Teknik solekan yang betul mampu membangkitkan seri wajah biarpun
hanya mengenakan mekap tipis. Namun paling penting pemilihan alat solek
yang boleh memberikan warna sesuai dengan kulit seterusnya membuatkan
wanita kelihatan anggun dalam apa jua acara dihadiri.
Cara sapuan warna yang bersesuaian dengan mood sekeliling penting
kerana wajah yang kusam boleh diserikan hanya dalam sekelip mata. Apa
juga teknik solekan, ia pasti akan memberikan hasil yang cantik
sekiranya dipadukan dengan sapuan warna menarik.
Pengarah Kanan Jualan Mary Kay, Azalina Mahmood berkata, pemilihan
alat solek yang berkualiti penting kerana sesetengah alat solek agak
sukar disapu, menyebabkan mekap tidak rata.
Baginya apa yang
paling penting alat solek yang lembut kerana ia mudah dicalit pada
wajah, memudahkan teknik sapuan selain mampu menutup pori kulit, sekali
gus membuatkan wajah tampil mulus.
WAJAH berseri selepas disolek.
Katanya, alat solek keluaran jenama berkenaan mempunyai pelbagai
warna yang mampu diadun bersama pada wajah dan disapu rata, tanpa
bertompok lantas menghasilkan wajah sempurna.
“Bagi teknik solekan malam, warna yang dipilih perlu lebih
terang, bersesuaian dengan suasana gelap di waktu malam. Menggunakan
solekan jenama ini juga tidak perlu mengambil masa lama, hanya lima
minit sudah cukup untuk bersiap.
“Solekan waktu malam juga perlu
lebih garang dan sesuai untuk digayakan ke majlis makan malam atau
sekadar keluar berjalan-jalan,” katanya ketika menunjukkan demonstrasi
menyolek menggunakan alat mekap Mary Kay di pejabatnya, baru-baru ini.
Menurut
Azalina, solekan boleh dimulakan dengan bedak asas yang disapu bermula
dari bahagian atas wajah menggunakan berus supaya ia lebih rata dan
kemas.
Kemudian, sapukan pembayang mata bermula dengan warna
lembut terlebih dulu sebagai asas kemudian warna lebih gelap di penjuru
mata, sekurang-kurangnya dua atau tiga warna bersesuaian untuk mendapat
kesan lebih segar sebelum melukis garisan mata.
“Ini diikuti
dengan penggunaan maskara yang dimulakan bersama primer supaya bulu mata
lebih lentik, tidak gugur dan tidak melekat antara satu sama lain.
Penggunaan primer sebelum maskara mampu menguatkan bulu mata,” katanya.
Pemakaian pelembap bibir sebelum mengenakan gincu atau pengilat bibir penting kerana ia dapat melembapkan kawasan bibir.
“Sebelum
mengenakan gincu atau pengilat bibir, gariskan bentuk bibir dengan
pensel bibir. Sekiranya seseorang itu makan atau minum hingga hilang
warna gincu, sekurang-kurangnya masih ada lagi bentuk bibir.
“Bagi mereka yang berkulit cerah, cukup sekadar mengenakan pengilat bibir berwarna,” katanya.
Mereka
yang sudah sedia berbulu kening lebat, boleh mengemaskannya menggunakan
gel bulu kening dilengkapkan dengan penyikat supaya tidak berserabut.
Teknik
solekan boleh diteruskan dengan menyapu pemerah pipi pada tulang pipi
yang disapu selepas gincu bagi mengawal warna pada wajah supaya tidak
berlebihan.
“Akhir sekali, sapukan bedak mineral di seluruh wajah
bagi melembutkan warna pemerah pipi dan solekan tahan lebih lama dan
cantik,” katanya.