Monday, 13 January 2014

BERTUDUNG SESUAIKAN DENGAN IMEJ


WANITA yang bertudung masih boleh nampak jelita, anggun, menawan dan manis jika mereka mengetahui bagaimana menjaga penampilan yang betul. Apabila bertudung bukan bermakna seseorang itu harus nampak lebih tua daripada usia sebenar dan berasa rendah diri kerana tidak berfesyen seperti orang lain.
Banyak wanita bertudung yang tidak mengetahui bagaimana memaparkan penampilan wanita muslim yang menarik, bukan untuk memikat orang tetapi untuk keselesaan dan keyakinan diri sendiri.

Banyak wanita muslim yang kita lihat kurang menjaga penampilan. Pada mereka, apabila bertudung mereka tidak perlu lagi bergaya kerana bimbang menjadi fitnah atau tidak sesuai lagi dengan imej mereka yang bertudung.  Bertudung tidak harus menyekat wanita daripada bergaya namun haruslah bersesuaian dengan imej mereka. “ Ramai wanita yang hanya memakai tudung dengan satu gaya sahaja. “Sebenarnya banyak jenis ikatan tudung yang boleh digayakan setiap hari. .

Terdapat wanita muslim yang bertudung tetapi pakaian mereka tidak menutup aurat, terdedah di dada, pinggang, lengan dan sebagainya. Sebagai wanita muslim, kita tidak seharusnya mendedahkan diri atau memakai pakaian yang menjolok mata sebaliknya menghargai diri dan menjaga maruah. walaupun seseorang itu bertudung.

“Banyak wanita yang memakai tudung bawal sedangkan tudung tersebut mahal. Kita masih boleh nampak cantik jika memakai tudung bercorak yang berharga RM10 jika mengetahui cara menggayakan dan mengikatnya. “Tudung bercorak sesuai dengan baju polos sementara jika memakai tudung polos, pilih baju yang bercorak,’’ ujar beliau.

Tudung bercorak belang harimau pula, amat tidak sesuai dipakai kerana menampakkan watak garang seseorang wanita. Jika gemar memakai baju kurung, jangan pula memakainya setiap hari ke pejabat. Selang-seli dengan baju lain yang moden sedikit tetapi masih menutup aurat. Baju dan tudung tidak boleh dipakai sedondon kerana tidak menarik sebaliknya pakai yang kontra agar tidak jemu dipandang. Untuk berjimat, banyakkan koleksi baju polos dan hanya pelbagaikan corak tudung.

“Sentiasa menyimpan satu atau dua helai tudung yang menarik di dalam kereta kerana jika tiba-tiba anda dijemput menghadiri sesuatu majlis selepas pejabat, anda tidak perlu pulang ke rumah untuk bersiap. Sebaliknya tukar sahaja tudung dan cara ikatan yang berbeza bersama kerongsang yang berkilauan.
Selain menitik beratkan mengenai pakaian, warna juga amat memainkan peranan penting. Wanita muslim tidak sesuai memakai pakaian yang berwarna terang, sebaliknya pilihlah warna-warna pastel atau lembut.
Pakailah kasut yang sesuai seperti court shoes atau but. Sandal tidak sesuai dipakai ke pejabat. Di Barat, mereka yang memakai sandal ke pejabat dianggap tidak beradab.

Solekan yang sesuai untuk muslimah. Sebagai wanita, kita harus mengenakan solekan agar wajah nampak berseri dan tidak pucat. Solekan yang tipis amat bersesuaian dengan seseorang wanita muslim. Bersolek , bukanlah untuk memikat orang tetapi dapat memberi keyakinan kepada diri sendiri apatah lagi bagi wanita yang tugasnya banyak berjumpa dengan pihak lain.

Tips
1. Digalakkan memakai baju kosong yang boleh dipadankan dengan banyak tudung bercorak.
2. Jika ke pejabat, jangan setiap hari memakai baju kurung sebaliknya selang-seli dengan baju berfesyen.
3. Pakai kerongsang yang kecil. Jika tudung merah, pakai kerongsang warna keemasan sementara tudung warna lain sesuai dengan kerongsang warna perak.
4. Wanita berbadan besar tidak digalakkan memakai kerongsang besar. Jika mahu yang besar, cari yang berbentuk panjang.
5. Jangan tutup bahu dengan tudung kerana badan akan nampak lebih besar.
6. Wanita yang berbadan besar tidak digalakkan memakai tudung besar.
7. Selain kerongsang, boleh juga dipakai klip skarf atau sepit rambut yang cantik.

No comments:

Post a Comment