Monday, 23 October 2017

TOMBIRUO: Gagal Menceritakan Sosiobudaya Pribumi Sabah

Prof Dr Rem Dambul

1
Saya menonton Tombiruo minggu lepas. Sebagai filem produk tempatan, saya rasa ada aspek tertentu yang boleh dibanggakan. Sinematografi memang ada kelas. Berjaya menampilkan karisma Sabah sebagai syurga alam semulajadi.

Adegan aksi juga amat memikat. Pertarungan fizikal diberi tata-gerak yang rapi, serta dirakam dari sudut lensa yang tepat. Sungguh dramatik, lagi menguja perasaan. Apatah lagi dengan ekspresi runut bunyi yang begitu berkesan.

Elemen teknikal filem ini memang wajar dipuji. Susah mau disangkal. Sayang sekali, inti pengisian karya ini – yang merupakan jiwa sebenar sesuatu produksi seni – tidak seimbang dengan keanggunan pesona teknikal.

2
Mungkin saya agak kritikal, kerana saya tidak hanya melihat kemenjadian karya ini dari kacamata seorang penggemar filem dan penggila pop semata-mata. Tetapi juga dari kacahati seorang pribumi Sabah, anak jati Momogun Dusun – yang menjadi latar sosiobudaya utama filem ini. 

Komuniti Momogun memang intim dengan alam. Tanah dan belantara adalah warisan asli yang mendasari tradisi dan survival mereka. Justeru, konflik pemilikan tanah adat memang kerap berlaku (misalnya, kes kontroversi Empangan Kaiduan suatu ketika dulu, yang akhirnya dibatalkan).

Ya, karya ini sebenarnya mengadun tema penting yang sangat relevan dan kontemporari. Ia menggarap isu pergelutan komuniti marginal, dalam arus modenisasi yang deras. Ini bukan satu isu enteng. Ini satu realiti yang pernah (dan masih) berkudis di Sabah.

Fokus naratif filem ini berkisar pada Tombiruo si penunggu rimba, yang menggalas kisah silam penuh misteri. Betul, ini watak fiksi. Namun plot dan perwatakan dioperasikan atas domain sosiobudaya dan lanskap geografi yang realistik, iaitu komuniti Dusun Keningau. Persoalannya: dapatkah roh pribumi Sabah ini dicitrakan secara munasabah?

Saya fikir tidak. Biar saya hujahkan kenapa. Mari kita bermula dengan beberapa khilaf faktual.

3
Pertama, tentang watak ‘Bobolian’ yang digambarkan seperti wanita tua, yang hidup sendiri jauh dari perkampungan. Malah, kadang-kadang kenampakan seperti tukang sihir yang menakutkan. Ini kegagalan paling ketara.

Bobolian adalah figura terhormat bagi rumpun Momogun. Mereka mendokong peranan selaku ketua spiritual tertinggi masyarakat. Penampilan mereka mungkin agak klasik dan tradisional. Tetapi bukan seperti nenek kebayan yang tidak terurus, apatah lagi meminggir diri di hutan rimba!

Saya fikir watak Bobolian ini saja-saja diwujudkan dengan tujuan mahu memberi elemen ‘Dusun’ kepada filem ini. Malangnya, ia dibuat secara rambang dan semberono, tanpa memahami apakah konteks sebenar institusi bobolian. Ya, filem ini tidak berjaya mendidik penonton memahami salah satu tradisi penting rumpun Momogun, khususnya etnik Kadazandusun. Bahkan, ia memberi gambaran yang terpesong.

Ungkapan kata-kata lisan yang membuka intro filem ini pun ada isu. Ia disampaikan dalam Bahasa Dusun dengan dialek bercampur baur. Ada dialek Tangara pada permulaan, yang merupakan bahasa pertuturan komuniti Momogun hilir, di sekitar Penampang. Kemudian disusul dalam dialek Liwan. Ini loghat komuniti Momogun hulu, di sekitar Keningau dan Tambunan.

Kecacamarbaan ini agak pelik, dan mengundang pertanyaan: kenapa? Adakah Tombiruo bercinta dengan sumandak hilir? Adakah ibu dan bapa Tombiruo datang dari komuniti silang Momogun hilir dan hulu? Sampai tamat tiada sebarang hint atau jawapan diberi kepada persoalan-persoalan ini. Maka saya anggap itu sebagai khilaf faktual. Mungkin tenaga produksi tidak memahami kepelbagaian dialek Momogun, yang setiap satunya unik kepada sub-etnik tertentu dalam lingkungan geografi spesifik.

Bahasa Dusun yang ditutur oleh watak Bobolian juga agak keras. Komuniti Liwan Keningau terkenal dengan dialek yang halus beralun-alun. Bukan ditutur dengan nada ‘sebiji lepas sebiji’. Kedengaran agak janggal. Tapi kemuncak isu bahasa ini timbul ketika ‘rinait’ (mantera) berkumandang dalam babak pertarungan akhir (semasa Tombiruo dan Amir berganding melawan musuh).

Suara sangat datar tanpa irama. Seakan-akan seorang penyajak amatur sedang membaca teks tanpa perasaan. Sedangkan ‘rinait’ ini sepatutnya dilafaz dengan penuh muzikal, ada ragam pitching suara yang tersendiri. Bukan nada bersahaja ala biasa-biasa, seperti sedang bergossip dengan jiran tetangga.

4
Khilaf faktual yang kedua, dari segi latar geografi. Tombiruo digambarkan sebagai penunggu rimba Keningau, yang merupakan sebahagian hutan dara Banjaran Crocker. Tapi yang nampak rimba, cuma kawasan persekitaran apabila kamera dihala pada pondok Tombiruo di atas pokok.

Bila turun saja ke tanah, tiba-tiba rimba bertukar jadi belukar. Terdapat perbezaan signifikan di antara hutan primer dan hutan sekunder, yang tidak boleh diremeh-remehkan. Apatah lagi dengan reputasi Banjaran Crocker sebagai antara hutan hujan Khatulistiwa tertua dan paling kaya diversiti di dunia.

Saya bukan mencadangkan penggambaran dibuat betul-betul di tengah jantung rimba, yang menawarkan lapis-lapis tumbuhan dan kanopi vegetasi dengan kualiti hutan dara sebenar. BUKAN. Memang ini tidak praktikal.

Tapi saya fikir ‘persekitaran’ begitu boleh disimulasi guna teknik animasi tertentu. Agar dapat memberi aura rimba yang sebenar, dan bukan sekadar rimba jadi-jadian. Kalau tidak, tajuknya kena tukar: Tombiruo Penunggu Belukar.

Dari pondok Tombiruo di Keningau, boleh nampak Aki Nabalu berbalam-balam dari jauh. Cantik. Saya tidak pasti, bolehkah nampak gunung ini dari Keningau? Barangkali tidak, sebab terlalu jauh. Tapi tidak apa, saya boleh terima simulasi sinematografi ini untuk memberi satu nilai-tambah estetik pada filem. Tapi alang-alang mau buat simulasi, buatlah berdasarkan fakta geografi.

Paparan Aki Nabalu dalam filem itu dilihat dari sudut pandang yang sedikit ke arah barat laut (Tuaran). Sedangkan lokasi sebenar Keningau, relatif kepada kedudukan Gunung Kinabalu, adalah cenderung ke barat daya. Jadi bentuk Aki Nabalu sepatutnya bukan begitu. Bahkan, satah pandangan 'imageri’ (dibayangkan saja) dari Keningau sebetulnya jauh lebih memukau. Kerana pundak Low’s Peak akan dilihat penuh pada arah depan, bukan sipi-sipi dari sudut tepi.

Semasa Tombiruo (yang masih bayi) dihanyutkan ke sungai, ada ditunjuk satu visual air terjun yang lebar dan tinggi. Wow, sungguh teruja. Kawan saya siap cakap: “Erk, nanti kalau saya ke Sabah, kau bawa ke sana ya.” Sebenarnya air terjun super gadang itu hanya fantasi. Tidak wujud pun di Keningau, atau mana-mana tempat lain di Sabah.

Sebagai filem yang bersandar pada lokaliti realistik, jungkirbalik fakta seperti itu patut dielakkan. Dari segi prinsip perfileman, memang tidak salah. Sebab ini genre fiksyen. Tapi karyawan yang benar-benar bagus dan teliti, akan berusaha mengekalkan nilai autentik citra tempatan di mana sesuatu cerita itu diolah. Saya fikir, kepersisan begini boleh menyuntik elemen organik yang lebih tulen pada karya yang ditukangi.

5
Selain khilaf faktual, saya juga kurang terbujuk dengan lakonan. Tidaklah buruk, tetapi secara keseluruhan terumbang-ambing pada paras sederhana. Yang saya rasa kuat, cuma watak bapa Tombiruo (Faizal Hussein) dan Wan Suraya si jurnalis gedik. Yang lain, semuanya kurang menyerlah.

Banyak dialog yang agak 'corny' dan tidak natural. Ala-ala cerekarama menjelang maghrib tahun 1980an. Marlia Musa paling mengecewakan. Scene dia sikit saja, tapi penting dari segi aliran emotif filem. Sebab dia menautkan naratif konflik keluarga yang menjadi titik fokal filem ini.

Tapi alahai. Cara dia menjiwai watak tak cukup natural. Masa suaminya (M. Nasir) mahu pergi ke tempat kampung yang diserang, Marlia acah-acah menghalang. Sangatlah deja vu drama pentas zaman universiti dulu! Macam tak ada chemistry, padahal mereka memang pun suami-isteri sebenar di luar filem.

Watak Amir lagi pelik. Macam celaru identiti pula. Sekejap loghat Sabah, banyak kejap loghat KL. Saya pun keliru, watak dia dalam filem ini sebagai apa: orang Sabah atau Semenanjung? Saya fikir dia mungkin orang KL yang berhijrah ke Sabah. Tapi pada hujung cerita, rahsia terbongkar bahawa dia sebenarnya kembar si Tombiruo. Maksudnya orang Sabah laitu, kan? Fuh, saya tiba-tiba rasa mau tikam-tikam perut sendiri.

6
Walaupun ini cuma filem fiksyen, elemen latar sepatutnya tidak diremehkan. Citra sosiobudaya dan lokaliti adalah isu yang dekat di hati masyarakat pemiliknya. Mahu tidak mahu, ada sensitiviti yang perlu dijaga.

Kehadiran sebuah filem Malaysia dengan magnitud box-office begini, tentu sekali membanggakan saya sebagai anak Momogun Sabah. Tapi tersedik jua di hati nurani, saya mengharap citra tempatan yang telah diarusperdanakan dalam filem ini dapat dipapar se-realistik yang mungkin. Itu harapan sajalah, kan.

Tiada yang sempurna, dan saya tidak mengharapkan kesempurnaan nan padu. Menterjemah citra sosiobudaya dan geografi dalam sebuah filem (yang relatifnya 'pendek' lagi terbatas berbanding karya persuratan) -- tidaklah mudah. Ya, saya tahu.

Tapi saya fikir, seni filem mesti dinilai secara holistik. Bukan saja pada merit artistik dan teknikal; tetapi juga merit sosiobudaya. Barulah tepat aspirasi: filem kita, WAJAH kita!

Kalau kita sanggup melabur kapital, tenaga pakar, teknologi dan fasiliti untuk menghasilkan impak visual dan audio yang memukau -- kenapa tidak ada pelaburan yang sama untuk memperhalusi citra pribumi yang melatari naratif filem? Semua yang saya sebut dalam komen ini bukan susah sangat pun. Cuma barangkali, ia tidak diberi prioriti penting semasa proses pembikinan. Bukan terlepas pandang, tapi dilepas pandang.

7
All being said....

....secara jujur, saya tetap rasa bertuah dapat menonton filem ini di pawagam. Ya, ada nilai istimewa tersendiri; terutama garapan teknikal i.e runut bunyi, seni arahan sinematografi dan koreografi aksi lasak.

Pelaburan tiket masih berbaloi, kerana filem ini ada menawarkan sejemput katarsis emosi dan gratifikasi jiwa. Meskipun rasa itu tidak sampai ke tahap klimaks. Ibarat kata orang, bagai berjimak hingga ngilu, tapi tak inzal. Nikmat ada, cuma tak puas.

#Tombiruo
#TombiruoPenungguRimba

Disclaimer: Gambar hiasan entri ini dicopek tanpa izin (tapi bukan niat mencuri) dari domain publik internet. Harap maklum.

No comments:

Post a Comment