Remaja perempuan diperlaku sebagai hamba
Hakikatnya, perkahwinan budak bukan sekadar masalah atau penyakit
sosial, tetapi turut mengundang kemudaratan kepada budak atau remaja
perempuan itu. Satu kajian di Amerika Syarikat mendapati pengantin
kanak-kanak ini akan mengalami masalah mental apabila mereka dewasa.
Justeru, mahu atau tidak, lambat atau sekarang, masalah ini perlu
ditangani kerana ia membabitkan soal reproduktif, kesihatan dan
kependudukan dunia.
Kahwin lima hari, mati didera suami
ANTARA
kes perkahwinan bawah umur yang menarik perhatian dunia membabitkan
seorang gadis berusia 13 tahun di Yaman. Dia mati selepas kecederaan
teruk pada kemaluan akibat didera suami. Satu kes di India pula
menyaksikan budak perempuan lima tahun tertidur ketika dikahwinkan.
Ikuti antara kes menarik membabitkan perkahwinan kanak-kanak yang pernah
dilaporkan.
Yaman
Kes menimpa Ilham al-Ashi,
13, begitu meruntun hati. Pengantin muda ini mati pada April 2010 akibat
penderaan seks oleh suaminya berusia 24 tahun. Ilham mati lima hari
selepas berkahwin dengan Abed al-Hekmi. Laporan perubatan hospital di
Hajja, Yaman menunjukkan mangsa mati akibat kecederaan teruk pada
kemaluannya.
Dalam kes berasingan pada 2008, Salleh Nujood Ali
menjadi perhatian dunia apabila dia yang berusia 10 tahun ketika itu
melarikan diri dari rumah dan memfailkan perceraian di mahkamah. Nujood
dipaksa bapanya berkahwin dengan seorang lelaki berusia 30-an.
Poster gadis sunti itu kemudian menjadi antara 10 paling popular di
dunia, malah buku mengenainya bertajuk I Am Nujood, 10 Years and
Divorced sudah diterjemahkan ke dalam 30 bahasa. Dia kini kembali ke
pangkuan keluarga dan menyambung persekolahan.
Habsyah
"Saya mahu belajar, tapi ibu bapa nekad mengahwinkan saya," kata
Himanot Yehewala, gadis Ethiopia yang berkahwin lima tahun lalu pada
usia 13 tahun. Dia pernah cuba melarikan diri tetapi diugut ibunya yang
memaklumkan akan membunuh diri jika anaknya enggan berkahwin.
“Saya masih tak matang dari segi fizikal atau emosi, tak bersedia untuk
tidur dengan suami yang jauh lebih tua,” tambah Himanot yang
dikahwinkan dengan Gedefaw Mengistu, 18, walaupun mereka langsung tidak
pernah bertemu sebelum hari perkahwinan.
Gedefaw sedar
isterinya terlalu muda, berkata: “Saya berada di Gred Lima (sekolah),
tetapi bapa meninggal dunia dan saya terpaksa berhenti, kahwin dan jaga
keluarga," katanya kepada BBC. Mereka tinggal di Amhara, Ethiopia -
kawasan pertanian luar bandar yang miskin di mana separuh kanak-kanak
perempuan berkahwin sebelum usia 15 tahun.
India
Perkahwinan kanak-kanak menyalahi undang-undang di India, namun ia
masih berlaku dan biasanya upacara perkahwinan dilangsungkan pada awal
pagi atau dinihari secara rahsia. Malah, seluruh kampung menyimpan
rahsia berkenaan.
Di Rajasthan, seorang kanak-kanak perempuan
lima tahun dikenali sebagai Rajani dikahwinkan ibu bapanya sama seperti
yang berlaku kepada adik beradik perempuannya yang lain. Rajani yang
masih kecil tertidur sebelum majlis perkahwinan bermula.
Dia
diangkat bapa saudaranya dari katil bayi untuk menjalani upacara
perkahwinan di bawah cahaya bulan. Rajani dikahwinkan dengan seorang
kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. Mengikut adat, pengantin
kanak-kanak itu akan terus tinggal dengan keluarga masing-masing
sehingga dewasa, namun tiada jaminan adat itu dipatuhi.
No comments:
Post a Comment