Sebahagian hadirin |
Rombongan kami dari Keningau merakam kenangan bersama Tajau Gantung Sorilih |
Tajau Gantung Sorilih ada kisahnya |
Jalan menuju ke kampung widu |
Menyampaikan ucapan ringkas selaku wakil jabatan. |
Keadaan jalan raya masih gravel namun tidaklah seteruk mana. Pergerakan kenderaan agak perlahan kerana ada kawasan tertentu agak curam dan licin ini menyebabkan ketibaan kami ke lokasi agak lewat.
Rombongan kami dari daerah keningau semuanya belum pernah berkunjung ke kampung ini termasuk wakil pemimpin yang merasmikan program En. Anuar Datuk Ayub Aman Timbalan Ketua Umno Bahagian .
Suasana persekitaran kampung ini begitu dingin dan nyaman serta udaranya masih bersih. Di kelilingi Bukit bukau begitu indah mempersona pandangan. Dikejauhan kelihatan Gunung kinabalu megah menjulang berselimutkan kabus nipis, menambahkan keindahan panoramanya. Bagi insan yang intim dengan alam semulajadi tentu rasa teruja dengan suasana sebegini.
Ketibaan kami disambut oleh sebahagian warganya. Jumlah penduduk menurut pengerusi JKKK lebih kurang lima ratus orang termasuk kanak-kanak. Sebahagian penduduknya beragama Islam dan selainnya non muslim namun dikalangan mereka ada hubungan keluarga. Sebelum acara bermula rombongan kami telah dibawa melawat ke satu tempat dimana terletaknya sebiji tajau bernama Gantung Sorilih yang menurut lagenda milik orang bunian.
Kononnya Tajau itu didapati ketika seorang pemuda pergi kesungai menjala ikan yang terletak disekitar kampung Widu. Seharian pemuda itu menjala ikan tanpa sedar hari sudah beransur malam. Oleh kerana pemuda itu keletihan dia mengambil keputusan untuk tidur di tebing sungai dengan berselimutkan jala.
Ketika tengah malam tiba-tiba dia terjaga dari tidur kerana terdengar suara orang bercakap sedang menuju ketempatnya. Pemuda itu terus berpura-pura tidur. Mendengarlah pemuda ini dengan segala percakapan mahluk-mahluk tersebut.
Pemuda yang berselimutkan jala itu di sangkakan oleh mahluk tersebut mendapat luka kerana kelihatan berlubang-lubang pada seluruh tubuhnya. Lalu ketua mahluk tersebut mengarahkan para pengikutnya menggambil tajau milik mereka dengan tujuan memasukkan pemuda itu untuk diselamatkan.
Tajau pertama yang dibawa terlalu kecil tidak memuatkan pemuda itu, lalu diambil lagi tajau keseterusnya sehinggalah ke tajau yang paling besar. Oleh kerana hari sudah hampir menjelang siang.
Mahluk-mahluk itu tidak sempat memasukkan pemuda itu ke dalam tajau yang paling besar kerana mereka terpaksa pulang dengan tergesa-gesa. Tinggallah Tajau bersama pemuda itu disitu. Setelah semua mahluk2 itu pergi, Pemuda itu pun pulang kerumahnya dan menceritakan kepada orang kampung tentang tajau itu.
Tajau sebesar tiga pemeluk orang dewasa itu mereka telah membawanya kerumah pemuda itu. Selain tajau terdapat juga seketul batu yang menyerupai seekor anjing dijumpai disisi tajau tersebut.
Kewujudan air dan beberapa ekor ikan secara tiba2 dalam tajau itu juga menjadi tanda tanya orang kampung. Air itu tidak pernah kering selama beberapa abad, ikan itu pula terus hidup. Akibat orang kampung melanggar pantang larang air dalam tajau itu tiba-tiba kering, ikan itu pula hilang tidak diketahui entah dimana.
Satu lagi kejadian yang berlaku ketika seorang lelaki telah memecahkan mulut tajau itu dengan sengaja kerana kononnya lelaki itu ingin mencari bukti, apakah benar tajau itu mempunyai semangat atau benar-benar milik orang bunian. Namun beberapa bulan kemudian lelaki telah meninggal dunia.
Menariknya juga di kampung ini terdapat dua orang daripada satu keluarga yang ketinggiannya hanya dua kaki, sudah berusia 100 tahun. Namun salah seorang darinya telah meninggal dunia, seorang masih hidup sehingga kini, sudah empat kali bercucu, masih sihat dan telah berusia mencecah 105 tahun.
Dikampung ini terdapat air terjun dan sungai yang sungguh jernih sering dikunjungi pelancung dari pelbagai daerah, negeri dan luar negara, aktiviti boleh berakit, bermandi-manda dan memancing. Namun rombongan kami tidak sempat berkunjung ketempat ini kerana tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Menurut kata orang kampung Jalan menuju ketempat itu agak licin pada waktu hujan maka terpaksalah kami batalkan hasrat. Namun masih berharap agar dapat berkunjung sekali lagi ke tempat ini pada satu masa.
Menurut kata orang tua-tua dahulu Tajau yang bernama Gantung Sorilih bentuknya lebih besar, boleh memuatkan tiga orang manusia, ada yang berkata tajau yang ada sekarang itu bukanlah tajau asli, ia telah diganti, entahlah manakah yang benar, semuanya hanya Lagenda. Demikianlah serba sedikit kisah lagenda tentang Tajau Gantung Sorilih dan Kg. Widu Tambunan.
Kepada sesiapa yang berkeinginan berkunjung kesini dan ingin bermalam, kemudahan semua ada seperti tempat penginapan, letrik, air paip dan restoren menyediakan makan minum dijamin halal. Kenderaan pacuan 4 roda (4x4) sangat sesuai untuk kesini. Kereta kecil kurang sesuai kerana dikuatiri tersentak diperjalanan.
No comments:
Post a Comment