Ada yang mencadangkan kepada pimpinan negara selepas PRU 12 agar Tun Mahathir dilantik sebagai PENASIHAT AGUNG UMNO dan Penasihat Negara sementara hayatnya masih ada kerana kebangkitan UMNO dan Hidupnya UMNO dan kehebatan negara Malaysia adalah pengorbanan beliau yang perlu diakui dengan tulus ikhlas dari kita sebagai pendokong Parti Keramat ini.

Sunday, 14 October 2012

Apa Perasaan Datang Ke Malaysia ?????


Pertama kali saya menjejakkan kaki ke tanah semenanjung pada tahun 1989, ketika itu saya menghadiri kursus selama enam bulan anjuran jabatan. Saya dan beberapa rakan daripada negeri bawah bayu terpilih mengikuti kursus tersebut. Kesemua peserta kurus terdiri daripada 14 buah negeri termasuk sabah dan sarawak.

Sebelum kursus enam bulan bermula, para peserta seramai hampir dua ratus orang terlebih dahulu mengikuti satu program orientasi ala tentera selama seminggu di salah sebuah kem tentera sekitar kuala lumpur, dalam sesi orientasi tersebut kami telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil yang mana kesemua peserta dalam kumpulan itu terdiri daripada pelbagai negeri.

Ketika sesi suaikenal dikalangan rakan-rakan bermula, pertanyaan pertama yang di ajukan oleh salah seorang rakan daripada semenanjung kepada saya "  BAGAIMANA PERASAAN ANDA DATANG KE MALAYSIA " ? saya tergamam mati akal untuk menjawab pertanyaan tersebut,  saya berangapan pertanyaan itu hanya sekadar jenaka, tetapi tidak, itu pertanyaan serius... apa pula pertanyaan ini?  hati saya berbisik ..apakah saya ini bukan orang Malaysia di ajukan pertanyaan sebegini.. hahaha satu pertanyaan yang agak lucu kedengaran..pertanyaan itu saya tidak akan lupa sampai bila-bila..
 

Tuesday, 9 October 2012

Majlis Makan Malam Bersama Panel Hakim ADC Peringkat Kebangsaan GDW Kg. Tudan Baru Keningau Sabah

siangnya pengadilan ADC berlangsung
Majlis makan malam
acara hiburan bersama penduduk kampung
ucapan alu-aluan wakil rakyat liawan kepada para pengadil dan rombongan

9hb-Oktober majlis makan malam bersama ahli panel ADC GDW Kg. Tudan Baru Keningau peringkat kebangsaan, sebanyak 14 buah negeri telah menyertai pertandingan tersebut dan Kg. Tudan Baru Keningau merupakan salah sebuah kampung mewakili negeri sabah yang telah di adili pada 10hb oktober 2012. Pengadil terlibat seramai 8 orang daripada berbagai agensi kerajaan

Kg. Tudan Baru Keningau merupakan kampung yang ke tiga mencapai tahap cemerlang di peringkat negeri sabah selepas Kg. Bayangan dan kampung kota ayangan yang mana telah mencapai kecemerlangan diperingkat kebangsaan. Bukannya mudah bergelar juara, banyak perkara perlu diambil perhatian. Peranan bijak dan kreatif Pengerusi JKKK sebagai pentadbir kampung, antara perkara utama menyumbang kepada kecemerlangan  tersebut.

Barisan hakim ADC sedang menjalankan sesi soal jawab kepada barisan ajk jkkk kampung Tudan Baru

Saturday, 6 October 2012

Antara Perkara yang wanita tidak suka pada Lelaki


  SENGAL

1. MENINGGIKAN SUARA

Tahulah mereka dikurniakan suara yang ‘macho’ tapi kalau hendak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego, tidak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.

2. MENGONGKONG
Itu tidak boleh, ini tidak boleh, sikit-sikit  kontrol. Segala gerak-geri kekasih dikawal, sampaikan berpakaian pun harus ditentukan. Kalau keluar ke kedai pun kena repot dulu, kalau tidak mulalah tercetusnya pertengkaran kerana hal sekecil itu. Tetapi, mereka akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti mereka di soal siasat oleh kekasih mereka… macammana ?

3. CEMBURU BUTA
Orang kata cemburu tandanya sayang, tapi kalau cemburu tidak tentu pasal dan memanjang saja cemburu, tentu rasa tidak selesa juga. Agaknya lelaki yang kuat cemburu ini takut kekasihnya terlepas ke tangan kumbang lain. Harus diingat, bukan semua perempuan suka kekasihnya kuat cemburu. Tapi, ada juga sesetengahnya suka apabila teman lelakinya cemburu kerana seolah-olah teman lelakinya amat menghargai dirinya. Jangan cemburu buta sudahlah.

4. PANAS BARAN
Aduiii… masalah yang boleh menimbulkan fobia terhadap seseorang gadis apabila mendapat kekasih yang panas baran. Pantang silap sikit, mahu dihambur segala kemarahannya. Ada juga kesilapan bermula dari diri sendiri tetapi tetap menyalahkan orang lain. Setakat kena tengking boleh lagi diterima walaupun sebal satu badan tapi, bagaimana kalau siap sepak terajang? Kalau nak sepak terajang carilah mereka yang sepadan dan janganlah berlawan dengan kaum yang lemah bang! Di mana sifat bertanggungjawab dan kepimpinan yang ada? Cuba-cubalah kawal kerana setiap dari kita ada barannya, cuma kena pandai-pandai mengawallah. Kalau sudah tidak terkawal sangat, tidak payah bercintalah.

5. KAKI MEROKOK
Ini satu lagi sifat kaum lelaki yang melemaskan wanita. Asyik berasap sana sini, naik lemas dengan bau dan asap rokoknya. Dalam sehari adakalanya habis sekotak rokok. Kalau habiskan duit dengan makan benda berfaedah tak apa juga, ini tidak… asyik menyedut asap yang tidak menyehatkan. Kalau asap tu membawa kesan pada diri sendiri saja tak apa juga, ini tidak… membawa kesan juga pada orang sebelah menyebelah. Kadang-kadang teman wanita menegur bukannya apa, dia sayangkan kita juga dan tak mahu kita jatuh sakit. Lagipun mereka juga tak nak teman lelaki mereka membazirkan duit dengan merokok.

6. EGO
Ini merupakan masalah paling ketara dan merimaskan kaum wanita. Keegoan dan lelaki memang tidak dapat dipisahkan. Tetapi ada kalanya lelaki menjadikan keegoan sebagai alasan untuk mereka bertindak tanpa mempedulikan perasaan si gadis. Keegoan membuatkan lelaki mempunyai kuasa veto dalam kehidupan mereka termasuklah memimpin kaum wanita. Tidak salah mempamerkan ego tetapi biarlah kena pada tempatnya.

7. MENIPU
Masalah yang ketara apabila lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tidak munasabah. Sanggup memungkiri janji dan memberikan alasan yang mereka mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan padahal sebenarnya mereka enggan melaksanakan janji mereka sendiri. Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Berterus-teranglah wahai kaum lelaki kerana kaum wanita lebih menghormati mereka yang memiliki sifat berterus-terang ini. Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini lama kelamaan akan membuatkan semua gadis akan menjauhi anda.

8. MAIN KAYU TIGA
Bab main kayu tiga ni masalah paling besar. Walaupun sudah ada kekasih,mereka sukar untuk setia. Apatah lagi kalau digoda, terus disambar tanpa mempedulikan perasaan kekasihnya.

9. SUKA ‘CUCI MATA’
Kebanyakan lelaki sukar mengawal mata (mata keranjang). Pantang jumpa perempuan cantik dan seksi mulalah mata tu macam nak terkeluar. Walaupun sedang bersama kekasih, si dia tidak akan peduli. Bagi mereka tidak salah kalau sekadar mencuci mata tetapi hati kekasih kenalah jaga juga cik abang!

10. PERASAN
Aduhaiii… lelaki ini cepat perasan terutamanya jika mereka ini berkerjaya baik, berpenampilan menarik dan mempunyai wajah yang hensem. Boleh tu mengaku merekalah yang menjadi lelaki idaman para wanita.Tapi, mungkin pada pandangan seorang wanita mereka ini sederhana sahaja tapi mereka ini yang suka perasan lebih. Bukan semua wanita memandang pada paras rupa, kalau sudah terlebih-lebih perasan tuu… ada wanita yang lebih suka mengutuk dari memuji… hahaha sedarlah!

11.MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI
susah juga kalau dapat yang mementingkan diri sendiri ini. lelaki selalunya tidak mahu mengalah dan ingin menegakkan pendapat sendiri tanpa mempedulikan luahan pasangannya. Mereka juga suka mendahulukan kemahuan mereka dan jarang hendak mementingkan perasaan kekasih… egolah katakan! Tidak semestinya pendapat kaum wanita ini tidak boleh diguna pakai.

12. KURANG MEMBERIKAN PERHATIAN
Lelaki kadangkala suka bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian tidak kira dalam apa jua urusan. Tetapi kalau urusan yang berkaitan dengan dirinya sendiri, pantas pula melaksanakannya. Jika berkaitan teman wanita, alamatnya… mereka kurang mengambil perhatian.Mengapa ya? Kaum wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tetapi cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya kerana sifat semulajadi seseorang wanita itu yang ingin bermanja dan dimanjakan.

13. MATA DUITAN
Jangan tidak tahu ada juga lelaki mata duitan atau pun gelarannya ‘lelaki spedo’. Mereka tidak kisah nak kikis duit kekasih dengan 1001 macam alasan yang adakalanya tidak logik diterima dek akal fikiran. Kalau kisah perempuan mata duitan kita sudah biasa dengar, tapi kalau lelaki pula yang mata duitan… apa cerita ini?? Takkan masa-masa macam ini keegoan lelaki hilang pula?!!

14. KOMITED TERHADAP KERJAYA
Susah kalau dapat teman lelaki yang terlalu komited dengan kerjaya.Mereka ini selalu sangat memberi banyak alasan kerja apabila diajak keluar. Kalau keluar bersama, selalu pula bercerita tentang kerja dan merungut sering dibebani kerja yang menimbun. Bukanlah tidak boleh lelaki mementingkan kerjaya tetapi pandai-pandailah membahagikan masa bersama teman wanita. Paling tidak pun, seminggu sekali luangkan masa menemaninya dan lupakan segala hal berkaitan kerja. Bukannya kaum wanita ni tidak memahami kalau teman lelakinya pandai membahagikan masa…

15. PENGOTOR
Ada segelintir lelaki sukar nak menyedari diri mereka ini ada yang pengotor. Terutama bab meludah atau membuang kahak merata-rata. Yarkkk!!! Ada juga yang jarang basuh seluar, pakai baju yang sama berulang kali, tidak memakai deodarant dan macam-macam lagi sampaikan badan sudah berbau semacam pun dia tidak sedar. Tidakkah mereka ini terasa segan apabila menyedari badan sudah berbau?? Entahlah… hanya kaum lelaki yang bersifat pengotor ini saja yang dapat menjawabnya.

16. GELOJOH
Kalau bab makan, lelaki ini agak gelojoh. Macam ‘food machine’. Mereka rimas melihat teman wanita mereka makan terlalu sopan tetapi mereka tidak sedar cara mereka makan yang gelojoh juga melemaskan kaum wanita. Sepatutnya, samada lelaki mahupun wanita patutlah makan dengan bersopan. Buat apa terkejar-kejar?

17. PENTINGKAN KAWAN-KAWAN
Sanggup membatalkan temujanji semata-mata hendak bermain bola sepak ataupun menonton WWE bersama kawan-kawan. Lelaki juga selalu mementingkan kawan-kawan dalam banyak hal. Sekali-sekala bolahlah, jangan pula selalu saja memberi alasan hinggakan masa bersama teman wanita tiada langsung semata-mata untuk menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Apa guna bercinta kalau macam tu gayanya? Kalau ada masalah pula, kawan-kawan sebagai tempat mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan si dia. Kalau dah memilih si dia sebagai kekasih, mungkin satu hari si dia juga akan menjadi isteri anda, jadi takkanlah anda selalu hendak merahsiakan sesuatu dari dia. Tak eloklah berbuat demikian, nanti si dia terasa seolah-olah dirinya tidak penting buat anda pula.

18. TIDAK TAHU MENGHARGAI
Sukar untuk bertemu lelaki yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Mereka seboleh-bolehnya mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap meghargai mereka ini. Kalau setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan tu, alamatnya mereka akan berpura-pura tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap anda yang menghargainya di atas apa yang cuba dilakukannya terhadap anda seperti memberi hadiah kecil. Setidak-tidaknya ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba berbuat sesuatu untuk anda.

19. PUTAR BELIT
Lelaki ini ramai yang pakar memutar-belitkan kenyataan walaupun ternyata sememangnya merekalah yang bersalah. Bagi mereka, putar belit ini tidak mengapa asalkan si dia mempercayai alasan tersebut dan mereka akan terlepas dari kesalahan sendiri. Sekiranya anda benar-benar menyintai pasangan anda, perkara begini seharusnya tidak berlaku kerana apa akibatnya sekiranya si dia mengetahui juga tipu helah anda suatu hari nanti. Kalau anda tak pandai menyelamatkan keadaan, melepaslah anda! Jujurlah pada pasangan anda.

20. SUKA KONTROL MACHO
Peh! Nak dikatakan macho, ada juga yang tak. hancur je yang lebih kot! Terutama bab sikap, mahu lebih gentleman, berketrampilan dan hensem. Seboleh-bolehnya mereka mahu menampakkan yang diri mereka lelaki sejati dan ada elemen HERO. Tidak perlulah nak merasakan diri anda macho kerana wanita sahaja yang layak membuat penilaian terhadap anda. Sekiranya anda rasa diri anda macho, tetapi pada mata wanita tersebut anda tidaklah semacho yang disangkakan,

Apa pun kenyataan diatas lelaki janganlah marah, semua ini merupakan hasil pemerhatian wanita terhadap sebahagian sikap kaum lelaki namun tidaklah semua lelaki bersikap demikan, tetapi sememangnya  banyak perkara yang benar sebagaimana kenyataan diatas.

TIADA INSAN YANG SEMPURNA


“Jika kita berusaha mencari kesempurnaan yang ada pada makhluk, pasti semakin banyak kekurangan yang akan kita temui” Tidak ada manusia yang sempurna. Kesempurnaan hanyalah milik Allah. Kekurangan adalah sifat makhluk. Kitalah makhluk. Maka kita perlu menerima bahawa kita banyak kekurangan. Tidak mampu kita menjadi sempurna untuk orang lain dan kita juga tidak boleh mengharap kesempurnaan orang lain. Jika kita merasakan bahwa kita sudah sempurna, selamanya kita tidak akan pernah memperbaiki kekurangan sendiri atau menerima kekurangan orang lain. Rasulullah adalah makhluk terbaik yang Allah ciptakan. Namun, baginda sendiri tidak pernah merendahkan orang lain dan takabur dengan kehebatan yang di anugerahkan Allah.
Ya, sekali pandang kita rasa bahawa kita yang terbaik. Apabila kita mengubah sudut pandang, akan ternampaklah lompang-lompang yang terdapat pada diri kita. Cahaya lampu nampak hebat tatkala ia menerangi kegelapan malam, namun menjadi tidak bernilai ketika mentari mula menerangi di malam hari ia diperlukan, di siang hari ia tidak bermakna lagi. Itulah sifat ciptaan. Seorang ahli agama boleh berbicara tentang ilmu keagamaan sehinggakan orang akan terpegun mendengarnya. Namun kehebatannya tidak sama apabila dia berbicara tentang bidang-bidang lain yang bukan kepakarannya.
Oleh itu, bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita dan terimalah kekurangan orang lain. Berfikirlah untuk menampung kekurangan tersebut, bukan menidakkannya. Dalam mencari teman hidup, begitu juga keadaannya. Jangan kita terlalu mengharapkan teman yang sempurna sedangkan kita sendiri banyak lompangnya. Sebelum berumahtangga, kekurangannya kita buat-buat tidak nampak. Yang nampak hanya kecantikannya. Namun, segalanya berubah setelah berumahtangga. Kita mula merungut akan kekurangannya. Itulah akibat apabila kita mengidamkan kesempurnaan pada makhluk.
Ada sebuah kisah perumpamaan. Seorang guru memberi arahan mudah kepada muridnya, ketika mereka sedang melalui sebuah lorong yang di kiri dan kanannya ada bunga-bunga indah. “Sepanjang perjalanan kita ini, petiklah sekuntum bunga yang paling cantik dan memuaskan bagimu. Apabila kita sampai di hujung nanti, kita tidak boleh berpatah balik”. Maka merekapun berjalan menyusuri lorong tersebut. Murid tersebut ternampak sekuntum bunga yang indah dan cantik, namun hatinya berbisik, “di depan pasti ada yang lagi cantik”. Lalu mereka terus berlalu. Beberapa bunga yang dilihatnya, tetap juga tidak dipetik. “Ada kurang sikitlah pada bunga ini”. Berjalan dan terus berjalan, akhirnya tidak satupun bunga dipetiknya ketika sampai di hujung lorong sedangkan dia tidak dapat berpatah balik. Gurunya lantas berpesan, “Itulah ibaratnya jika mencari kesempurnaan pada makhluk”.
Mengakui kekurangan adalah langkah awal untuk memperbaikinya. Kita harus jujur dalam meneliti kekurangan yang ada pada diri. Orang yang hebat bukannya tidak punya kekurangan, tetapi mereka cepat sedar akan kekurangan tersebut dan berusaha memperbaikinya. Semakin banyak kekurangan, semakin banyak usaha memperbaiki. Maka merekapun menjadi semakin baik daripada sehari ke sehari. Begitulah sifirnya.
Orang yang mencari kesempurnaan mahluk pasti akan selalu mengeluh, kerana segala kekurangan yang  dia akan dapat. Mana tidaknya, kita mengharapkan sesuatu yang mustahil. Tentulah kita tidak akan berjumpa dan lebih banyak mengeluh. Sebaliknya, orang yang mengakui kekurangan makhluk akan sentiasa bersangka baik dan tidak merendahkan orang lain. Dia juga sedar bahawa dirinya sendiri banyak kekurangan. Apabila kita melihat perbezaan ini, sedarlah kita bahaya mencari kesempurnaan makhluk.
Berusahalah menjadi lebih baik setakat batas kemampuan manusia. Insya-Allah, hati akan lebih tenang dan redha.