sekadar gambar hiasan |
Setiap kali ibu dijemput akulah meneman ibu kerumah orang yang melahirkan anak itu. Satu malam saat aku sedang tidur, ibu kejutkan aku, seperti selalu ibu minta temankan aku ke rumah jiran kerana isteri jiran itu sedang sakit perut hendak melahirkan anak. Aku bangun tanpa membantah dan terus mengikuti ibu kerumah jiran yang hendak melahirkan anak itu, jarak rumah jiran dan rumah kami lebih kurang 1 km. Aku dan ibu keluar rumah meredah malam sunyi di kawasan kebun getah sambil ibu memegang lampu minyak tanah. Zaman itu belum ada letrik di kampung.
Sesampainya aku dan ibu dirumah jiran itu kami disambut oleh tuan rumah, suami kepada wanita yang sedang sakit perut. Kedengaran suara wanita itu mengerang-ngerang menahan sakit. Tuan rumah mempelawa ibu terus masuk ke bilik, aku juga turut ikut..nampak samar dalam bilik hanya diterangi lampu minyak tanah.
Tanpa berlengah Ibu memulakan operasinya, aku nampak mulut ibu berkumat-kamit sedang membaca sesuatu yang aku sendiri tidak tahu apakah ayat-ayat yang ibu baca sambil memegang perut wanita itu, . Sementara itu aku duduk menyandar dinding tidak berapa jauh dari ibu dan wanita itu. Aku hanya jadi pemerhati.
Sudah hampir setengah jam belum juga anak itu di lahirkan, aku lihat wajah ibu nampak risau. Ibu memanggil suami wanita itu masuk kebilik dan minta suami wanita itu melangkah perut isterinya sebanyak 7 kali. Selesai melangkah perut isterinya, suami wanita itu keluar dari bilik. Agaknya itu antara petua bagi membantu mempercepatkan kelahiran cara orang dulu-dulu.
Hanya beberapa minit selepas dilangkah, tiba-tiba wanita itu melahirkan anaknya dengan selamat, bayi yang dilahirkan itu seorang bayi lelaki. Ibu memanggil suami wanita itu masuk kebilik sekali lagi dan memintanya menyediakan cebisan bambu sebesar ibu jari dan perlu ditajamkan tepinya. suami wanita itu akur dengan arahan ibu, beberapa minit kemudian suami wanita itu menyerahkan bambu yang telah ditajamkan kepada ibu. Mulut ibu sekali lagi aku lihat berkumat-kamit entah apa lagi ayat-ayat yang ibu baca. Selesai membaca Ibu memotong tali pusat anak itu dengan menggunakan bambu tersebut. Segala urusan memandikan bayi dan membarut (dalam bahasa tempatan) semuanya ibu lakukan. Selesai tugasan ibu pada lewat malam itu. Hebatnya ibu..
Alhamdulillah anak itu kini dah dewasa membesar dengan keadaan sehat walafiat dan telah pun berkeluarga. Itulah antara kenangan yang tidak dapat aku lupakan bersama arwah ibu. Satu waktu aku pernah bertanya pada ibu, apakah ayat-ayat yang ibu baca saat membidankan wanita yang melahirkan anak?, ibu kata belum tiba waktunya untuk aku tahu, kerana aku masih budak-budak. Zaman itu ramai wanita takut untuk melahirkan anak di hospital, lagi pula kemudahan penganggkutan tiada. Terpaksalah melahirkan anak dirumah tanpa rasa takut. Kebanyakan mereka hanya menggunakan ubat-ubatan tradisional selepas melahirkan anak..
Sampai ke akhir hayat ibu, aku tidak berkesempatan berkongsi ilmu kebidanan cara tradisi dari ibu, lantaran keadaan yang tidak mengizinkan, kerana aku sudah tiada waktu untuk itu semua. Andai waktu yang lalu bisa berulang kembali alangkah indahnya..namun itu adalah sesuatu yang mustahil dalam realiti kehidupan, kita hanya mampu mengenang sedang waktu terus berlalu..
Al-Fatihah buat arwah IBU.
" SELAMAT HARI IBU "
No comments:
Post a Comment