ALAMAK! Mana pulak cermin mata ni? Orang nak cepat ni!" kata Nora,
49, kelam-kabut sambil melilau menggeledah dalam beg tangannya. Kemudian dia ke kabinet televisyen dan menarik laci dan mengeluarkan semua 'isi perut' yang ada di dalam. Dua anak remajanya mengekek gelak sambil menutup mulut melihat
telatah ibu mereka yang semakin kelam-kabut mencari cermin matanya.
"Kat atas kepala tu apa?" tanya anaknya Salleh yang berusia 17 tahun sambil tidak putus-putus ketawa.
"Laaa.... kat atas kepala ni ke...?" kata Nora sambil tangannya
meraba-raba cermin mata yang disangkutkan di kepalanya sebentar tadi.
Senario berkenaan amat biasa berlaku. Hampir semua orang menghadapi masalah berkenaan setiap hari.
Bukan hanya terlupa cermin mata yang diletakkan atas kepala, ada juga
yang lupa meletakkan garam dalam masakan atau lupa satu perkataan yang
mudah? Apakah senario ini boleh dikaitkan dengan nyanyuk atau hanya pelupa? Beberapa nama hebat seperti bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Naib Canselor
Universiti Malaya
(UM), Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid antara yang
bukan saja masih sihat, cergas malah boleh mengeluarkan pendapat yang
bernas walaupun telah melangkaui usia 70-an. Jadi apa kriteria pelupa atau bagaimana mengklasifikasikan nyanyuk atau dalam bahasa saintifiknya dementia?
Menurut Pakar Runding Dalam Kesihatan Warga Emas (Geriatriks) Hospital Gleneagles
Kuala Lumpur, Dr. Soraya Kunamayagam, terdapat banyak perbezaan di antara pelupa dan nyanyuk.
"Pelupa lebih banyak dikaitkan dengan orang muda yang mungkin berlaku kerana stres atau
diet dan gaya hidup yang tidak sihat," katanya. Terdapat juga kes seakan-akan nyanyuk atau disebut psedo dementia. "Mereka ini sering terlupa melakukan perkara ringkas seperti berus gigi, mandi atau makan," katanya. Kes itu juga berkaitan dengan mereka yang stres, berhenti kerja awal, kehilangan atau kematian orang yang amat disayangi. "Bagi kes begini, rawatan menjurus kepada merawat stres yang dihadapi," katanya.
Dalam kes nyanyuk pula, bukan semua warga emas boleh dilabelkan sebagai nyanyuk.
"Biasanya apabila usia meningkat, banyak perubahan berlaku misalnya
lupa di mana meletakkan barang. Itu adalah perkara biasa dalam kehidupan
seharian," katanya. Pelupa berlaku dalam tempoh yang singkat manakala dementia pula
secara berterusan dan jika tidak dipantau akan mengganggu kehidupan ahli
keluarga yang lain. Penghidap dementia biasanya hilang ingatan secara perlahan, sukar
bertutur atau menulis perkataan yang mudah serta sukar mengenal
persekitaran. Menurut Dr. Soraya, nyanyuk boleh disebabkan oleh beberapa punca seperti
1 Penyakit Alzheimer
2 Dementia vaskular
3 Dementia dengan 'lewy bodies'
4 Dementia berkaitan dengan Parkinsons
5 Dementia frontotemporal yang sering berlaku kepada wanita.
6 Punca lain seperti peminum arak tegar dan kecederaan otak yang kerap.
Setiap bentuk dementia mempunyai faktor risiko sendiri tetapi kebanyakannya mempunyai faktor risiko yang sama seperti;
1 Usia adalah faktor risiko paling besar. Biasanya nyanyuk berlaku pada usia lebih 60 tahun.
2 Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit Alzheimer meningkatkan peluang mendapat dementia.
Ibu bapa atau adik-beradik yang mempunyai Alzheimer memberikan peluang 10 hingga 30 peratus.
Risiko semakin tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menderita dementia pada usia kurang 70 tahun.
3 Faktor risiko lain termasuk merokok, kencing manis, tekanan darah tinggi dan diabetes.
4 Gaya hidup juga memainkan peranan penting. Mereka yang mempunyai
kehidupan sosial dan mental yang aktif kurang menderita dementia.
Oleh kerana penghidap dementia sering terlupa melakukan perkara yang biasa, mereka perlu mendapat bantuan keluarga. Jadi mereka dilarang melakukan perkara seperti
1 Memandu kenderaan kerana risiko kemalangan lebih tinggi terutama apabila penyakit bertambah teruk.
2 Memasak memerlukan pemantauan kerana boleh membawa kepada kemalangan seperti kebakaran.
3 Berjalan sendirian kerana bimbang akan sesat
4 Cenderung untuk jatuh kerana kurang keseimbangan dan kesedaran.
Biasanya pesakit yang datang ke hospital perlu melakukan ujian bagi memastikan mereka menghidap dementia seperti
1 Ujian memori
2 Ujian darah kerana dementia berkaitan dengan tidak cukup garam,
tiroid yang kurang aktif, kurang vitamin B12 atau kandungan kalsium yang
tinggi
3 Imbasan kepala bagi pesakit tumor atau strok.
Dr. Soraya berkata, pesakit dementia biasanya menunjukkan tanda-tanda awal seperti
1 Sukar melakukan kerja-kerja ringkas yang biasa dilakukan di rumah seperti memasak
2 Sukar bertutur dengan betul
3 Lupa melakukan perkara yang biasa dilakukan seperti tidak tahu jalan pulang ke rumah.
Manakala tanda-tanda lewat pula seperti
1 Tidak boleh mengawal pembuangan air kecil dan besar
2 Tidak boleh tidur malam tetapi tidur menjelang pagi
3 Halusinasi
4 Perasaan marah melampau
5 Murung
Biasanya Dr. Soraya berkata, pesakit akan dirawat menggunakan beberapa ubatan seperti
aricept, exelon dan
raminyl.
"Bagaimanapun ubatan yang diberikan hanya untuk mengawal dan melambatkan proses dementia atau nyanyuk," katanya.
Menurut Dr. Soraya selain mengambil ubat, sokongan ahli keluarga juga
memainkan peranan penting bagi menangani pesakit yang menderita
dementia.