“Jika kita berusaha mencari kesempurnaan yang ada pada makhluk, pasti semakin banyak kekurangan yang akan kita temui” Tidak
ada manusia yang sempurna. Kesempurnaan hanyalah milik Allah.
Kekurangan adalah sifat makhluk. Kitalah makhluk. Maka kita perlu
menerima bahawa kita banyak kekurangan. Tidak mampu kita menjadi sempurna
untuk orang lain dan kita juga tidak boleh mengharap kesempurnaan orang
lain. Jika kita merasakan bahwa kita sudah sempurna, selamanya kita
tidak akan pernah memperbaiki kekurangan sendiri atau menerima kekurangan
orang lain. Rasulullah adalah makhluk terbaik yang Allah ciptakan.
Namun, baginda sendiri tidak pernah merendahkan orang lain dan takabur
dengan kehebatan yang di anugerahkan Allah.
Ya,
sekali pandang kita rasa bahawa kita yang terbaik. Apabila kita
mengubah sudut pandang, akan ternampaklah lompang-lompang yang terdapat
pada diri kita. Cahaya lampu nampak hebat tatkala ia menerangi kegelapan
malam, namun menjadi tidak bernilai ketika mentari mula menerangi di
malam hari ia diperlukan, di siang hari ia tidak bermakna lagi. Itulah
sifat ciptaan. Seorang ahli agama boleh berbicara tentang ilmu keagamaan
sehinggakan orang akan terpegun mendengarnya. Namun kehebatannya tidak
sama apabila dia berbicara tentang bidang-bidang lain yang bukan
kepakarannya.
Oleh
itu, bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita dan
terimalah kekurangan orang lain. Berfikirlah untuk menampung
kekurangan tersebut, bukan menidakkannya. Dalam mencari teman
hidup, begitu juga keadaannya. Jangan kita terlalu mengharapkan teman
yang sempurna sedangkan kita sendiri banyak lompangnya. Sebelum
berumahtangga, kekurangannya kita buat-buat tidak nampak. Yang nampak
hanya kecantikannya. Namun, segalanya berubah setelah berumahtangga.
Kita mula merungut akan kekurangannya. Itulah akibat apabila
kita mengidamkan kesempurnaan pada makhluk.
Ada
sebuah kisah perumpamaan. Seorang guru memberi arahan mudah kepada
muridnya, ketika mereka sedang melalui sebuah lorong yang di kiri dan
kanannya ada bunga-bunga indah. “Sepanjang perjalanan kita ini, petiklah
sekuntum bunga yang paling cantik dan memuaskan bagimu. Apabila kita
sampai di hujung nanti, kita tidak boleh berpatah balik”. Maka merekapun
berjalan menyusuri lorong tersebut. Murid tersebut ternampak sekuntum
bunga yang indah dan cantik, namun hatinya berbisik, “di depan pasti ada
yang lagi cantik”. Lalu mereka terus berlalu. Beberapa bunga yang
dilihatnya, tetap juga tidak dipetik. “Ada kurang sikitlah pada bunga ini”. Berjalan dan terus berjalan, akhirnya tidak satupun bunga dipetiknya
ketika sampai di hujung lorong sedangkan dia tidak dapat berpatah balik.
Gurunya lantas berpesan, “Itulah ibaratnya jika mencari kesempurnaan
pada makhluk”.
Mengakui
kekurangan adalah langkah awal untuk memperbaikinya. Kita harus jujur
dalam meneliti kekurangan yang ada pada diri. Orang yang
hebat bukannya tidak punya kekurangan, tetapi mereka cepat sedar akan
kekurangan tersebut dan berusaha memperbaikinya. Semakin
banyak kekurangan, semakin banyak usaha memperbaiki. Maka merekapun
menjadi semakin baik daripada sehari ke sehari. Begitulah sifirnya.
Orang
yang mencari kesempurnaan mahluk pasti akan selalu mengeluh, kerana segala kekurangan yang dia akan dapat. Mana tidaknya, kita
mengharapkan sesuatu yang mustahil. Tentulah kita tidak akan berjumpa dan
lebih banyak mengeluh. Sebaliknya, orang yang mengakui kekurangan
makhluk akan sentiasa bersangka baik dan tidak merendahkan orang lain.
Dia juga sedar bahawa dirinya sendiri banyak kekurangan. Apabila kita
melihat perbezaan ini, sedarlah kita bahaya mencari kesempurnaan
makhluk.
Berusahalah menjadi lebih baik setakat batas kemampuan manusia. Insya-Allah, hati akan lebih tenang dan redha.
No comments:
Post a Comment