Islam benarkan iri hati dalam
perkara positif seperti mencemburui kejayaan orang lain agar kita juga
berjaya seperti mereka. - Gambar hiasan
TUGAS seorang pengintip adalah mencari rahsia atau maklumat yang
berharga untuk disalurkan kepada pihak-pihak tertentu. Sebagai imbal
balik, si pengintip akan memperolehi manfaat tertentu untuk kepentingan
hidupnya. Demikianlah analogi mudah yang kita boleh tempelkan kepada mereka
yang suka mencari kesalahan orang lain. Sikap ini sebenarnya terhasil
dari sifat hasad dengki yang tidak berkesudahan. Tanda mudah untuk mengesan penyakit ini adalah seseorang itu merasa
susah hati apabila melihat kesenangan yang dinikmati oleh orang lain
sebaliknya seronok apabila melihat orang lain mendapat kesusahan.
Hasad adalah kalimah bahasa Arab yang bermaksud dengki. Dalam laras
bahasa Melayu, kedua-dua kalimah Arab dan Melayu ini digabungkan,
mungkin sebagai kata penguat kepada kalimah pertama.
Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki sentiasa berada dalam
keadaan resah serta gelisah. Antaranya disebabkan tidak senang dengan
kejayaan orang lain yang maju terus kehadapan. Penyakit ini umpama satu
virus bahaya yang telah merebak ke seluruh hati-hati sehingga sukar
diubati. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW: Akan menjalar kepada
kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu
sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia
mencukur agama. (riwayat At-Tirmidzi).
Hasad hukumnya haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa besar.
Orang yang memiliki sifat ini dikira memiliki akhlak yang tercela. Malah
sifat hasad dengki ini merupakan salah satu sifat iblis.
Sifat hasad dengki bukan sahaja boleh membahayakan fizikal malah lebih bahaya daripada itu ia boleh merosakkan agama. Allah berfirman: Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka
bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira
kerananya. (ali-Imran: 120).Lantaran sifat hasad dengki ini kesannya sangat buruk maka Allah
memerintahkan kita berlindung daripada keburukannya sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud: Dan dari kejahatan pendengki apabila ia
dengki. (al-Falaq: 5).
Rasulullah juga memperingatkan dalam hadis yang bermaksud:
Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan
memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau
rumput kering. (riwayat Imam Abu Daud).Dalam hadis yang lain Rasulullah juga melarang sebagaimana sabdanya
yang bermaksud: Janganlah kalian saling dengki (riwayat Muslim) Dalam institusi keluarga, perasaan hasad dengki mungkin boleh berlaku
di kalangan adik-beradik, ipar-duai dan sebagainya. Ia akhirnya
menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang dan semakin jauh.
Pejabat atau tempat kerja juga salah satu tempat berleluasanya
penyakit hasad dengki ini. Hal ini dapat diperhatikan apabila menjelang
musim kenaikan pangkat, perolehan bonus dan sebagainya. Perasaan ini muncul apabila kita membandingkan kejayaan orang lain
dengan kejayaan atau kegagalan yang ada pada diri kita. Lebih buruk
lagi, hasad dengki biasanya datang bersama dengan perancangan untuk menjatuhkan orang tersebut.
Sepatutnya, dalam hal ini, kita perlu melihat kejayaan orang lain
sebagai pemangkin untuk kita tingkatkan usaha dan prestasi bagi bersaing
secara sihat dengannya. Namun, mereka yang ditimpa penyakit hasad dengki ini merasakan
kejayaan orang lain itu sebagai ancaman terhadap dirinya dan sebagai
penghalang kepadanya untuk maju ke hadapan. Cara yang paling mudah memuaskan hatinya adalah dengan mencari
kesalahan orang lain untuk mencalar reputasinya di kalangan rakan-rakan
sepejabat mahupun majikan.
Suasana ini akan berlanjutan sehinggalah ada yang sanggup menuduh
rakan-rakan sekerja dengan tuduhan melampau serta ada yang sanggup untuk
melemparkan fitnah semata-mata hasad dengki dengan kelebihan yang
diberikan oleh Allah SWT kepada orang lain. Semuanya adalah untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat sekali
gus menjamin laluannya untuk berada di kemuncak terbuka luas.
Sumber Utusan