Kolumnis Indonesia pertikai penerimaan penganut Katolik di Malaysia tidak wajar
Pemikiran liberal dalam kalangan pihak tertentu terutama mereka yang kononnya berpendidikan tinggi amat membimbangkan. Ada yang mempunyai nama Melayu, mengamalkan budaya dan adat resam Melayu dan beragama Islam. Tetapi ada kalanya tindak-tanduk mereka amat mencurigakan. Apabila mereka berhujah atau bercakap mengenai sesuatu, terutama berkaitan agama, kenyataan mereka boleh menimbulkan sangsi, seolah-olah condong kepada pihak lain, kalau tidak pun lari daripada akidah.
Kolumnis bela Katolik
Penulis memetik satu penulisan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang disiarkan pada 7 Ogos lalu. Penulisnya seorang kolumnis terkenal menceritakan mengenai bagaimana golongan Kristian Katolik di Indonesia lebih diterima oleh masyarakatnya, berbanding di Malaysia. Katanya, penganut agama Kristian Katolik adalah golongan minoriti di kedua-dua negara, kurang daripada tiga peratus di Indonesia dan secara rasminya pula berjumlah lebih sejuta di Malaysia. Namun Katolik di Indonesia lebih diterima dalam fabrik kehidupan masyarakat di sana. Penulis itu menyatakan betapa sedihnya melihat kebanyakan golongan Katolik di Malaysia masih dianggap sebagai orang luar, malah sebagai orang asing, walaupun negara kita sudah merdeka lebih separuh dekad.
Ceritanya berlegar pada kehidupan seorang paderi terkemuka di Indonesia iaitu Albertus Soegijapranata, yang difilemkan. Soegija dilahirkan sebagai Muslim pada 1896 dan kemudian menukar agama ketika berusia 14 tahun. Berdasarkan pemerhatiannya mengenai kehidupan Soegija, penulis berkenaan merumuskan bahawa pendekatan Indonesia terhadap agama dan kaum adalah jauh lebih baik daripada Malaysia. Benarkah keadaan itu dan apakah ia berdasarkan kajian? Lalu diceritakannya mengenai kegemilangan paderi berkenaan sehingga beliau akhirnya mempunyai hubungan akrab dan diyakini oleh Presiden Sukarno. Soegija juga dikatakan antara orang yang memperjuangkan penggunaan bahasa Indonesia dalam pengucapan di gereja.
Konsep identiti nasional
Sebenarnya penulis terbabit ingin membuat perbandingan antara konsep identiti nasional kita dengan apa yang berlaku di Indonesia. Sebagai seorang kolumnis terkenal, penulisannya sememangnya menarik. Gaya dan lenggok bahasanya ketika menyampaikan ideanya juga sedap dibaca.
Tetapi diharapkan beliau memahami terlebih dulu hubungan kaum dan agama di negara ini mengikut konteks dan latar belakang sejarah kita sendiri. Apa yang berlaku di Indonesia sebenarnya jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia. Sedarkah beliau bahawa di Indonesia lelaki bersongkok boleh menjual babi guling? Sedarkah beliau bukan semua yang bersongkok itu beragama Islam? Tahukah beliau apa bezanya budaya Malaysia dengan budaya Indonesia?
Kalau beliau hanya memilih untuk melihat konsep identiti kerana kesediaan semua pihak menerima sesiapa saja dengan sama rata, beliau sebenarnya tidak memahami sejarah penubuhan Malaysia. Jumlah penduduk Muslim di Indonesia juga yang terbesar di dunia. Jumlah penduduk Muslim khususnya Melayu di Malaysia hanya melebihi 15 hingga 20 peratus berbanding kaum lain. Jika perkara ini tidak dianggap penting, maka tidak hairanlah satu hari nanti hilanglah identiti kemelayuan di negara ini.
Sudahlah kedudukan ekonomi negara dikuasai kaum lain, sudah ada pula tanda-tanda bahawa kuasa politik juga ingin dirampas mereka. Namun tidak seperti yang disangka penulis terbabit, tiada satu usaha pun di negara ini untuk menidakkan mana-mana golongan, sama ada Katolik, Buddha, Hindu dan lain-lain.
Malaysia lebih adil
Dalam banyak segi, kita mungkin lebih adil berbanding kebanyakan negara lain. Kalau tidak silap, hanya di Malaysia saja wujudnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang ada, bukannya teruja apabila melihat kain rentang di gereja di sebuah negara jiran yang mengucapkan ‘Selamat Menunaikan Ibadat Puasa’. Adalah lebih wajar beliau mengambil kesempatan Ramadan ini untuk juga lebih memahami Islam.
No comments:
Post a Comment