Sayup-sayup kedengaran azan Subuh alunan suara serak dan lemah Imam Tua dari surau usang di hujung kampung mengejutkan aku yang terlelap di beranda. Angin dingin yang belum disentuh matahari bagai menyucuk tulang. Kampung terpencil ini masih berselimut kabus pagi yang nyaman dan bersih. Aroma bunga inai, melor dan kemboja bersatu melemparku ke daerah kenangan. Ya, aku kembali untuk menziarah kenangan di daerah kecil ini, terutama rumah usang atas tanah pusaka arwah ibu dan ayah.
Kabus yang memutih semakin jelas kelihatan dan kicau burung makin galak di pohon keriang di tepi rumah. Selepas menunaikan Subuh di beranda, mataku meliar ke sekeliling kampung. Hati meronta untuk melihat alam yang telah lama aku tinggalkan. Tidak seperti biasa, tahun ini aku mengambil cuti panjang. Cuti seminggu sebelum Aidilfitri adalah jangka masa yang panjang bagi bidang pekerjaan sepertiku.
Selepas sekian lama terpisah pandangan dengan kampung halaman, tahun ini aku ingin berpuasa dan beraya di kampung. Sudah beberapa tahun aku menawarkan diri bekerja pada hari raya kerana wartawan tidak ada istilah beraya yang sebenarnya. Rakan terdekat terkejut melihat borang cutiku yang bertulis 'Bercuti di kampung bersama kenangan.'
Sehingga kini Kuala Lumpur tidak mampu mengikis jati diri anak kampung sepertiku. Nilai dan adat asuhan kampung membuatkan aku dilihat unik, berlainan dengan sebilangan besar rakan yang cuba memadamkan imej kampung untuk menghadirkan diri sebagai warga kota ini.
Tengah malam tadi sepatutnya aku bermalam sahaja di stesen kereta api sementara menunggu hari siang. Namun hati yang tepu rindu pada kampung halaman ini sudah tidak mampu bertahan untuk menghirup kenangan di rumah ayah memaksaku menumpang kereta sapu. Pemandu tersebut agak cuak, bimbang keretanya terbenam dalam lumpur sepanjang mengharung jalan kampung. Nasib baik kembalinya aku kali ini pada musim panas kesan El-Nino. Lumpur di depan rumah sudah mengering dan sedikit merekah.
Tidak banyak yang berubah dengan rumah ini, sebagaimana kenangan yang tersimpan sekian dekad lamanya. Dari beranda ini aku melihat gelagat ayah sering melepas lelah selepas pulang dari sawah. Di kampung kami, angin kering dari Barat Daya pada musim menuai membawa hawa yang sangat dingin. Kami menyebutnya sebagai musim Timur. Ayah selalu berehat di beranda ini dan aku pula sering diayun buai kayu di bawah pokok keriang, berlatar belakang sawah saujana mata memandang.
Di beranda itu juga aku sering memapah ibu untuk mengambil angin petang. Aku masih ingat pada palang pintu yang sering menjadi pautan ibu. Palang yang menjadi ganti pautan tangan ayah suatu waktu dulu. Palang yang tidak pernah berubah. Kenangan terakhir bersama ibu, bersama ayah membuatkan rumah usang ini sangat berharga bagiku. Nun di telaga dekat pokok inai itu pula aku sering memandikan ibu.
Ayah dan ibu bukanlah orang senang, namun belum boleh dikira melarat kerana sawah yang sepuluh relung itu digunakan untuk menyara hidup kami tiga beranak. Ayah adalah lelaki yang penuh ikhtiar. Sepuluh tiang rumah yang menjadi asas rumah kami digergaji sendirian di hutan sewaktu membuka kampung itu. Semuanya cengal batu yang kerasnya macam batu."La hang ka, aku ingat sapa tadi. Bila hang balik?" Bang Chot melompat naik ke beranda, bersalam dan memelukku yang masih terkejut.
Dia memegang bahu dan tanganku, seolah-olah tidak pernah ketemu ratusan tahun. Mungkin tidak menyangka akan sebuah pertemuan. Aku menatap rambut dan jambang Bang Chot yang sudah putih. Ah, betapa lama aku meninggalkan Bang Chot yang kuanggap abang sendiri. Hati makin rasa bersalah tatkala dia melaporkan kematian Mak Ngah Chah, Mat Lebai dan Pak Jab. "Nasib baik Kak Son hang rajin jaga rumah ni. Dia selalu mai sapu atas rumah sejak hang pi Kolumpoq dua puluh tahun lepaih. Ni aku saja mai nak tengok kot ada apa-apa. Tut Tut jumpa hang." Aku yakin Bang Chot dan Kak Son memang menganggap aku adiknya.
"Kami buat bendang tu, elok sangat hang balik boleh kami bayaq sewa, dah sepuluh tahun tu. Tiap-tiap tahun kami masuk duit sewa dalam bank, takut terpakai ka, apa ka. Nanti aku bagi kat hang. Aku tengok hang, teringat mak ngan ayah hang Chu Kiah ngan Chu Sin." Aku sebak mendengar sebutan dua nama itu yang sudah lama tidak menyentuh indera dengarku. Mentari pagi 27 Ramadan terus membakar mukaku yang merah menahan tangis. Antara dengar dan tidak bibirku menyebut "mak", "ayah."
II
Selepas puas mengekor ayah menjerat burung wak-wak, aku membontoti ibu mengail puyu di bendang. Kata ibu, sebelum mengail kena cari belalang untuk dijadikan umpan. Mengejar belalang di tengah bendang sangat menyeronokkan. Aku terguling-guling sewaktu menangkap belalang. Ibu mendukungku menyeberang tanah selut dan meletakkanku di bawah teduhan pohon keriang yang di tepinya ada tali air kecil yang mengalir perlahan. Aku sangat suka merenung anak-anak ikan yang bermain-main di dasar tali air yang jernih. Bau selut dan bunga padi sudah sebati denganku sejak belum masuk ke sekolah lagi. Ibu selalu bertanya apakah cita-citaku apabila dewasa.
Dan seperti selalu, kujawab "nak jaga ibu dan tolong tangkap belalang untuk mengail ikan puyu". Ibu ketawa terkikik-kikik.
Akulah orang terawal yang akan mengutip melor mekar di halaman apabila hujan pada malamnya. Aku girang dapat menyelitkan melor di sanggul ibu. Dan ibu menciumku berkali-kali sebagai balasannya. Ayah tersenyum melihat gelagat kami. Ayah yang hanya berkata-kata dengan senyum dan mimik muka.
Tingkah laku ayah adalah cerminan seorang seniman.
Memang sesuai dia menjadi tukang penglipurlara, peniup serunai. Aku selalu terlena di ribaan ayah ketika dia beraksi di depan orang kampung. Banyak kisah yang menjadi pilihan ayah untuk diceritakan tetapi yang paling terkesan kepadaku ialah cerita Hikayat Panji Semerang dan Hikayat Yatim Mustafa. Kisah perjuangan dan pengorbanan menyusup ke pemikiran sejak alam kanak-kanakku. Sosok Yatim Mustafa sering hadir dengan lakaran kegagahan seperti yang kerap diceritakan ayah kepadaku, sebelum aku tewas tertidur di hadapan orang kampung yang sering berkumpul di rumah kami.
Ayah juga sering mengasah minatku yang suka melastik burung dengan mengajarku berburu. Pesannya, jangan kejam kepada binatang. Selain itu, aku diajar ayah memanah. Ayah mempunyai pelbagai kepandaian, dan membuatkan aku menganggapnya lelaki hebat. Aku tidak malu diketawakan rakan sekelas kerana menjawab "ayah" apabila ditanya Cikgu Normiyah tentang pemimpin pujaanku.
III
Sejak beberapa bulan terlantar tanpa suara kerana terjatuh di bendang, suara ibu tidak berhenti mengalunkan bacaan surah Yaasin setiap senja di sisi kepala ayah. Ayah lumpuh kali kedua, lebih teruk selepas kali pertama mengalami kelumpuhan ketika aku di darjah satu dahulu.
Suasana rumah kami menjadi sepi semenjak kejadian malang itu. Ibu jarang ke bendang atau mengail ikan puyu seperti selalu. Ibu berkurung menjaga ayah. Aku merasakan sebahagian kebahagiaan kami selama ini telah pergi. Keadaan ibu yang tidak terurus makan-minum mengubah wajah itu daripada bercahaya kepada suram, mata ibu sudah kelihatan garis-garis laluan air mata.
Suatu hari, orang kampung datang silih berganti dan membaca Yaasin hingga dinihari. Menjelang subuh pagi itu masing-masing ke surau dan tinggallah aku dan ibu. Sesekali ibu menitiskan air ke mulut ayah tetapi ayah tidak sedikit pun menunjukkan tindak balas. Ayah terkujur, kakinya sejuk. Dadanya terasa sedikit suam. Matanya tertutup. Dan aku sudah dapat meneka sesuatu dalam Subuh ini. Ayah sedang nazak.
Subuh itu tatkala ayah kembali kepada Penciptanya dan meninggalkan ibu dan aku buat selama-lamanya, ibu sudah tidak menangis lagi. Mungkin air matanya sudah kering. Ada sedu dalam esakan ibu, melepaskan insan yang berpuluh tahun di sisi, senang dan susah. Suami yang melindunginya dalam saat luka dan duka.
Selepas pemergian ayah, aku mengambil tugasnya mengerjakan sawah walaupun pada waktu ramai kawan berhijrah ke bandar mencari kerja yang lebih baik. Aku memilih untuk tetap menjadi petani dan menjaga ibu yang uzur lumpuh sebelah badan. Lagi pun fikirku dengan keputusan SPM pangkat tiga, kerja apalah yang aku boleh buat di bandar. Maka jadilah aku budak kampung yang hidupnya di sawah, menjerat burung wak-wak dan mengail ikan haruan di sungai berdekatan.
Dunia aku kecil, sekecil tempurung. Begitulah kata kawan-kawanku yang berkerja di bandar ketika mereka pulang berhari raya. Memang benar duniaku kecil, antara rumah dengan pekan tempat kami menjual padi. Itulah tempat yang paling hebat bagiku, sebuah pekan kecil dengan deretan rumah kedai berdinding papan yang usang. Kehidupan yang kujalani saban hari sehinggalah ibu pergi selama-lamanya lima tahun selepas itu.
IV
Malam ini bersama juadah seperti yang pernah dimasak ibu, aku berbuka puasa di ruang tengah rumah kami. Cahaya lilin agak malap, namun kenangan bersama ayah dan ibu sangat terang di ingatan. Aku ingin tenggelam dalam suasana dulu. Aku mahu kembali ke alam nostalgia bersama dua insan tersayang. Cuma, kali ini aku hanya bersila di atas lantai kayu yang sedikit berhabuk, tidak seperti berpuluh tahun lalu, di mana rumah yang sama ini dihampari berbidang-bidang tikar mengkuang, yang pelbagai warna dan pelbagai corak hasil anyaman ibu.
Aku menoleh ke ruang kiri, bilik tidur ibu dan ayah. Di hujung rumah pula ruang dapur. Masih ada dapur kayu berkaki empat di ruang itu. Di situ kulihat ibu sering menangis, mungkin mengenangkan ayah, atau memikirkan derita tak tertanggung kudrat. Aku yang masih mentah gagal membaca derita ibu, cuma aneh melihat gelagat ibu yang cuba menyembunyikan airmatanya di sebalik lengan baju kurung kedahnya yang lusuh, setiap kali aku menoleh ke arahnya.
Aku menjamah kuih tepung talam dan kasidah. Itu kesukaan ayah. Tetapi malam ini di kerongkong bagai ada benda tersangkut. Aku terlalu rindu pada masa silam menyambut Ramadan yang aku tinggalkan berpuluh tahun lamanya. Semua perca-perca ini aku cantum selepas usia menjengah dewasa dan terasa tidak cukup nafas untuk berada di tempat ibu. Sesak dan sebak.
Masih segar dalam benak, aku berat melangkah ke bandar, meninggalkan rumah pusaka ini dengan beberapa helai pakaian lusuh dan beberapa sifat dan sikap terpuji ayah dan ibu yang sentiasa kuasah. Kekuatan ini menjadi pujukan dan semangat untukku sewaktu ditimpa musibah, menjadi pimpinan untuk kuredah gelora di kota. Sifat dan sikap yang membuatkan aku "jatuh ke laut menjadi pulau". Sehingga aku berada di tempat sekarang. Tanpa akademik yang tinggi aku berusaha memperkayakan diri dengan pelbagai kebolehan untuk menjadi yang terbaik.
Surat dari syarikat surat khabar di Kuala Lumpur memisahkan aku dengan alam yang membesarkan aku di kampung terpencil ini. Tanah bendang sepuluh relung itu aku sewakan kepada Bang Chot. Dapat juga duit buat bekalan menapak di Kuala Lumpur. Di kampung ini pun bukannya ada sesiapa lagi, selain pusaka ayah.
Sejak tahun 1994, inilah kali pertama aku "balik kampung" dan mahu beraya di kampung. Aku terlupa 20 tahun telah banyak mengubah wajah alam dan manusia di kampungku, banyak yang sudah tiada kerana pulang kepada Pencipta. Yang baru lahir sudah jadi remaja dan aku menjadi orang baharu di tanah kelahiran ini.
Dari jendela terbuka di halaman kelihatan api meliuk-lintuk daripada barisan pelita buluh yang kunyalakan senja tadi. Cahayanya membias masuk, asap bergelombang kemudian terus hilang di udara. Tidak seperti ingatan aku pada masa silam yang terus terapung dan terus bersama aku walau ke mana saja.
Kelmarin ketika aku ke surau di hujung kampung, wajahnya juga berubah. Penduduk kampung sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa kerana meraikan ustaz popular dari luar yang akan datang berceramah. Kawan-kawan ayah sudah tidak kelihatan di situ, kecuali Tok Imam Dak seorang. Kawan ayah semasa kanak-kanak dan sama-sama pula meneroka kampung ini. Dia pun sudah bersara daripada menjadi imam, tetapi orang kampung terus memanggilnya Tok Imam.
Esok Hari Raya Aidilfitri. Selama 20 tahun aku kehilangan rasa menikmati malam raya dalam suasana kampung. Malam ini aku kembali pada zaman lampau beraya di rumah, di kampungku. Meraikan kenangan bersama ayah yang tidak meninggalkan harta tetapi mewariskan sebuah pengertian daripada layar hidupnya yang menjadi tontonanku sejak kecil, dan mengenang ibu yang mengajarkanku sifat perikemanusiaan yang tinggi di kota batu. Aku pulang, beraya bersama kenangan
No comments:
Post a Comment