Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tohmahan dan fitnah dilemparkan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) selama ini terbukti hanya helah mereka untuk melindungi kesalahan sendiri.
Beliau berkata, pandangan dan maklum balas diterima setakat ini menyatakan semua ahli BN mematuhi peraturan bertanding yang ditetapkan bagi memastikan PRU-13 berjalan dengan lancar.
“Semua calon kita mengikut undang-undang, dan tidak melakukan sebarang perkara yang bercanggah dengan peraturan ditetapkan, berbanding pihak sana yang tidak putus-putus menyerang kita dengan pelbagai tohmahan.
“Saya juga kesal dengan tindakan mereka memainkan emosi rakyat, khususnya golongan muda. Mengapa perlu mereka berbuat demikian, malah ada pengundi muda di kawasan saya yang mengakui mereka mengundi pembangkang kerana bimbang akan masuk neraka,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat kepada Ahli Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, beliau mengesyaki ada pihak tertentu membiayai pembangkang untuk menimbulkan kekacauan dalam negara sepanjang tempoh PRU-13.
Timbul kekacauan
“Saya tidak menuduh, tetapi mungkin mereka perlu menunjukkan kepada kuasa luar yang memberi mereka peruntukan tertentu untuk melakukan kerja menimbulkan kekacauan. Barangkali mereka perlu menunjukkan kepada ‘political masters’ mereka. Saya tidak menuduh tapi mungkin.. jika dia (pembangkang) hendak bawa saya ke mahkamah (kerana beri kenyataan ini), tidak apalah,” katanya.
Ditanya mengenai pendekatan BN untuk mengatasi serangan emosi pembangkang terhadap generasi muda, Tengku Adnan berkata, penerangan khusus akan diberikan kepada golongan muda agar mereka sedar dan tidak lagi terpengaruh dengan dakyah jahat pembangkang.
“Kita memang tak suka apa yang mereka lakukan, memainkan emosi rakyat, menaikkan kemarahan rakyat pada perkara yang tidak benar. Kita akan berikan penjelasan sepenuhnya (kepada golongan muda) supaya akidah mereka tidak lagi terpesong,” katanya.
No comments:
Post a Comment